bila sakit......ku cari Mu

Tiada siapa ingin sakit, berat atau ringan . Jikalau dapat ingin sihat selama lamanya.

Sahabatku , bekas guru dan suaminya juga guru bersara menjemput kami ( ahli usrah )ke rumahnya. Ada masalah yang berat ditanggungnya sendiri. Jemputan itu kami penuhi dan majlis yasin diatur pagi Khamis, jadi tiada kuliah tafsir. Jemputan hampir 40 orang ada yang aku kenal sebab mereka selalu mengikuti usrah, ada yang baru tengok rupa. Biasanya bila pertama kali jumpa , aku sapanya dan bertanya "duduk di mana" ?

Majlis dibuka dengan rasmi dengan Ummul Kitab. Salawat ditujukan kepada Junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ketinggalan, pengerusi meraikan 'ustazah' yang biasa mengepalai majlis yasin. Kalau anda bersama kami tentu anda akan rasa sejuk , nyaman dan tenang . Kenapa? Majlis ini bukan sebarang majlis. Bila rasmi dengan ummul kitab bermakna, ia adalah majlis yang menjadi rebutan malaikat malaikat Allah.

Mari kita lihat seterusnya, apa yang menambahkan lagi 'berkat' itu. Peraturan majlis diperdengarkan kepada umum.
1. Hendaklah berwudhu'.
2. Membaca bersama-sama dengan sebutan betul pada hukumnya.
3. Meniatkan untuk membantu pesakit dengan 'kalam' dan 'asma' Allah.
4. Berdoa dan mengaminkan doa dengan hati tulus mulus.

Awal kami membaca solawat sebanyak 11 kali, diikuti dengan Fatihah dan ayat Kursiy.
Permulaan Yasin dengan niat penyembuhan kepada pesakit. Surah Yasin mempunyai 83 ayat. Di dalamnya terdapat tujuh ayat yang berakhir dengan MUBIN. Bila sampai di ayat-ayat tersebut kami berdoa sebagaimana berikut:

"1. membaca bismillah hingga akhir.
2. membaca Ya qadial hajat. Iqdina hajatina fi hazihissaah.(wahai Yang memperkenankan hajat, tunaikan hajat kami waktu ini.
3. Membaca doa " Ya Allah, kami memohon perlindunganMu dengan KalimahMu yang sempurna dari bahaya angin AHMAR dan penyakit penyakit besar dan daripada tiap tiap penyakit dalam jiwa, dalam darah, dalam daging, dalam kulit, dalam urat dan dalam tulang. Tiada tuhan kecuali Engkau, Maha suci Engkau apabila Engkau menginginkan sesuatu ,cukuplah Engkau mengatakan, 'jadilah', maka terjadilah ia."
4. Diakhiri dengan solawat."

Anda mungkin ingin mengamalkan . Silakan . Doa itu didalam bahasa Arab boleh rujuk buku 'Indahnya Hidup Bersyariat' (Ustz. Ismail Kamus).

Kami membaca Yasin diselang seli dengan doa. Hinggalah habis surah Yasin. Itu ikhtiar kami untuk membantu sahabat kami dan memberi semangat agar dia sabar tabah menghadapi ujian dari Allah Taala. Yang melaksanakan permohonan itu Allah. Yang menyembuhkan penyakit adalah Allah.


Seingat pengalaman kami, membaca yasin dan berdoa secara berjamaah ini, ada yang Allah tunaikan secara segera. Seorang isteri terkena angin Ahmar, mulutnya dalam keadaan herot , tak boleh bercakap, belum sempat bacaan Yasin kami habis, Allah menunjukkan kekuasaanNya dan kami menyaksikannya ramai-ramai. Keadaan cacat tadi kembali seperti sediakala dan orang yang paling gembira ialah suaminya yang ketika itu memangkunya.

Satu lagi peristiwa , seorang ibu tua, tidak dapat bergerak, bercakap dan makan minum dilayan anak anak. Sangkaan mereka ibunya sudah hampir mati. Allah Maha kaya dan Maha Berkuasa. Berkat doa dan sedekah yang diberikan itu dapatlah ibunya sihat kembali , boleh bercakap dan berjalan. Itu semua adalah pemberiaan Allah Yang Maha Esa.

