Eid ul-Fitri 2010















Raya dan bahgia

Saban tahun, sehari sebelum raya aidil fitri , kami sekeluarga memulakan musafir untuk pulang ke Pekan Pahang. Hari aidul Adha kami bermusafir ke Besut. Pembagian yang dipersetujui seawal perkahwinan kami.

Pada tahun ini yang berbetulan dengan ulang tahun perkahwinan kami yang ke 25, ulang tahun kelahiran 3 insan antara kami, abah, idah dan ilah , serta istiadat perkahwinan anak keempat kami yang akan berlangsung, maka kami merayakannya di kediaman kami sendiri. Suatu permulaan sebuah keluarga sempurna .

Solat di pagi raya di masjid Wakaf Tembesu. Waktu begini masjid itu akan dikunjungi ramai insan .Yang jauh yang dekat datang bertandang. Yang berkeluarga dan bujang sama sembahyang. Berpangkat atau tiada derajat sama bermunajat kepada Tuhan yang satu (esa). Qiamnya sama, ruku' nya sama , sujudnya sama , mendengar kutbah yang satu dan berdoa untuk keselamatan dunia dan akhirat kepada Allah , tuhan yang sama. Di masjid tiada berbeza, yang berbezanya bila keluar dari masjid, engkau mencari haluan engkau dan aku dengan haluan aku.

Sempat juga aku menghitung amal....Ya Allah, apakah puasaku mabrur ? apakah amal solehku yang terbaik ? apakah dosaku diampun ? apakah aku mendapat kebebasan dari api nerakamu ?
Mengenangkan itu , manik manik air menitis di kedua kelopak mataku. Syahdu dan sayu, sebak yang menggoncang dada. Ya Allah ampunkan aku dan bebaskan aku dari nerakamu.......

Kutbah dibaca oleh wakil rakyat dengan cara terbaru multimedia. Jemaah dapat membaca sambil mendengar isi kutbah melalui 'screen' besar . Pun begitu ada juga jemaah yang tidak mengendahkan ucapan kutbah. Apa yang dapat dikutip ialah seruan untuk bertakwa kepada Allah , mengamalkan islam yang syumul dan menjaga silaturrahim antara manusia.

Selesai solat , bersalamanlah antara kami. lebih seronok kita dapat berjumpa dengan sababat sahabat .

Pulang ke rumah dengan kegembiraan dan harapan. Bergambar anak beranak, 5 orang yang ada di sisi, anak yang ke 5 beraya di Syria. Oleh kerana aku sudah terbiasa berjauhan dengan anak anak , ketiadaan mereka tidak terkesan sangat. Tahun lepas kami sambut raya, anak ke 3 beraya di United kingdom. Tahun sebelumnya , anak bongsu kami tidak beraya bersama kami. Di ke Kuwait dalam bulan ramdhan dan beraya di sana. Begitulah keluargaku tidak pernah cukup bilangannya. Walaubagaimanapun, hatiku seronok, puas dan bahgia melihat kejayaan yang Allah berikan kepada mereka. Mudah mudahan berkat dan selamat.

Ibu mana yang tidak bahgia, anak yang kecil dulu di gendong dalam rahim dengan susah payah, kemudian didukung dengan kelelahan dan keletihan, disusui hampir 2 tahun, dipujuk dan dibujuk bagi meredakan tangisan. Mereka membesar depan mata. Belajar depan mata. Makan minum dan pakai memakai depan mata. Segala masalah diadu pada ibu segera dan segala permintaan kabul segera. oh.....anak anakku tangan inilah yang menimangmu, tangan inilah yang menyuapkan makanan ke mulut kecilmu. Tangan inilah yang menghayun buaimu dan mulut inilah mendodoi tidurmu. Mulut inilah yang mengajar kalimat suci untukmu , mulut inilah yang mengucup pipimu dan memberi sayang kepadamu. Ingatlah anak anakku..........

Bukan balas yang dipinta dan bukan belas yang mahu ibu terima. Cukuplah engkau menberi perhatian di hari hari tua dan doakan ibu bahgia dunia dan akhirat.

Ramadhan ini

Kedatangan ramadhan aku nanti dengan penuh debaran. Segala persediaan fizikal, mental dan perasaan diperkemaskan. Hutang hutang puasa tiada. Hutang dengan manusia tak ada. Kalau ada aku berhutang dengan diri sendiri sebab tidak melangsaikan segala kewajiban dan amanah dengan sebaiknya.

