kitalah Pendakwah

Salam muhibbah.

Seringkali aku dipanggil untuk memberi tazkirah di majlis majlis usrah dan kenduri kesyukuran.Bukan nak tunjuk pandai tetapi suatu keperluan dan amanah yang terpikul di bahuku.Tidak banyak soal dan tidak banyak alasan, aku akan beri kata dua samada boleh atau tidak boleh. Jika masa aku terizin ,aku akan membuka kitab kitab rujukan untuk mencari isi tazkirah yang sesuai dengan mad'u (pendengar).Lazimnya Kitab tafsir Al-Azhar, Kitab tafsir At Tibyan, kitab Tazkirah Tuan Guru Nik Abdul Aziz ,Kitab Riadhus Salihin dan Kitab Tanbihul Ghafilin.

Aku akan memperuntukkan sebahagian masaku untuk meneliti, mengarang isi dan merumuskan matlamat penyampaian tazkirah nanti. Jika aku dijemput ke dalam kelompok masyarakat kampung biasanya mereka ini suka bab-bab kebersihan jiwa. Jika aku masuk ke dalam kelompok muda (ibu ibu muda), mereka menyukai bab-bab amalan amalan dan kelebihannya.Jika aku masuk dalam golongan yang terpelajar sikit, inilah yang mencabar keupayaanku untuk berhujjah. Bekalan ilmu kena menyeluruh. Meliputi Sirah, fikh, ibadah dan siasah.Jenuh juga aku bekerja dan berfikir. Setiap apa yang aku lihat, apa yang aku dengar dan dari pengalaman-pengalaman akan menjadi modal untuk memuaskan minda pendengar .Aku juga memohon restu dari Allah agar apa yang aku hujjahkan nanti, mereka faham dan dapat dijadikan amalan hidup seharian.

Azam aku pada tahun 2000, melangkah masuk badan dakwah, bermatlamat untuk memperbaiki kemelesetan aqidah, kecurangan ibadah dan penyelewengan tarbiyah. Tumpuan utama kepada quran, pembacaan quran, pemahamannya dan penghayatan (mengamalkannya dalam kehidupan). Orang Melayu tahu Quran itu kitab suci,oleh itu kerana penyelewengan tarbiyah ,mereka anggap ia sebagai kitab yang tak boleh disentuh oleh sembarangan orang. Yang membacanya tok ustaz, tok guru, tok alim, tok mudim dan tok khadi. Semua tok-tok ini kadang-kadang baca kitab untuk diri sendiri, tidak berani tidak pandai hendak menyebarkan berita-berita sensasi dari langit (KHALIQ).Itu kita namakan jumud, ilmu yang beku di dalam buku,kalau ingin menyeru harapkan wang saku.

Mula-mula langkahku membuka kelas-kelas fardu 'Ain. Dua tiga ustazah aku panggil. Orang orang sekitar kampung aku panggil. Memang ,pertama-tama kelas dibuka, ramai jiran dan kawan-kawan datang. Ustazah memberi peringatan awal 'awaluddin ma'rifatullah',jadi yang dikupas terperinci ialah bab Tauhid.Berjalan beberapa bulan kelas Tauhid. Kemudian aku jemput ustazah lepasan Mesir untuk mengajar bab Ai Quran, tajwid dan tafsir. Memperbetulkan bacaan dan memahami isi kandungan Al Quran.Usatazah ini bawa kitab Tafsir setebal 4 inci dan kitab rujukan yang lain.Tebal tebal belaka. Cara penyampaaiannya macam kuliah di universiti. Apa lagi terkejut 'sakan' pendengar yang terdiri dari orang kampung yang tak tahu membaca dan menulis. Makin lama kelas menjadi semakin malap dan terhenti untuk beberapa minggu.

Takdir Allah menyebelahi aku, seorang hamba Allah sudah lama menaruh minat dengan cara aku ,lalu menjemputku mengelolakan 'kursus Yasin'.Dari detik itu bermulalah langkahku di medan tarbiyah. Tidak cukup kita baca Yasin sampai berbuih-buih mulut tetapi tidak tahu 'ghape satu' baik khaifiatnya dan isi kandungan 'jantung Al quran' itu. Bimbang nanti Yasin itu yang mengutuk pembacanya.