Majlis itu tidak berakhir lagi. Ustazah terus memberikan sedikit tazkirah mengenai penyakit, bagaimana Islam mendidik umatnya sentiasa mengamalkan hidup sihat dan sederhana. Jika , mereka buat sebagaimana sunnah Nabi , hidup akan sihat dan cergas. Badan sihat minda cergas. Wallahu'alam.

aku tidak kenal.

Tiap tiap hari Jumaat, aku menjadi tumpuan ramai. Pelayan atau 'orang gaji' aku kalau di hitung ramai juga. Tukang bersih, tukang arah, tukang pandu, tukang jaga, tukang solek dan tukang ketua segala tukang. Elaun mereka bukan banyak sangat, tetapi dari tidak ada kerja langsung, baik juga beri mereka kerja . Yang melantik mereka kejawatan itu bukan aku, tetapi orang besar negeri.

Hari hari lain , ada juga yang menziarahiku. Kalau yang rapat sangat, cinta kasihnya boleh lima kali sehari jumpa. Tak dapat siang datang malam . Yang jauh, sekali sekala tu datang juga jenguk menjenguk dan bertanya khabar. Yang ramainya buat tidak kisah dekat aku. Kerap kali orang suruhanku memanggil mangil ,tak juga datang datang. Aku tidak pula berkecil hati. Mereka datang aku santuni , aku layani dan berikan hadiah hadiah selagi dapat ku berikan.

Seingat aku didalam sebulan ada sahaja orang yang tidak aku kenali datang. Terkadang 4 kali , terkadang sampai 10 kali. Itu pun aku tidak jemput tetapi terpaksa , kerana tukang pandu aku membawanya kehadapanku. Aku nak beritahu siapa mereka.

Rabu lepas, lepas asar ada orang menalipon tukang-tukang yang aku miliki.
"Pak Wan, boleh tak datang segera ke rumah kami. Kami nak pinjam tukang mandi dan tukang solek. Lepas tu pimjam kereta dengan tukang pandunya", aku terdengar perbualan mereka . Di dalam hatiku berbisik, siapa nak pimjam memimjam ni, miskin sangat ke ?

Selepas magrib , ramai orang datang . Ada yang memberi salam ada yang tidak. Aku separuh terkejut dengan ramainya yang datang itu tidak dikenali. Kalau aku tanya Ayah Wan, dia akan jawab "tu orang Kg Wakaf lama". Mungkin kedudukan aku di tengah tengah kawasan metropolitan. Lagi pun aku kaya dan bergaya. Punya ramai pelayan dan orang suruhan. Kiri aku Kg Tok Jering, kanan aku Kg Tok Mai, depan aku Banggol Meleleh dan belakang aku Gong Budak. Rasa asing kiranya yang datang menjenguk aku orang yang tidak dikenali.

Azan dilaungkan, beraturlah orang yang bertamu tadi untuk solat maghrib. Ketua tukang dari segala tukang yang aku miliki, berdiri mengimamkan solat. Aku gembira sangat kerana pada maghrib ini ramai orang menamuku. Selesai berdoa, aku mendengar tukang suara aku meminta membawa masuk mengadap tetamu baru. Aku heran, mengapa tidak masuk bersama dengan orang yang solat tadi. Mengapa perlu dia dikemudiankan ? Mulia sangat ke orangnya?

Suasana sedikit bising, seluruh mata melihat tetamu yang dimaksudkan oleh tukang suara aku. Dia diusung oleh 4 orang awak-awak. Pakaiannya putih selepuk, seolah olah baru dibeli. Ada lima ikatan , mungkin yang memakaikan itu tukang mandi yang mereka pinjam dariku. Biasalah, kalau dia yang memandi dan memakaikan baju , itulah fesyen yang diminati. Dia suka mengikat di atas kepala, di dada , pinggang, betis dan kaki. Aku pelik lagi, sebab aku tidak kenal orang yang baru datang ini.

"Mengapa dia tidak datang sebelum masa ini"? detik hatiku kecewa.

Kalaulah dia datang dengan sendiri, dapat aku rai dan muliakan dia, dapat aku hadiahkan darjat yang banyak. Aku mungkin dapat kenal mukanya dan tersenyum dengan hati lapang. Ini tidak ! Datang sebagai tamu kerana dipaksa datang. Tidak boleh berjalan sendirikah sampai diusung ramai orang. Sudahlah begitu , masuk ke ruang tamuku pun orang lain yang meminta izin dan memberi salam. Tidak ada mulut kah untuk bersuara ? Aku rasa macam nak marah pada tamu yang terpaksa bertamu. Tidakkah ada yang memberitahu, "solatlah sebelum kamu disolatkan". Tidak adakah yang memberi ingat, "beramallah sebelum mati,kerana mati itu mematikan amal".

