Syukur diatas nikmatnya




Antara sedar dan tersedar aku rasa aku sudah Islam dari lahir.


Diajar mengaji Quran oleh guru ,ramai juga guruku, yang lelaki mengajar tajwid tapi rotan senantiasa ada di tangan.Guru perempuan lain pula,suruh baca sebacanya ,entah betul entah tidak. Sampai sekolah menengah aku bertukar guru lagi .Maklumlah duduk di asrama ,mana yang suka berguru maka bergurulah ia. Tetapi yang ramai itu ,walau pun ada guru tetapi tak mahu mengaji.Tidak ada orang yang hendak menyuruh dan memarahi mereka, Sayang ,sayang. Waktu berlalu begitu sahaja.




Bilakah aku sungguh sungguh tersedar yang aku ini islam ?




Takdir Allah aku di terima belajar di IPTA .Hari pertama pendaftaran sudah ada kakak senior yang 'cakna' dengan aku. Pelajar baru dikumpulkan dalam satu kumpulan 'keluarga' yang tediri dari berbagai latar belakang dan negeri. Satu kumpulan satu ketua meliputi 6 atau 7 orang 'junior'. Mereka akan ber 'kumpul' seminggu atau 2 minggu sekali. Aku berketuakan seorang kakak dari negeri Sabah. Perjumpaan pertama kami berkenalan ,kenal sekenalnya .Bukan kenal sekadar rupa dan nama tetapi situasi keluarga, kegemaran ,kelemahan dan kelebihan ahli kumpulan. Dengan itu hubungan persahabatan bertambah erat.


Kuliah kuliah ilmu kami berkisar ilmu Matematik,Sains, Biologi, Kimia,Bahasa dan Falsafah.Mana mana pelajar yang berminat,boleh mengambil kertas Tamaddun Islam sebagai tambahan kredit .Pelajar pelajar selain sibuk dengan kuliah, mereka juga mesti berpersatuan samada peringkat fakulti atau kampus.Aku terlibat dengan semua aktiviti persatuan. Seminar, ceramah ilmiah, pembentangan kertas kerja,diskusi dan sebagainya yang dianjurkan oleh Persatuan Pelajar.Inilah peluang untuk mendapat maklumat yang sebanyak banyaknya.


Selain persatuan fakulti,ada juga persatuan agama. Pelajar Islam rata rata mendaftar sebagai ahli Persatuan Pelajar Islam.Aktivitinya merangkumi ceramah, kursus kursus kefahaman Islam dan latihan intensif pada hujung minggu dan cuti semester. Banyak juga kursus yang aku ikuti,malah setiap kali cuti semester aku akan berkursus dahulu sebelum pulang ke rumah.Di sini lah aku dapat memahami Islam yang sebenarnya. Apakah amalan yang melayakkan sesaorang itu digelar sebagai Islam ?

Masyarakat Melayu Islam yang berpegang dengan ajaran sebenar Islam dapat dikenal kerana ketekunan mereka mengamalkan Islam. Ada keluarga yang cukup berdisiplin, anak anak mereka menunaikan solat, berbakti kepada keluarga dan masyarakat, berakhlak dengan al quran dan amat menjaga kesucian dan kesyumulan Islam. Namun bila aku berkesempatan melawat mana mana perkampungan Melayu baik di Pahang,Selangor,Kedah dan lain lain daerah orang orang Melayu, aku melihat yang memakmurkan masjd dan surau adalah golongan tua yang dikatakan 'kubur kata mari, rumah kata pergi' .Orang-orang dewasa, orang-orang muda dan kanak yang mencecah baligh tidak ramai yang memahami kewajiban untuk mempertahankan Islam. Siapa sebenarnya yang bertanggungjawab menyedarkan masyarakat Melayu supaya kembali mengamalkan Islam?

Ustaz-ustaz atau ulama'-ulama' ? Dimana mereka dikala masyarakat memerlukan bimbingan dan tunjukajar mereka ? Ayuh orang orang yang berilmu ,buanglah segala kejengkelan ,buanglah segala keegoan dan padamkan segala kepentingan.Selamatkan masyarakat Melayu dari terus bergelumang dengan kejahilan dan kemunafiqan.

Islam, yang aku cari sudah kutemui. Syukur kerana Allah memilih aku untuk mengecapi iman dan taqwa. Iman tak boleh diwarisi. Iman tak boleh dijualbeli. Iman ,bila Allah sudah titipkan dalam hati ,peliharalah,jagalah dan pertingkatkanlah. Jangan biarkan iman itu pudar dan padam. Itulah pesan-pesan yang aku terima dari mereka yang berilmu.Aku cuba untuk menggilap imanku agar bersinar , bercahaya dan berjaya.Panduan-panduan dari quran dan hadith ku timba dari telaga Ilmu.
1.Belajar mengenal Allah dan melaksanakan kewajiban kepadaNya.
2.Mengkaji sirah Nabawiyah dan melaksanakan tuntutan Sunnah.
3.Bersama-sama masyarakat untuk memperteguhkan amalan-amalan Islam.
4.Memperbaiki bersama kesilapan amalan terdahulu.
5.Menyemarakkan amalan Islam yang Syumul.

Indahnya Islam ,bila kita beramal dengannya. Hati dapat meraih ketenangan dan kebahagian. Sempurnanya amalannya, kerana itu adalah ajaran dari Tuhan yang menciptakan. Tiada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah. Allahlah tempat manusia memohon segala keperluan.

0 comments:

Post a Comment