aku tidak kenal.

Tiap tiap hari Jumaat, aku menjadi tumpuan ramai. Pelayan atau 'orang gaji' aku kalau di hitung ramai juga. Tukang bersih, tukang arah, tukang pandu, tukang jaga, tukang solek dan tukang ketua segala tukang. Elaun mereka bukan banyak sangat, tetapi dari tidak ada kerja langsung, baik juga beri mereka kerja . Yang melantik mereka kejawatan itu bukan aku, tetapi orang besar negeri.

Hari hari lain , ada juga yang menziarahiku. Kalau yang rapat sangat, cinta kasihnya boleh lima kali sehari jumpa. Tak dapat siang datang malam . Yang jauh, sekali sekala tu datang juga jenguk menjenguk dan bertanya khabar. Yang ramainya buat tidak kisah dekat aku. Kerap kali orang suruhanku memanggil mangil ,tak juga datang datang. Aku tidak pula berkecil hati. Mereka datang aku santuni , aku layani dan berikan hadiah hadiah selagi dapat ku berikan.

Seingat aku didalam sebulan ada sahaja orang yang tidak aku kenali datang. Terkadang 4 kali , terkadang sampai 10 kali. Itu pun aku tidak jemput tetapi terpaksa , kerana tukang pandu aku membawanya kehadapanku. Aku nak beritahu siapa mereka.

Rabu lepas, lepas asar ada orang menalipon tukang-tukang yang aku miliki.
"Pak Wan, boleh tak datang segera ke rumah kami. Kami nak pinjam tukang mandi dan tukang solek. Lepas tu pimjam kereta dengan tukang pandunya", aku terdengar perbualan mereka . Di dalam hatiku berbisik, siapa nak pimjam memimjam ni, miskin sangat ke ?

Selepas magrib , ramai orang datang . Ada yang memberi salam ada yang tidak. Aku separuh terkejut dengan ramainya yang datang itu tidak dikenali. Kalau aku tanya Ayah Wan, dia akan jawab "tu orang Kg Wakaf lama". Mungkin kedudukan aku di tengah tengah kawasan metropolitan. Lagi pun aku kaya dan bergaya. Punya ramai pelayan dan orang suruhan. Kiri aku Kg Tok Jering, kanan aku Kg Tok Mai, depan aku Banggol Meleleh dan belakang aku Gong Budak. Rasa asing kiranya yang datang menjenguk aku orang yang tidak dikenali.

Azan dilaungkan, beraturlah orang yang bertamu tadi untuk solat maghrib. Ketua tukang dari segala tukang yang aku miliki, berdiri mengimamkan solat. Aku gembira sangat kerana pada maghrib ini ramai orang menamuku. Selesai berdoa, aku mendengar tukang suara aku meminta membawa masuk mengadap tetamu baru. Aku heran, mengapa tidak masuk bersama dengan orang yang solat tadi. Mengapa perlu dia dikemudiankan ? Mulia sangat ke orangnya?

Suasana sedikit bising, seluruh mata melihat tetamu yang dimaksudkan oleh tukang suara aku. Dia diusung oleh 4 orang awak-awak. Pakaiannya putih selepuk, seolah olah baru dibeli. Ada lima ikatan , mungkin yang memakaikan itu tukang mandi yang mereka pinjam dariku. Biasalah, kalau dia yang memandi dan memakaikan baju , itulah fesyen yang diminati. Dia suka mengikat di atas kepala, di dada , pinggang, betis dan kaki. Aku pelik lagi, sebab aku tidak kenal orang yang baru datang ini.

"Mengapa dia tidak datang sebelum masa ini"? detik hatiku kecewa.

Kalaulah dia datang dengan sendiri, dapat aku rai dan muliakan dia, dapat aku hadiahkan darjat yang banyak. Aku mungkin dapat kenal mukanya dan tersenyum dengan hati lapang. Ini tidak ! Datang sebagai tamu kerana dipaksa datang. Tidak boleh berjalan sendirikah sampai diusung ramai orang. Sudahlah begitu , masuk ke ruang tamuku pun orang lain yang meminta izin dan memberi salam. Tidak ada mulut kah untuk bersuara ? Aku rasa macam nak marah pada tamu yang terpaksa bertamu. Tidakkah ada yang memberitahu, "solatlah sebelum kamu disolatkan". Tidak adakah yang memberi ingat, "beramallah sebelum mati,kerana mati itu mematikan amal".

Mengapa disolatkan dia di sini ? Tidak ada tempat lainkah ? Solatlah di rumahnya. Bukankah selama ini dia solat di rumah , walaupun ada hukum mewajibkan semua lelaki bejemaah .

Rasa geram masih membuak. Mahu aku larang mereka membawa masuk tamu tidak diundang ini. Aku cuba beristighfar . Cuba menenangkan perasaan sendiri. Tidak mengapalah , berilah sedikit belas kesihan padanya. Mungkin dia tidak punya rumah. Mungkin rumahnya sesempit rumah PPRT. Mungkin rumahnya sebesar RMMM (rumah murah mampu milik), cukup untuk tidur anak beranak. Dapur pun sempit, ruang tamunya sempit yang cuma muat set sofa sahaja.Bilik airnya pun tidak dapat memuatkan lebih orang untuk upacara mandi kapor barus daun bidara. Hendak tidak hendak aku terima jugalah dia untuk dibaringkan di ruang tamuku.