Mengapa disolatkan dia di sini ? Tidak ada tempat lainkah ? Solatlah di rumahnya. Bukankah selama ini dia solat di rumah , walaupun ada hukum mewajibkan semua lelaki bejemaah .

Rasa geram masih membuak. Mahu aku larang mereka membawa masuk tamu tidak diundang ini. Aku cuba beristighfar . Cuba menenangkan perasaan sendiri. Tidak mengapalah , berilah sedikit belas kesihan padanya. Mungkin dia tidak punya rumah. Mungkin rumahnya sesempit rumah PPRT. Mungkin rumahnya sebesar RMMM (rumah murah mampu milik), cukup untuk tidur anak beranak. Dapur pun sempit, ruang tamunya sempit yang cuma muat set sofa sahaja.Bilik airnya pun tidak dapat memuatkan lebih orang untuk upacara mandi kapor barus daun bidara. Hendak tidak hendak aku terima jugalah dia untuk dibaringkan di ruang tamuku.

"Mengapa dia tidak bercakap dengan aku"?
"Bisukah dia"? aku terpinga pinga lagi.

Tukang tukang aku ramai yang hadir. Masing masing tahu apa yang patut dibuat. Seorang duduk di depan dan melaungkan takbir al ihram. Orang yang dibelakang mengikut patuh. Takbir kali kedua dan takbir kali ketiga. Mereka membaca dengan kusyuk sekali. Kemudian bedoa dan memberi salam. Sekejap je. Hatiku masih bertanya , yang terbaring itu siapa. Cuba cuba mencuri dengar kalau kalau orang ramai tersebut namanya.

"Pak Awang !, siapa dia yang terbaring tu" ? tiba tiba suara Lamin, tukang bersih aku memecah kesunyian. Rupanya Lamin tidak kenal juga . Dia biasa menyapu di laman bunga dan tempat letak kereta. Tiap tiap orang yang datang Lamin kenal bahkan no plat kereta, jenis dan warnanya pun Lamin kenal.

"Encik Tumin anak Teman, guru sekolah Gong Budak", jawab Pak Awang selamba.

"Pernah ke dia ke mari"? Lamin mennyelidik untukku.

'Jarang sekali, jumaat pun kadang ada kadang tak ada", Pak Awamg saolah olah menyesali kekurangan pemahaman islam dikalangan ahli qaryah.

"Dia sibuk, guru, pagi ngajar budak, petang budak budak sukan, malam sibuk dengan anak isteri , mana ada masa hendak menjenguk kita. Kita pelawa datang lima kali sehari pun tidak dengar. Ini pula saja saja nak datang." suara sesal Pak Awang.

"Patutnya gurulah jadi tauladan pada anak murid. Jadi guru yang taat pada Allah, anak murid akan hormat dan ikut contoh baik guru guru", Lamin menambah.

Perbualan mereka terhenti. Tumin diusung ke luar. Awak awak tadi yang mengusungnya, mungkin warih warah dia. Tumin diletakkan dalam kotak kayu. Muat untuk dia seorang. Mengapa tidak diletakkan tilam kecil ke, pemaidani ke di bawahnya , selesa sikit. Ngapa warih warah tidak kesian kat Tumin. Kan sakit tu baring atas lantai kayu. Aku memerhati sahaja apa yang diperlakukan pada Tumin. Kotak kayu itu ditutup , kemudian diselimuti dengan kain yang bertulis ayat Quran.

Tidak ada apa yang dibawa oleh Tumin. Jam tangan rolex dengan cincin besi telah dicabut oleh tukang mandi sebelum mandi tadi. Harta dia yang lain, tidak banyak tetapi dibekukan sementara untuk difaraidkan oleh imam. Anaknya ada 3 orang , yang sulung sekolah menengah. Yang tengah sekolah rendah dan yang bongso baru berjalan. Mujur tidak ramai. Kalau ramai , susah juga suku sakat hendak mengagihkan harta untuk anak yatim.

