Sekeras hati Quraish

Sangkaan kelas dibatalkan, tidak terjadi. Malahan ketua unit penerangan menalipon semua rakan rakan agar hadir mengikuti pengajian seperti biasa. Seperti biasa kelas dirasmikan dengan kalam al fatihah, kemudian dibacakan beberapa ayat dari surah Yunus.

Pemerhatian kami tertumpu pada kalam Allah yang akan dihuraikan oleh naqib kami. Biasa sebelum menyambung ayat baru, diimbaskembali ayat ayat terdahulu supaya kami dapat mememahami kehendak ayat berikutnya.

Mengapa orang Quraish menuduh al Quran itu karangan Muhammad s.a.w ? Bila nabi menulis dan membaca ? Bila pula nabi pandai bersyair ? Jikalau kita perhatikan ayat ayat Allah, kandungannya meliputi peristiwa dan berita sebelum manusia diciptakan, sebelum manusia wujud di bumi lagi, kemudian peristiwa penciptaan bapa manusia, Nabi Adam turun ke bumi, peristiwa nabi nabi dan umat sebelum nabi Muhammad s.a.w.

Kalau quran itu karangan Nabi Muhammad , dari mana dia mengetahui hal hal itu semua.? Bahasa yang digunakan berbeza dengan syair syair Arab yang biasa mereka diklamasikan . Keindahan , ketertiban dan maksud ayat serta ilmu yang terkandung di dalam bait bait ayat alQuran sungguh luar biasa.

Mengapa orang Quraish masih berdegil dan tidak mahu mengakui bahawa al quran itu bukan kata kata Muhammad s.a.w.? Mengapa mereka sanggup menuduh nabi sebagai ahli sihir ?

Wal hal mereka kenal nabi sejak lahir lagi. Walhal mereka melihat nabi miskin dan dipelihara oleh bapa saudara yang miskin. Walhal mereka pernah menggelarkan nabi sebagai al Amin. Mereka tidak pernah melihat nabi melakukan kesalahan juvana atau melakukan kedosaan seperti orang dewasa Quraish buat. Nabi tidak pernah belajar dari sesiapa pun. Tidak ada pun kemahiran 3 M (mengira, membaca dan menulis). Tidak pernah dapat tawaran belajar di sekolah atau maktab. Apakah bukti yang nabi mengarang alquran itu.

Mereka tidak akan dapat memberi jawaban yang tepat. Mereka mengagak dan menuduh semata mata mahu supaya pengaruh nabi tidak berkembang di kota Mekah. Supaya orang ramai mengelak dari berjumpa dengan nabi. Supaya pengaruh pemuka pemuka Quraish tidak luntur dari pandangan kaum Quraish.

Pembesar pembesar Quraish berusaha untuk menyekat Islam dari berkembang di kota Mekah. Mana mana ada muslim yang lemah mereka tindas, siksa, kurung dan paksa murtad.

Itulah diantara intisari yang disampaikan oleh ustazah.

Sikap itu pastinya ada di setiap zaman. Bila Allah berikan kekuasaan, kekayaan dan kemuliaan, disalah gunakan untuk kedurhakaan kepada tuhan yang Maha berkuasa. Bila Allah beri sedikit sahaja nikmat nikmat itu, mereka menjadi melampau batas dan menolak kebenaran.

Berhati hatilah dengan mereka yang seperti itu. Janganlah kamu cenderung untuk berbuat zalim atau bersama sama dengan orang yang berbuat zalim, takut takut nanti kamu akan disentuh oleh api neraka.

0 comments:

Post a Comment