Perginya untuk berjuang

Pagi ini, aku dan keluarga menghantar Syahidah dan suaminya ke lapangan terbang Terengganu. InsyaAllah, mereka akan melanjutkan pelajaran ke Yaman. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan mereka, lebih-lebih lagi apabila Syahidah selalu' morning sickness'.


Syahidah dan suaminya, Fadhil


Selamat berjuang anakku




Bersama keluarga besan


Bersama kak Wani n Mak Na

Sekarang hanya tinggal kak Wani di rumah sementara cutinya masih berbaki. Jika tidak, tinggal dua kerat jelah kat rumah. Semua anak-anak berada jauh di mata, dekat di hati. Semoga Allah sentiasa bersama mereka.

Hilang sayang

Bertahun tahun dulu,

Aku menjadi tempat mengadu isteri isteri orang. Di ceritakan bermacam kisah duka lara bersuami. Anak ramai tetapi tidak bahagia. Duit banyak tapi sengsara. Rumah besar tapi derita. Macam macam cerita.

Setiap isteri yang datang mengadu, akan cerita dari awal sampai akhir penyebab derita. Kalau aku tidak yakin, mustahil sebab mereka menangis sakan masa cerita. Dengar dulu, analisa dan beri pendapat dan nasihat...macam aku ni pakar rujuk dan pakar motivasi.

Lihat kes 1

Isteri bekerja.....pergi pagi pulang petang. Tinggal rumah tinggal anak. Orang gaji ada untuk uruskan semua makan pakai . Kira kira tiada badai gelombang menghepas pantai. Wang banyak kereta silih berganti , tak taulah kalau nak lepas dari hutang.

Suami kerja , gaji boleh tahan banyaknya . Kerja 'on time' dan 'over time', kadang kadang berhari hari di luar kawasan.

Bila agaknya mereka dapat bermesra ? Malam .....sibuk kerja mana ada masa nak layan satu sama lain. Kemesraan dan kasih sayang semakin luntur hari demi hari. Si suami terasa sunyi, si isteri dek kerana letih seharian maka tidak terlayan diri dan suami. Kira teruk ni....Bila si suami mendambakan layanan , tidak berbalas maka berlakulah sesuatu yang pelik di mata sang isteri. Tambah lagi , hukum hakam halal haram makruh dan subahat di tolak tepi.

Cemburu , sifat ini ada pada insan. Lelaki dan perempuan. Kata ' cemburu bererti sayang'. Kita terima kata kata itu . Si isteri cemburu dan luka hati bila melihat si suami bersama dengan wanita lain. Layan makan minum. Belaian kasih dan perhatian dan ambil berat yang menyungguh, sedangkan si isteri tidak terima layanan sebegitu dari sang suami. Atau mungkin sebaliknya berlaku, si isteri memberi layanan istimewa kepada lelaki lain.

Beginilah keadaan yang berlaku di dalam masyarakat Islam. Salah siapa kalau berlaku perceraian. Salah siapa kalau anak anak mereka terbiar merempat dan gagal di dalam kehidupan .

Kes ke 2

Lepas subuh, matahari belum terbit lagi sudah ada panggilan telepon. 'You ada kerja tak pagi ni", tanya seorang isteri. ."Ada, pukul 9.00 pagi, kenapa "?
"Boleh jumpa" ?
"Boleh", aku menyanggup.

Biasa biasanya orang telepon aku lepas asar atau isya'. Tapi hari itu pagi , tentu mustahak betul.
Dia datang dengan menggendong anak . Tidak kira panjang , aku jemput dia masuk dan cuba menduga masalah.

Belum banyak bicaranya , air mata memburai laju tidak dapat disekat sekat. Air mata sudah cukup untuk aku menafsirkan peristiwa . Apa yang berlaku ? Ini kes kena mengena dengan lelaki dan perempuan. Si isteri mencuri baca SMS . Acap kali 'sign in' , tak teruja ke ?
Bacalah ....tu ....hati perempuan mana tak tergoyang , hati perempuan mana tidak bergoncang. Bila tulis tanpa bicara...yang membaca tidak usul periksa. Ungkapan apakah yang akan dihamburkan kepada si suami ?

"Abang sms dengan sapa, siap janji nak jumpa lagi", suara sang isteri dengan rasa sangsi.
"Boss abang" , selamba je suami menjawab.
Si isteri mahu berbaik sangka, sampai bila.... jika layanan kepadanya kian lama bertukar menjadi herdik dan marah. Bukan itu saja , anak anak terbiar tanpa perhatian sang ayah. Lembut dan sayang bertukar kesat dan ganas.

Kesetiaan seorang isteri, pengorbanannya dan penatlelahnya menjaga anak anak sisuami tidak dihargai lagi. Layan semakin berkurang , kasih sayang semakin hilang.