Pak Wan , awak awak dan tukang tukang tadi mengangkat kotak kayu yang berisi Tumin dan meletakkan di dalam kereta milikku. Sewaan mesti dibayar ikut jauh perjalanan. Aku rasa, Tumin tidak pergi jauh. Habis jauh dia akan ke 'homestay' Wakaf Baru. Aku pun tidak ingat , Tumin daftar ke tidak untuk menjadi penyewa kekal di homestay itu.

Menurut Pak Wan, semua ahli qaryah mesti mendaftar dalam Buku Khairat Homestay dan bayar Rm 10 setahun. Aku rasa Tumin lupa nak daftar dulu. Sebabnya dia jarang berjumpa dengan tukang gali dan tukang kambus. Mujur juga ada sikit rezab untuk orang yang lalai. Kalau tidak , Tumin nak tidur di mana sepanjang panjang malam.

Bergeraklah perlahan lahan kereta yang membawa Tumin. Masing masing berdiri untuk memberi hormat walaupun tidak pernah kenal. Orang islam disuruh menghormati orang walau pun tidak dikenali, walaupun tidak pernah bertegur sapa . Aku memerhati sehingga kereta tadi hilang dari pandangan.

Jemaah yang tinggal meneruskan tafakkur. Tiba tiba bangkit seorang berjubah kelabu, kacak dan putih kulitnya. Dia memegang pembesar suara lantas berkata;
"Tuan tuan yang di muliakan , kita hidup tidak kekal lama. Mesti akan mati dan roh kita pulang kepada Allah. Bila berjumpa denganNya , Dia akan bertanya kita tentang beberapa perkara. Pertama umur kita, kita habiskan untuk apa? Kedua ,masa lapang kita habiskan untuk apa? Ketiga , harta kita habis bagaimana? Keempat, sihat kita guna buat apa? Bersiap sedialah wahai tuan tuan dengan jawaban yang baik. Bersedialah untuk diazab di dalam kubur kalau kita masih melalaikan perintah Allah taala." Kemudian dia beredar untuk mengimamkan solat isya'.

Aku memerhati orang yang datang . Aku mendoakan orang yang pergi.
Wahai manusia, sesungguhnya kamu semua di dalam kelalaian dan rugi. Datanglah menjenguk ku setiap kali ada panggilan. Tukang panggil aku namanya Muazzin dan akulah yang bernama 'Masjid'.

sesal tak sudah.

Suatu ketika, aku susuri pantai . Di tangan kananku memegang kemas tangan sikecil. Usia menjangkau 4 tahun. Bertatih bersama sambil kaki bermain ombak yang gelunsur menuruni pantai. Sambil bejalan kami berbicara , kemudian kami ketawa bersama sama.

Lama kami berjalan, penat terasa di tapak kaki. Sikecil merengek keletihan. Aku angkat dan ku gendongnya mendaki pantai dan berlabuh di bawah pokok rhu yang rendang.

Di situ, aku merenung panjang , menjangkau lautan Cina Selatan ,jauh hingga ke kaki langit.

"Mak, ngapa mak tidak mahu saya ambil orang gaji ,"? anakku mahukan kepastian. Di sudah berkahwin , bersuamikan guru dan dia sendiri kerja sebagai guru di sekolah berhampiran rumahku. Anak kecil baru 5 bulan usia dan yang sulung berumur 4 tahun.

"Tidak mengapa emak menjaganya, lagi pun mak tidak ada kerja, pencen, " jawabku tegas. Rasanya lebih selamat kalau cucu cucu ku itu aku yang mengasuhnya.

"Sepatutnya mak berehat saja, masa kami kecil-kecil dulu kan mak yang mengasuh. Nanti apa kata orang . Saya tidak mahu orang fitnahkan dan menuduh saya menjadikan emak sebagai orang gaji," anakku berhujjah untuk membenarkan tindakannya.

"Mak tau tu, tapi orang gaji masa ni mana ada yang baik, ngerilah mak dengar cerita sana sini. Orang gaji bunuh anak majikan lah, larikan anak tuan lah, tinggalkan anak kecil bersendirian atau tinggalkan langsung tanpa khabar," sungutku panjang.

"Taklah ngitu, mak. Kita cari orang yang boleh dipercayai. Kita ajar ugama. Kita uji ketaatan dan keimanan dia. Kemudian kita mengharap pada Allah agar dia boleh berlaku amanah," Anakku membela hujjahnya lagi.