Hari hari Ramadhan , selain puasa dan menjaga adab adab puasa , aku berkesempatan untuk beramal kebajikan dan bersedekah jariah. Pada pagi hari (31 ogos 2010) aku, ketua muslimin dan setiausahanya mengiringi wakil Ustaz Abu Bakar menjelajah kampung dan taman sekitar Qariyah Permint Makmur untuk menyampaikan sumbangan sekadarnya. Infaq dari masyarakat dan korporat muslim diagihkan kepada anak anak yatim, fakir miskin dan keluarga dhaif. Biarpun nilai sumbangan itu kecil tetapi yang memberi berjiwa besar dan yang menerima merasai mereka dihargai dan dicaknai.

Selain itu, dua orang sahabat muslimah menyertai konvoi kebajikan kami. Permulaan perjalanan dan mampir ke rumah keluarga dhaif. Rumah kecil , berpenghuni empat beranak, ketika kami sampai jam sudah 9.30 pagi. Suaminya tiada, kami mengambil masa yang lama untuk berjumpa mereka kerana terpaksa menggerakkan mereka dari mimpi siang hari. Tak apa, kami sabar menunggu. Asalkan sumbangan dapat disampaikan dari tangan ke tangan. Oleh kerana perima itu perempuan, wakil ustaz memberi penghormatan untukku menyampaikan sumbangan. Tangan menghulur salam, disambut dengan senyuman. Sumbangan diberi kasih diterima.

Kami meneruskan perjalanan, rumah kedua milik keluarga nelayan. Pintu diketuk salam diberi. Keluarlah si isteri dalam keadaan yang tidak menyangka kedatangan kami...orang asing. Sempat aku menasihatkan supaya memakai tudung kerana yang datang bersamaku itu muslimin. Ia akur dengan arahan. Sumbangan dihulur dengan kuntuman senyum yang cukup puas.

Kami ke destinasi seterusnya, rumah yang penghuninya 11 orang. Biar miskin harta tapi kaya anak. Itu anugerah Allah. Kedatangan aku dan rombongan disambut ceria. Mereka kenali kami, sebab saban tahun keluarga ini tersenarai dalam penerima zakat dan sedekah.

Jumlah sumbangan kali ini untuk 8 keluarga yang terpilih.Walaubagaimanapun, masih ada kuota tambahan yang akan menyusul kemudian dan tugas itu diserahkan kepada muslimat untuk menguruskannya.

Apa yang menarik kali ini, kami pergi ke rumah ibu tunggal beranak dua. Terkejutnya dia.....keluar bertudungkan tuala berkain batik separuh betis. Aku membisikkan supaya memakai tudung kemas dan pakaian sempurna. Dia masuk semula untuk berpesalinan kemas, berbaju kurung berkain batik. Mungkin dalam kelamkabut begitu tidak terperasan kain batiknya macam orang nak masuk bendang....Tidak heran sebab itulah kehidupan orang Melayu kita, yang tidak cakna tentang aurat dan pakaian.

Sumbangan kami sampaikan . Setiausaha kami siap dengan kameranya untuk merakamkan detik sejarah ibadah kebajikan anjuran PAS Tepuh dan PAS Cawangan Permint Makmur.

Satu program penutup tadarrus peringkat cawangan diadakan pada pagi 29 0g0s lalu. Kami tidak sempat memanggil semua ahli, cuma kami maklumkan pada kelas kelas fardhu ain. Semua ajk cawangan hadir kecuali sahabat yang ada pertembungan tadarrus di surau lain. Kami isi dengan zikir munajad, tazkirah dan bacaan quran. Perpisahan yang indah dengan bingkisan kurma untuk berbuka puasa.

Aku mengharap ramadhan ini adalah ramadhan terbaik untukku. Siang dan malamnya dipenuhi dengan tuntutan ibadah dan sunnah. Apa yang diwariskan oleh Rasul junjungsn aku laksanakan sekadar termampu. Zikir dan istighfar, solat dan doa dipenuhi disetiap sudut masa yang ada. Aku mengharap redha Allah yang Maha Kaya.

Ya Allah terimalah ibadah kami , redhailah syurga untuk kami dan jauhkan kami dari azab nerakaMu.

muhasabah ramadhan

Nabi Muhammad saw tidak pernah meninggalkan amalan iktikaf ini sehinggalah beliau wafat. Mengenai kelebihan iktikaf, menurut hadis Nabi,” Sesiapa yang beriktikaf satu hari kerana mencari reda Allah, DIA akan menjadikan antara dirinya dan api neraka sejarak tiga buah parit. Jarak antara setiap satu parit itu lebih jauh daripada jarak antara dua mata angin” (At-Tabrani dan Hakim). Oleh itu, kempen iktikaf di akhir Ramadan ini perlu diperhebatkan di kalangan umat.