"Mengapa dia tidak bercakap dengan aku"?
"Bisukah dia"? aku terpinga pinga lagi.

Tukang tukang aku ramai yang hadir. Masing masing tahu apa yang patut dibuat. Seorang duduk di depan dan melaungkan takbir al ihram. Orang yang dibelakang mengikut patuh. Takbir kali kedua dan takbir kali ketiga. Mereka membaca dengan kusyuk sekali. Kemudian bedoa dan memberi salam. Sekejap je. Hatiku masih bertanya , yang terbaring itu siapa. Cuba cuba mencuri dengar kalau kalau orang ramai tersebut namanya.

"Pak Awang !, siapa dia yang terbaring tu" ? tiba tiba suara Lamin, tukang bersih aku memecah kesunyian. Rupanya Lamin tidak kenal juga . Dia biasa menyapu di laman bunga dan tempat letak kereta. Tiap tiap orang yang datang Lamin kenal bahkan no plat kereta, jenis dan warnanya pun Lamin kenal.

"Encik Tumin anak Teman, guru sekolah Gong Budak", jawab Pak Awang selamba.

"Pernah ke dia ke mari"? Lamin mennyelidik untukku.

'Jarang sekali, jumaat pun kadang ada kadang tak ada", Pak Awamg saolah olah menyesali kekurangan pemahaman islam dikalangan ahli qaryah.

"Dia sibuk, guru, pagi ngajar budak, petang budak budak sukan, malam sibuk dengan anak isteri , mana ada masa hendak menjenguk kita. Kita pelawa datang lima kali sehari pun tidak dengar. Ini pula saja saja nak datang." suara sesal Pak Awang.

"Patutnya gurulah jadi tauladan pada anak murid. Jadi guru yang taat pada Allah, anak murid akan hormat dan ikut contoh baik guru guru", Lamin menambah.

Perbualan mereka terhenti. Tumin diusung ke luar. Awak awak tadi yang mengusungnya, mungkin warih warah dia. Tumin diletakkan dalam kotak kayu. Muat untuk dia seorang. Mengapa tidak diletakkan tilam kecil ke, pemaidani ke di bawahnya , selesa sikit. Ngapa warih warah tidak kesian kat Tumin. Kan sakit tu baring atas lantai kayu. Aku memerhati sahaja apa yang diperlakukan pada Tumin. Kotak kayu itu ditutup , kemudian diselimuti dengan kain yang bertulis ayat Quran.

Tidak ada apa yang dibawa oleh Tumin. Jam tangan rolex dengan cincin besi telah dicabut oleh tukang mandi sebelum mandi tadi. Harta dia yang lain, tidak banyak tetapi dibekukan sementara untuk difaraidkan oleh imam. Anaknya ada 3 orang , yang sulung sekolah menengah. Yang tengah sekolah rendah dan yang bongso baru berjalan. Mujur tidak ramai. Kalau ramai , susah juga suku sakat hendak mengagihkan harta untuk anak yatim.

Pak Wan , awak awak dan tukang tukang tadi mengangkat kotak kayu yang berisi Tumin dan meletakkan di dalam kereta milikku. Sewaan mesti dibayar ikut jauh perjalanan. Aku rasa, Tumin tidak pergi jauh. Habis jauh dia akan ke 'homestay' Wakaf Baru. Aku pun tidak ingat , Tumin daftar ke tidak untuk menjadi penyewa kekal di homestay itu.

Menurut Pak Wan, semua ahli qaryah mesti mendaftar dalam Buku Khairat Homestay dan bayar Rm 10 setahun. Aku rasa Tumin lupa nak daftar dulu. Sebabnya dia jarang berjumpa dengan tukang gali dan tukang kambus. Mujur juga ada sikit rezab untuk orang yang lalai. Kalau tidak , Tumin nak tidur di mana sepanjang panjang malam.

Bergeraklah perlahan lahan kereta yang membawa Tumin. Masing masing berdiri untuk memberi hormat walaupun tidak pernah kenal. Orang islam disuruh menghormati orang walau pun tidak dikenali, walaupun tidak pernah bertegur sapa . Aku memerhati sehingga kereta tadi hilang dari pandangan.

Jemaah yang tinggal meneruskan tafakkur. Tiba tiba bangkit seorang berjubah kelabu, kacak dan putih kulitnya. Dia memegang pembesar suara lantas berkata;
"Tuan tuan yang di muliakan , kita hidup tidak kekal lama. Mesti akan mati dan roh kita pulang kepada Allah. Bila berjumpa denganNya , Dia akan bertanya kita tentang beberapa perkara. Pertama umur kita, kita habiskan untuk apa? Kedua ,masa lapang kita habiskan untuk apa? Ketiga , harta kita habis bagaimana? Keempat, sihat kita guna buat apa? Bersiap sedialah wahai tuan tuan dengan jawaban yang baik. Bersedialah untuk diazab di dalam kubur kalau kita masih melalaikan perintah Allah taala." Kemudian dia beredar untuk mengimamkan solat isya'.

Aku memerhati orang yang datang . Aku mendoakan orang yang pergi.
Wahai manusia, sesungguhnya kamu semua di dalam kelalaian dan rugi. Datanglah menjenguk ku setiap kali ada panggilan. Tukang panggil aku namanya Muazzin dan akulah yang bernama 'Masjid'.

0 comments:

Post a Comment