"Kalau begitu , mak setuju," Jawabku separuh lesu.

Lamunan aku mati tiba-tiba. Sesaorang menegur dan memberi salam . Seorang wanita , usianya 5 tahun tua dariku.

"Kak!, ingatkan siapa tadi. Lama dah kak sampai"?
"Baru kejap, tak sangka boleh jumpa di sini. Nur datang dengan siapa ni"? sapaan yang mesra sekali.

"Cucu sulung , Fahmi anak kak long," Jawabku sambil membelai rambut halus yang ditiup angin.

"Kak datang sorang je! takkan tak berteman ,"? Usikku, walaupun aku tahu dia belum berumahtangga. Tidak mahu atau merajuk untuk berteman , itu hal dia, aku tidak ambil berat.

"Apa nak kata, katalah, kak tak marah. Takdir tuhan untuk kak begini, kita terimalah," Ungkapan penuh keredhaan.

Dia duduk di sisiku, Fahmi leka bermain pasir dan dia tidak menghiraukan siapa di sisiku. Kami berbual mesra, dari cerita kepada berita, dari harapan kepada kenyataan. Lupa kami kepada orang ramai yang berkeliaran di pantai. Leka kami kepada hiruk pikuk suara suara manusia. Kami rasa kami bertiga sahaja di situ. Selang seli kami ketawa bersama. Tetapi bila ada suatu kerunsingan terpancar di wajahnya , segera aku pegang tangannya , kugenggam erat, aku pautkan bahunya dan keluarlah kalimat kesabaran. Mungkin itu yang mampu aku lakukan bagi meredakan keresahannya.

Kami saling bertukar cerita, berkongsi rasa. Bila tiba giliran aku yang resah kecewa, sedia pula dia menenangkan aku dengan cara yang sama aku buat padanya.

Mungkin lama berpisah, banyak cerita yang ingin diluah. Masa selalu menghimpit cemburu. Senja dan cahaya hampir suram. Orang ramai beralih haluan untuk pulang. Aku akur dengan waktu. Fahmi , jadi perhatian kami pula. Dia bangun dan merapati kakak, menghulurkan tangan halus dan mencium tangan yang sudah lebih separuh abad. Kakak memaut tubuh kecil itu, menciumnya bertalu-talu penuh rasa kasih dan sayang. Sikecil melintuk liuk separuh kegelian. Indahnya episod cinta seorang insan dengan sikecil.

Ku rakam gambarnya. Kulihat wajahnya puas , gembira dan ceria.

Kami berpisah, untuk sementara waktu ini dia (kakak) duduk di rumah sewa. Rumah kekal masih dalam pembinaan. Kalau siap nanti dia akan menjemput aku untuk meraikan kesyukuran itu. Alhamdulillah Allah masih memberikan dia sihat dan cergas walaupun aku tahu bila usia sudah melepasi monopose, akan berlaku ketidak stabilan tubuh. Mudah letih dan sakit sakit sendi atau tulang.

Aku pimpin sikecil ke kereta kancilku. Memandu keluar dari keheningan pantai. Pulang ke rumah banglo pusaka arwah suami.

Hilang tempat berpaut bukan bermakna hilang harapan hidup. Aku masih ada anak lelaki yang dapat menyara aku tua. Aku masih ada pencen bulanan . Aku masih ada kawan kawan jauh dan dekat yang selalu bertanya khabar. Lagipun setiap seminggu kami dapat bertemu di surau , menimba ilmu dari 'telaga ilmu' yang tidak pernah kering. Aku sarankan juga kawan kawan yang hendak pencen atau sudah pencen, isilah waktu itu dengan menuntut ilmu dan selesaikan masalah yang belum selesai.

Apabila siap semua urusan, aku menghampiri meja tulisku, di kiriku sebuah komputer pemberian anak ketigaku sebelum dia menyambung belajar ke luar negera. Itulah temanku waktu malam. Membaca berita, membaca blog yang berbagai-bagai, bila ada idea dan kekuatan , aku menaip semahu-mahunya. Aku kirimkan kepada siapa saja yang aku ingat. Kadang-kadang berbual dengan anak anak yang jauh dimata melalui talian tampa wayar.