Memang masyarakat hauskan ilmu. Yang sadar akan terus terpikat untuk terus mengikuti kalas kelas seterusnya.Kalau yang datang semata mata "nakal" mereka ini tak kekal lama. Hendak tak hendak mereka jadi "tunggul hanyut". Timbul sebentar tenggelamnya lama. Ramai juga yang terkapai kapai, hendak mengaji atau menuntut ilmu takut pada beberapa orang (spy), tidak dapat izin suami dan merasa diri sudah 'cerdik'. Berbagai cara digunakan untuk memberi faham bahawa menuntut ilmu itu wajib .Antaranya mengutus jemputan istimewa, memesan mesan dan berkirim salam. Bagaimana lagi ?

Betapa susahnya hendak merubah masyarakat dari jahil kepada masyarakat berilmu.Susah juga untuk membuang tabiat tabiat buruk yang sudah sedaging dengan kehidupan. Apa tidaknya ,remaja remaja yang rosak akhlaq ,yang tidak minat ke sekolah ,lebih teruk lagi ramai remaja berkerja sambilan sebagai pencuri, peragut ,perogol dan pengacau keamanan dalam masyarakat. Bila bermulanya penyakit ini?

Sesadar aku ,curi-mencuri dah berlaku masa aku kenal perasaan. Barang kesayangan aku hilang, timbul rasa marah dalam hati dan bertanya sendirian, siapalah yang sampai hati mengambil 'aku punya' tanpa izin. Bagaimana hendak membendung perlakuan 'curi' yang mula berbunga. Perkataan 'biarlah itu bukan rezeki kita' kena ketepikan dahulu. Siasat di mana barang itu berada, soal jawab orang yang memegang barang itu, siapa saksi jika barang itu miliknya, siapa saksi kecurian itu dan pengakuan yang meyakinkan bahawa barang itu milikku atau miliknya. Apabila sahih barang itu 'tercuri' dan yang mengambilnya mengaku 'termencuri' maka amaran awal mesti diberi. Apa dia amaran itu ? Memarahinya ? Oh.. Tidak ! Nasihat yang baik, 'mengambil hak orang tanpa izin itu suatu dosa. Bagaimana kalau milik kesayangan mu diambil orang, adakah kamu suka ?'.

Sebenarnya ibu bapalah yang berperanan dalam pendidikan akhlaq anak anak.Nabi s.a.w menyeru 'berilah nama anak dengan sebaik-baik nama. Ajarkan kalimah tauhid (lailahaillah).Ajarkan anak anakmu solat dan akhlaq . Ajarlah anak anakmu kemahiran hidup dan latihlah anak anak dengan kepantasan menunggang kuda (kenderaan),kemahiran bermain pedang ,berenang dan memanah' .Ini semua adalah bekalan untuk anak anak hidup dalam masyarakat.Kalau boleh anak anak umat islam mampu mamiliki semua kemahiran dan kuat dalam semua perkara. Kita tidak akan merasa bimbang atau terlalu kecewa bila melepaskan anak anak pergi ke mana mana destinasi.

Sekarang, yang menjadi masalah besar ialah anak sebaya 6 atau 7 tahun kita lepas tangan didikan dan kita serah terus tanggung jawab mendidik itu kepada guru-guru.Di sekolah, bukan semua guru mempunyai rasa perihatin untuk menjadikan anak kita sebagai anak soleh dan serba boleh. Sebilangan kecil sahaja yang mendapat peluang terdidik dengan sempurna, yang lainnya terbiar dan meliar.Itulah timbul berbagai bagai gejala buruk di sekolah dan di luar sekolah.Jenuh guru disiplin berkejar kejaran ,tak cukup guru polis dijemput untuk sama sama mengatasi masalah pelajar-pelajar.

Tahukah anda cara terbaik untuk menjadikan anak anak berperibadi mulia ? Tidak lain tidak bukan kita kembali kepada pendekatan pendidikan dari ALLAH berpandukan quran dan sunnah nabi sa.w. Nanti kita bincang tentang pendidikan awal kanak-kanak, pendidikan remaja ,awal dewasa dan menuju gerbang rumahtangga.

Kita semua bertanggung jawab untuk menjadikan generasi kita berilmu, berimformasi, berbudi dan berbakti.Kitalah Dae', kitalah pendakwah dan pembentuk budaya manusia.

0 comments:

Post a Comment