Wajah tanpa cahaya

Selepas zohor kami berangkat ke Besut, ada urusan di pejabat tanah Kg Raja. Tanah ada berkeping keping , ada tanah pusaka abah dan tanah pusaka emak. Kedua mereka tidak tinggalkan banyak harta. Yang sekangkang kera itupun bagi empat lima beradik yang masih hidup.

Rumah persinggahan kami di kg Tembila , adik perempuan tunggal suami. Dulu kecil aja terataknya. Semenjak emak sakit dan tidak berdaya urus diri sendiri, adik inilah yang menjaga siang dan malam. Emak duduk bersamanya dan rumah itu diperbesarkan dengan tambahan bilik tidur dan bilik air. Yang lain jaga juga sekali sekala dan ada sekadar menjenguk sekali sekala.Tak apalah . Merasalah juga aku menjaganya di hospital Jertih.

Lepas selesai urusan pejabat, kami bertolak ke Jertih Bandar Hadhari. Azan asar berkumandang. Kami segera ke masjid Besar Hadhari ...biru biru gitu. Ramainya orang. Ada apahalnya dengan motor besar , bas dua buah dan orang dewasa dan remajapun ramai. Berarak apa ni. Tengok pada motor besar dengan lambangnya macam geng polis. Tengok pada bas, macam budak kolej , ada tulis K V.

Tepi masjid ada warung, penuh dengan orang makan minum. Di pondok pondok rehat ramai juga orang lelaki ada perempuan pun ada. Itu di perkarangan masjid Hadhari. Aku menyelusuri kaki lima masjid untuk masuk ke dewan solat di tingkat atas. Tercari cari juga aku, sebab ini kali pertama sampai di sini. Naik ke dewan solat, imam solat dah masuk rakaat dua. makmum wanita ada 4 orang. makmum lelaki nampak macam 2 saff tetapi tak penuh. Dalam dewan wanita, bising juga...ramai remaja perempuan. Mereka tidak solat jemaah bersama imam. Nampak macam dah solat. Solat jama' agaknya. Takkanlah mereka menolak untuk berjemaah.

Selesai solat , turun kembali ke kereta. Abang dah siap menunggu. Tunggu aku dan tunggu kawan menantu kerana pesanan 'kaula' Yaman. Lama menunggu, dari dalam kereta aku memerhatikan gelagat manusia yang ramai di laman masjid. Yang tadi minum sudah minum. Yang tadinya berehat sudah siap untuk menyambung perjalanan. Heran juga aku, masa bila mereka solat ?

Aku memerhati air muka masing masing. Melayu , sawo mateng, gelap dan kelabu. Seorang dua nampak putih. Wajah yang kusam muram tanpa cahaya ilahi. Inilah bangsaku. Singgah di masjid untuk menghilangkan penat lelah, berehat , makan dan minum sahaja. Masjid jadi tempat lepak bukan tempat ibadah. Masjid jadi tempat buang air kecil dan besar sahaja bukannya untuk membuang karat karat dosa.

Apa kah masjid didirikan untuk hiasan sahaja. Orang bangga mempunyai masjid yang besar dan reka bentuk serta hiasan yang cantik cantik. Orang terpegun melihat dari kejauhan, kubah yang besar dan kecil kecil. Orang memuji kerana peralatan dan kemudahan yang canggih ada di dalamnya....bangga dan terus bangga.

Apabila azan dilaungkan , berapa keratkan manusia yang segera menyahut panggilan itu ?. Dewan yang besar lagi cantik kosong dari manusia yang sujud dan rukuk. Dewan yang sebegitu besar sunyi sepi tanpa pengisian. Dewan yang sebegitu syahdu kosong dari manusia yang datang mengadu kepada penciptanya....sedih ku berpaut. menyesal aku tersangkut. Beginilah nasib bangsaku yang tergelincir dari jalan Islam. Ramai yang gugur dan ramai yang tersesat .

Bukan di sini sahaja yang aku lihat, mana mana masjid yang dibina bukan atas dasar taqwa, akan sepi , lengang dan kosong. Masjid yang dibina atas dasar taqwa, lain pula jadinya, penuh , meriah dan menyeronokkan .

Satu demi satu motor besar meninggalkan masjid. Kereta bergerak perlahan dan orang ramai tadi mulai berkurang. Semuanya menuju destinasi masing masing. Aku mulai meninggalkan rumah Allah dengan soalan soalan yang tidak berjawab....mengapa mereka tidak solat bersama imam? Mengapa wajah wajah yang ku lihat tidak bercahaya. Mengapa mereka tidak meninggalkan jual beli dan makan minum untuk sama sujud kepada Allah ?

Inilah fenomena akhir zaman yang di bimbangi oleh Rasulullah s.a.w.