Tanganku terus menari , menekan butang butang huruf menjadikan ia rangkaikata yang bermakna.

Sekitar tahun 60 an lahir seorang bayi perempuan, hidup dalam keluarga yang serba kurang. Bapa tidak ada kerja tetap, kadang-kadang menoreh pokok getah, kadang-kadang bertukang rumah , bila tiba musim menanam padi , bapaku dibantu ibu berulang alik ke sawah pusaka yang sekangkang kera untuk menabur benih. Musim menuai adalah saat yang menggembirakan semua petani termasuk aku dan keluargaku.

Ada beras dalam simpanan. Ada padi di dalam 'kepok' . Ada pokok buah buahan di keliling rumah. Ada kelapa untuk menggulai dan menyayur dan ada ikan di sungai untuk dikail, kira kayalah tu. Tidak perlu mengemis sana sini. Masatu duit tidak dikira sangat, asal ada nasi , lauk dan ulaman . Cukup lah dan boleh hidup gembira.

Sesuatu kekurangan yang kurasai. Membesar dalam suasana kampung. Hari sekolah, pergi dengan berjalan kaki, jauh tak jauh lebihkurang 4 batu berjalan. Yang kaya dan mampu pergi sekolah dengan basikal. Masa itu tidak ramai yang memiliki motor dan kereta. Aku yang miskin ini, kenalah berkayuh kaki pergi dan balik. Ada suatu ketika berkaki ayam kerana tidak mampu beli kasut sekolah. Nak tumpang kenderaan, siapa yang sudi !, kerana kemiskinan , orang tidak pandang walau dengan sebelah mata.

Sebelah petang selepas zohor, membasuh baju di sungai yang tidak jauh dari rumah. Rumah rakit, itulah tempat mandi, buang air dan membasuh kain baju . Kalau ramai kenalah menunggu giliran. Rumah rakit itu pun jiran yang punya. Dia kaya dan harta banyak dan anak pun ramai. Kami yang miskin ini kadang-kadang malu kerana selalu sangat menumpang kemudahan awam yang dibinanya itu.

Selesai mandi, barulah bersiap ke surau berhampiran untuk mengaji Quran. Lelaki dan perempuan lebih kurang 15 ke 20 orang, umur sekolah rendah . Budak budak kampung bila masuk sekolah menengah dah tidak minat untuk sambung mengaji atau mengkatamkan bacaan Quran. Ibubapa tidak mengambil berat sangat tentang hal ini. Mereka sibuk dengan dunia mencari rezki. Ada masa, baru dapat mengajar anak mengaji di rumah, itupun kalau ibubapa yang pandai mengaji. Kalau ibubapa yang tidak pandai lagi lalai, maka mewariskanlah mereka anak-anak yang buta Quran dan buta agama.

Aku membesar, menimba ilmu dan pengalaman sebagai budak kampung yang miskin. Dari sekolah rendah, ke sekolah menengah di bandar dan melanjut pelajaran ke ibu kota. Tuhan mempermudahkan jalan hidup bagi aku dan memperluaskan rezki dari kiri kanan atas dan bawah. Bila berdepan dengan mewah rezki , aku akan terkenang suatu masa dulu aku pernah makan nasi berkuah santan dan berlaukkan garam. Seringkali peristiwa itu aku ceritakan kepada kawan kawan. Ada yang senasib, ada lagi yang lebih teruk dariku.

Keluar dari alam menuntut kepada alam mendidik anak bangsa. Medan mendidik inilah yang paling sukar bagiku. Kita akan berdepan dengan pelajar yang buta huruf walaupun umurnya 12 tahun atau lebih. Bagaimana mungkin kita mengajar ?

Kita akan berdepan dengan pelajar yang tidak beradab, sombong dan degil. Adakah mereka dari keluarga miskin atau kaya ? Adakah mereka tidak ada guru agama untuk mendidik adab adab di dalam masyarakat ? Kedegilan mereka ini membuatkan guru guru bingung dan bertindak kasar untuk memperbaiki akhlaq.

Inikah bangsa ku, tidak berpegang pada ajaran agama ? Ini kah bangsaku yang ketinggalan di semua bidang kehidupan. Tanah tanah terbiar akhirnya terjual. Anak anak terbiar akhirnya tergadai (maruah). Apa yang ada pada bangsaku lagi ?