Sekarang kita sudah berada di sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadan. Sesungguhnya inilah
peluang terbaik untuk umat Islam memperbaiki amalan mereka dan meningkat nilai takwa mereka. Akan tetapi, jika kita perhatikan dalam masyarakat kita, apakah benar- benar umat Islam di sekeliling kita mengambil manfaat daripada ganjaran yang telah dijanjikan ini? Secara umum, bulan Ramadan ialah bulan yang penuh barakah dan rahmat.

Barangsiapa yang benar- benar mengkhususkan bulan Ramadan ini untuk memperbaiki diri sendiri dan meningkat takwa, akan diperolehi apa yang dihajatinya. Ini terbukti dalam satu Hadis Nabi Muhammad Sallallhu’alaihi Wassalam yang berbunyi,
” Barangsiapa yang mendirikan Ramadan dengan keimanan dan mengharapkan balasan Allah, akan diampuni dosa-dosa yang sebelumnya”. Malahan ada ulama yang membuat perumpamaan tentang bulan Ramadan ini dengan menceritakan Ramadan ibarat sebuah kapal besar yang melabuh di sebuah pulau, dan di dalam kapal itu sarat dengan khazanah yang bernilai tinggi seperti emas, permata, intan dan sebagainya, termasuk sumber makanan yang banyak. Kapa itu berlabuh di pulau itu sekadar satu bulan sahaja.

Maka nahkoda kapal mengumumkan kepada penduduk pulau itu bahawa ambillah apa sahaja yang kamu mahu daripada pulau itu, kerana ia akan belayar kembali dalam tempoh sebulan. Maka, apabila sudah dibuat tawaran emas seperti itu, ramai yang terbondong- bondong mengambil khazanah yang bernilai tinggi itu. Namun demikian, sudah pasti juga ada yang mengambil sikap berkecuali dalam tawaran itu.

Golongan ini tidak mengambil berat dengan ganjaran yang ditawarkan itu. Mereka masih meneruskan kegiatan tradisi mereka seperti bermain dam haji, berlepak, bersembang dan sebagainya yang tidak mendatangkan faedah. Dalam konteks hari ini, perumpamaan ini terjadi dalam masyarakat kita. Apakan tidak, jika kita perhatikan dalam sumber Al- Quran dan Hadis, banyak menceritakan tentang kelebihan bulan Ramadan ini. Apatahlagi ketika sepuluh malam terakhir ini. Di dalam surah Al- Qadr, apabila diberitahukan akan datang satu malam yang dinamakan ‘Malam Qadar’ yang meyamai seribu bulan. Seribu bulan bersamaan dengan lebih kurang 84 tahun. Sesungguhnya inilah kelebihan yang telah diberikan oleh Allah kepada umat akhir zaman yang tidak diperolehi oleh umat- umat sebelumnya.

Ketika sepuluh malam terakhir kita disunatkan untuk beriktikaf di masjid dan membanyakkan amalan membaca Al- Quran, mendirikan solat sunat, berzikir dan sebagainya. Iktikaf bermaksud, mendiami atau menetap di masjid dengan cara tertentu. Iktikaf merupakan salah satu ibadat yang ditunjukkan oleh Nabi Muhamad saw. Dalam satu hadis, “Nabi saw selalu beriktikaf pada sepuluh akhir Ramadan sehinggalah baginda wafat. Kemudian isteri- isteri baginda pula beriktikaf selepas kewafatan baginda” (Riwatat Bukhari dan Muslim).

Nabi Muhammad saw tidak pernah meninggalkan amalan iktikaf ini sehinggalah beliau wafat. Mengenai kelebihan iktikaf, menurut hadis Nabi,” Sesiapa yang beriktikaf satu hari kerana mencari reda Allah, DIA akan menjadikan antara dirinya dan api neraka sejarak tiga buah parit. Jarak antara setiap satu parit itu lebih jauh daripada jarak antara dua mata angin” (At-Tabrani dan Hakim) Malah, kesempatan beriktikaf itu ialah untuk mencari malam Qadr yang dijanjikan dengan ibadah seperti seribu bulan.