Puas dan jenuh memujuk bagi menenangkan goncangan jiwa sang isteri.
"Banyakkan bersabar, solat hajatlah supaya tidak berlaku yang luar jangka." kataku untuk mengobat sikit keresahannya.
"Anak kita ramai, kecik kecik lagi. Kita ini tak kerja , kalau berlaku apa apa siapa nak jaga anak anak,..." esakannya sudah berkurang.

Si isteri tidak bekerja, gaji suami tidak seberapa dan anak ramai serta masih kecil. Bimbang akan berlaku perceraian sehingga dia menduga si suami..."Abang tak sayang kita lagi "?

Besar harapan siisteri supaya suami tidak semudah mudahnya melepaskan tanggung jawab dalam rumahtangga. Lepas tangan dan isteri tanggung beban sendiri.

Masalah begini banyak berlaku dalam masyarakat. Kerja suami .....kerja cari duit je. Didik anak, asuh anak kerja isteri. Rumah tangga urusan isteri. Lain lain hal .....isteri juga.


Kes ke 3

Aku ditemukan dengan sesaorang. Mungkin mereka anggap aku boleh menyelesaikan kekusutan rumahtangga nya.

Mata sebelah kirinya merah menyala, keliling matanya lebam lebam. Dia duduk, suasana bening sebentar dan aku tidak tahu bagaimana nak memulakan bicara.
"Ceritakan dulu bagaimana berlaku ",

"Kita kerja dan suami pun kerja, kadang kadang pergi kursus. Segala urusan anak anak semua atas kita. Makan pakai , sekolah , tadika dan taska. Perbelanjaan banyak . Pendekata, kita buat belaka untuk kebahgian keluarga", si isteri cuba mengawal perasaan nya.
"Mencari ilmu islam baru je, lepas kahwin baru nak mulakan solat, nasib baiknya kawan kawan ramai yang tunjuk ajar. Suami tak mengajor pun kita. Mak ayah dulu pun tak ajar kita. "
"Kita jahil, kita tidak sebaik mana, " si isteri memberi petunjuk kedudukan suasana rumahtangganya.

"Ye teruskan, bagaimana seteruk ini", ku pinta penjelasan.

"Nafkah, dia tidak dapat memberikan sesempurnanya. Makan minumnya. Yang satu lagi , batin kita pun tak dapat sesempurnanya. Ada hajat nak kawin lagi....itu yang kusutnya", cuba menahan ketidakpuasan hatinya.

Mulanya, dia tidak dapat terima hakikat itu. Dia cuba solat istiqarah, tidak ada jawaban. Minta nasihat kawan sekerja ....macam macam ada. Ingatkan anak dah ramai, tak sanggup bercerai . Ingatkan penderitaan batin, mahu je lepas diri. Kalau suami kawin pun , nak bagi nafkah macam mana ? sedangkan aku sering kecewa, bagaimana pula bila ada yang lain.

Banyak lagi kekurangan yang ada pada si suami. Perangai suka memukul isteri, mengherdik dan menghina.

Apalah lagi alasan yang dapat mempertahankan sesebuah rumah tangga. Bagi dua pihak yang bersengketa, akan mencari silap pihak lain. Masihkah ada jalan damai ?

Kes 4

Perasan aku , dia akan bahagia bila dapat suami baru. Majlis kahwinnya meriah juga , mengalahkan majlis kahwin teruna dara. Apa yang tidak ada ? Kereta ada, rumah ada, kerja ada, anak ada......tidak ada yang kurang .

Ini kali kedua dia datang meluahkan perasaan hampa bersuami baru. Mulanya aku tidak percaya juga. Kali kedua ini lagi teruk. Kenapanya ?

Keluarga kita ada, anak kita ada tapi dia tidakpun memberi peluang untuk kita berurusan dan tidak mengambil berat anak anak kita.

Kita amat mengharap ada lelaki yang dapat tumpahkan kasihsayang, ambil berat dan saling meringan bebanan. Bila kahwin, harapan itu berkecai dan tidak seperti yang kita harap dulu. Siang hari sibuk kerja, malam pula bersosial, bermain tidak kira dinihari, tidak menjaga ibadah, lebihkan kepentingan diri sendiri.

Isteri itu siapa? Isteri dijadikan sebagai apa? Teman tidur pun tidak, teman bermain pun tidak, teman seronok pun tidak , teman bicara pun tidak. Dah tu buat apa kahwin. Elok duduk sorang sorang.

Bagaimana nak selesaikan masalah ini. Bukan satu ni saja, banyak lagi pasangan yang' nampak bahagia tetapi derita'.

Cukuplah, orang lelaki baca tentu dia marah pada aku. Bukan apa, kita buat peringatan untuk semua. Salah, semua orang buat silap. Ambillah Quran sebagai panduan , hadith dan sunnah sebagai ikutan , inshaAllah berkat rumahtangga dan anak pinak kalian.