Di harap pada bahasa ? Bahasa pun menjadi 'rojak keling'. Di harap pada budaya, Melayu sendiri tidak suka budaya asli , yang diamalkan budaya asing. Hendak melihat peradaban sopan bersendikan agama? Jauh sekali untuk melihat bangsaku kuat beradat bersendikan syariat seperti amalan nenek moyang dahulu. Apa yang masih ada pada bangsaku ?

Betul kata kawanku, yang tinggal songkok , sampin dan kebaya untuk di pamer. Banyak khazanah bangsaku sudah di 'muzium'kan. Salah siapakan ini ? Rakyat atau 'Raja' ?

Apabila letih mataku, lesu jari jemariku dan tumpul mindaku, aku merelakan berpisah dengan 'sahabat'ku. Biasanya belum sempat berdengkur sudah bermimpi. Aku lena dalam pelukan malam....

kedegilan hati.

Aku melihat diriku, rupaku, bahasaku dan budaya hidupku. Tentunya kulitku sawo matang , orang akan mengatakan aku Melayu. Bila mereka mendengar pertuturanku, bahasa Melayu dialek Pahang, mereka mengenal aku sebagai anak jati Pahang Darul Makmur. Mereka memperhatikan pula budaya hidupku, tekun menuntut ilmu islam, mengajarkan kepada orang lain, berpakaian baju kurung Pahang atau baju kurung Malaysia dan tidak suka bergaul dengan sembarangan orang, orang akan menelah aku sebagai penganut islam dan berbudaya hidup islam.

Aku menilik pula hidup bangsaku. Warna kulit sama dengan kulitku. Bahasanya sama dengan bahasaku. Cara hidup mereka berbeza amat dengan cara hidupku. Tidak semua tetapi mencecah 80 %. Ingin ku nyatakan mengapa berlaku perbezaan ketara wal hal mereka mengaku beragama Islam.

Pendidikan agama terabai.

Orang kampung biasa mengaji quran dengan guru-guru Quran . Ada guru persendirian dan turun temurun sebagai tukang ajar mengaji. Ada juga guru yang digaji khas dari Jabatan Agama Islam negeri-negeri. Oleh kerana orana Melayu menganggap mengaji itu wajib dan anak-anak mesti diberi kebolehan mengaji terlebih dahulu sebelum mereka kahwin atau merantau mencari pekerjaan. Tetapi tidak semua anak anak mereka mengaji dan qatam mengaji. Ramai juga yang tidak berkesempatan mengaji kerana terlalu banyak aktiviti sekolah dan keletihan .

Guru mengaji cuma mengajar kemahiran membaca , tajwid yang betul dan fasih . Apa yang dibaca tidak diambil peduli. Ayat ayat Allah cuma untuk dibaca. Kalau tamat bacaan dibuatlah majlis kesyukuran Qatam Quran. Itu sahaja. Tiada guru yang menafsirkan ayat ayat yang dibaca, tidak ada peruntukan untuk itu. Jadi anak anak juga orang dewasa kalau setakat mengaji ramai yang menjadi juara. Tetapi apa yang dikehendaki dari pembacaan Quran itu ialah pemahaman dan pelaksanaan hukum yang terkandung di dalam Kitab Suci itu. Siapa yang peduli ?

Ilmu Fardhu 'Ain , diajar mengambil wudhu' , kemudian solat dan ilmu berpuasa sekadar anak anak dapat mengetahuinya. Solat atau tidak itu tanggungjawab ibu bapa mereka . Puasa atau tidak , diluar bidang kuasa guru-guru. Sekiranya anak anak dari keluarga yang menitik beratkan amalan agama , selamatlah . Mereka terus dididik di sekolah, di surau dan di rumah. Kalau anak anak dari keluarga yang tidak perihatin dengan pendidikan anak, sungguh bernasib malang anak anak itu, masa mudanya terbuang dan membesar dalam keadaan jahil agama.

Anak anak itulah bakal menjadi dewasa dan menjadi ahli qaryah. Apakah akan berlaku bila gilirannya berkeluaga dan memiliki anak anak pula ?

Jikalau papa tidak solat, mama tidak solat, apakah mungkin anak anaknya akan solat ? Jika ayah dan mama tidak berpuasa, apakah mungkin anak anaknya akan berpuasa. Jika tuturkata ibubapa tidak mengandungi iman dan islam , apakah mungkin anak anak akan islam dan beriman ? Sukarkah untuk menjawabnya ?


