Kuasa ajaib dan ghaib

Cuti sekolah berakhir sudah. Apa yang istimewa sangat?

Kakak , anak sulungku menalipon dalam esakan tangis yang membimbangkan. Belum pernah dia sesedih itu. Dari kecil, memang kakak seorang berani, tegas dan pintar. Waktu mendaftar sekolah PASTI , umur baru 6 tahun, tetapi dia tidak takut untuk mendaftarkan dirinya sendiri. Kawan sebayanya ramai yang menyongsong atau beriring dengan kedua orang tua, tetapi kakak tidak demikian. Bila ditinggalkan di dalam kelas, dia tidak menangis melolong seperti anak anak lain. Bagusnya kakak....

Kakak duduk di asrama lebih banyak dari duduk di rumah. Lima tahun di Rusila, kemudian 4 tahun di United Kingdom. Bila di asrama, dia tidak menampakkan kemanjaan seperti adik adiknya yang lain. Anakku Ariff, bila hantar ke asrama petang hari, esok talipon ummi sambil menangis dan mengadu sakit kepala, demam dan sebagainya. Anakku yang manja namanya Ainol, begitu juga. Menangis dan tidak 'lalu' makan di asrama. Akhirnya kedua mereka ditukarkan sekolah yang berhampiran dengan rumah. Berulang alik dari rumah ke sekolah.

Bila kakak sambung belajar ke luar negeri pun macam itu juga. Tidak menunjukkan rasa takut, sedih atau risau. Aku kagum dengan sifat dan bawaan kakak. Tidak hairanlah kalau kakak senantiasa menjadi juara di sekolah dan kolej.

Tetapi pagi itu, sebelum subuh lagi dia sudah menalipon. Dalam tangisan dia bersuara "ummi.... kakak sakit". Aku separuh terkejut. Tangisannya sungguh membimbangkan aku.

"Sakit di mana kak", tanya ku ingin kepastian.
"Kat perut, dari kiri ke kanan". katanya dalam sedu sedu.

Aku bimbang teramat sangat. Kalau dekat boleh dipegang, boleh dirasa dan boleh diurut. Kakak kini sedang belajar di UIAM. Buat master Pengajian Quran dan Sunnah. Duduk di asrama , seorang sebilik. Sakit pening tiada siapa yang dapat melayan dan merawat. Sendiri sakit sendiri rawatlah.

"Kak, ambilkan air, dan ikut ummi baca doa." arahku dari jauh.
"Dah, air dah ada ni". suara yang sangat perlahan.
"Ikut ummi baca, Fatihah, solawat syifa', ayat qudsi dan ayat 3 'kul', tiupkan pada air." aku mengajar kakak.
Selesai membaca , aku suruh tiupkan pada air dan minum.

Kakak ke klinik untuk mendapat rawatan seterusnya. Doktor meng 'sah'kan kakak kemasukan angin dan gastrik. Aku memberikan berbagai bagai petua untuk mem'buang'kan angin dari perut. Cara makan ubat, cara sapuan minyak hangat dan cara senaman. Kalau tidak menjadi juga solat dan berhajatlah pada tuhan yang menjadikan penyakit dan yang menyembuhkah penyakit.

Kami bertemu jodoh di kampus universiti. Kahwin ditahun akhir dan suami tahun 3. Tidak lama , kami dikurniakan kakak (anak sulung) , aku walaupun sudah berumur masih mengharapkan tunjukajar dari ibu untuk menjadi ibu. Banyak perkara tentang 'anak' dan cara menjaga anak tidak diketahui. Ingatkan beranak itu senang. Ingatkan menjaga anak itu mudah. Letih dan cukup membosankan bagi orang yang menjadi ulat buku dan guru. Menjaga dan merawat anak merupakan satu tugas yang berat, dan sepatutnya ibu ibu diberi elaun bagi tugas itu. Siapa sokong kalau aku suarakan ini didalam seminar kekeluargaan ?

Oleh kerana kekurangan ilmu, sibuk dan cuai, kakak sewaktu berumur 4 bulan dihinggapi penyakit lelah. Kami tidak mengetahui bagaimana boleh berlaku begitu. Selepas 'pantang' kami menyewa rumah di Taman Sri Serdang. Rumah simen, di kawasan yang pencemaran udaranya tinggi. Bertolak dari Terengganu, singgah di Pahang dan menetaplah kami di Sri Serdang. Anakku sudah menunjukkan tanda tanda lelah, dadanya berbunyi ketika bernafas. Kami ingat itu tidak memudharatkan, tidaklah kami hirau untuk bawanya ke klinik.

Selang beberapa hari, keadaan kakak semakin lelah dan lemah. Badannya sudah kebiruan. Nafas turun naik perlahan dan perlahan. Dia tidak memberi reaksi apa apa lagi. Bimbang melihat keadaan itu, aku dan suami membawanya ke klinik berhampiran. Doktor seolah olah cemas, mengapa sebegini keadaanya baru pergi ke klinik ?.

Sekarang bukan masa untuk membahaskan masalah itu." Anak puan terpaksa diberi rawatan segera" , doktor memberi keputusan. Harapan untuk hidup mungkin tipis.

Operasi menyelamat terus dibuat. Paru paru kakak di pam. Lendir lendir yang memenuhi paru paru disedut keluar. Lama juga operasi itu dan aku cemas sekali, takut kehilangan anak sulung kami. Alhamdulillah, nyawa kakak panjang. Kakak boleh bernafas kembali dan oksijen mula beredar dalam tubuh kakak. Kebiruan menghilang sikit demi sikit. Dan aku tidak menyangka kakak diberikan hidup hingga ke saat ini.

Bila kakak mengadu sakit dada, aku mulai bimbang kalau kalau penyakit itu berulang lagi dan aku senantiasa berdoa moga kakak diberi sihaat dan dapat berjasa kepada agama dan masyarakat.

Kami mengambil keputusan untuk bercuti, destinasi kami Pekan di rumah emak ayah aku dan jika diizinkan kami akan ke UIA untuk ziarah kakak. Kami bermalam di Pekan. Pagi pagi (esok hari) lagi kami bersiap untuk bertolak ke Gombak. Sampai di UIAM tengahari. Menunggu kakak habis kuliah hingga meliwati waktu zohor.

Kami pergi ke Mahallah Mariam untuk makan tengahari. Di situ banyak menu disediakan. Bagi yang berduit tidak menjadi masalah untuk senantiasa makan dan santai di situ. Bagaimana pula pelajar yang tidak berduit, ikat perutlah...Ada satu iklan yang menarik hatiku, "jika rindu masakan ibu , datanglah ke restoran UMMI". Mungkin itulah tarikan yang menyeronokkan pelajar pelajar di sana dan juga pelawat pelawat seperti kami.

Selesai makan , kami santai sekejap di bilik bujang kakak. Baring, rehat dan solat jama' qasar. 'Siapa yang tidak seronok' menziarahi dan diziarahi. Kedua duanya bahagia kan .???

0 comments:

Post a Comment