Pemerintah mengabaikan agama rakyatnya.

Kuasa yang ada pada pemerintah sepatutnya digunakan untuk menjaga;
1. Maruah atau kehormatan .
2. Harta benda rakyat dari dicerobohi.
3. Amalan agama rakyat.
4. Nyawa rakyat.

Kita melihat ke 4 perkara di atas telah diabaikan oleh orang yang punya kuasa memerintah. Terutama agama, bila agama tidak ditanamkan dalam jiwa anak anak , orang dewasa dan keseluruhan rakyat maka berlakulah kepincangan dalam masyarakat. Hidup tidak berpegang kepada agama macam hidup haiwan. Tidak akan tahu halal dan haram , dosa dan pahala. Tidak mempedulikan kesengsaraan dan kesulitan orang lain. Tambah lagi kesilapan rakyat, baik ia berdosa besar atau kecil ,atau bersalah di sisi masyarakat atau Tuhan, didiamkan , diabaikan dan tidak diberi deraan pengajaran yang
menyedarkan mereka dari salahlaku.

Orang yang mencuri tidak dihukum, orang yang minum arak tidak dihukum, orang yang berbuat jahat tidak di hukum, sedangkan cara menghukum itu terkandung di dalam ajaran Quran . Berlarut larutan berlaku kejahatan, sehinggakan rakyat tidak takut untuk berbuat jahat.

Jikalau adapun hukuman dilaksanakan, ia tidak menepati hukum atau mengambil penghukuman dari Allah ,tidak akan menghasilkan apa apa kebaikan melainkan menambah rugi. Yang dihukum akan mengulangi lagi . Yang memerhati mengambil mudah dan tidak memberi kesan "ketakutan" berbuat jahat.


Pendakwah dan penyebaran ilmu islam

Ramai orang memiliki Ijazah , Diploma dan Sijil. Universiti bercambah di mana mana. Peluang untuk menuntut ilmu terbuka luas untuk rakyat. Tetapi aku merasakan ada sesuatu yang terpinggir dan dipinggirkan oleh kebanyakan manusia. Iaitu satu institusi yang memberi pendidikan rohani rakyat.

Kebanyakan manusia mengejar kebendaan, kejar kemewahan, kejar keselesaan tetapi tidak mengejar kebahagiaan yang sebenarnya.

Lantaran kesibukan mengejar benda yang akan hilang dan musnah, mereka akhirnya hidup sengsara kerana tidak mempunyai bekalan iman dan taqwa. Oleh itu, akhirnya golongan agama juga yang akan dicari untuk mengisi kekurangan yang berlaku.

Wahai Pendakwah , bersedialah untuk menggarap harapan manusia yang dahulunya lalai. Ketepikan kejengkelan terhadap si sombong. Layangkan pandangan kasihsayang kepada setiap manusia. Maniskan mulut dengan doa dan kata-kata . Rendahkan sayap untuk sama seiring bertabur budi , berlebur diri memperbaiki kembali akhlak yang telah rosak. Menyemai benih keimanan , membajai dengan amalan soleh dan qudwah hasanah.

Rebut Peluang dan Ruang.

Masa terlalu pantas berlari. Usia mengejar tua. Hidup menanti mati. Sebelum terlambat aku nasihatkan diriku, kawan kawan ku ,anak anakku, dan sesiapa sahaja yang membaca tulisanku. Siapa pun kita, apapun pangkat kita, kita semua akan kembali kepada tuhan yang satu iaitu ALLAH. Yang akan membangkitkan semua manusia dan memperhitungkan amalan baik buruk kita. Masih ada waktu untuk kita melafazkan taubat. Masih ada masa untuk kita beribadat. Isilah saat yang ada dengan zikrullah. Ruang rehat untuk menuntuk ilmu dan berjamaah.

Samua manusia itu rugi kecuali....orang yang beriman, beramal soleh, berkata benar dan sabar melaksanakan ketaatan dan sabar meninggalkan kejahatan.

Segeralah menggabungkan diri dengan golongan yang taat kepada Allah dan Rasul. Buangkan keegoaan rasa. Hapuskan kedengkian budi. Padamkan kedegilan hati. Pautlah pada dahan yang kukuh iaitu Islam.