Lemahnya aku

Jam 4.00 pagi berbunyi memecahkan keheningan dinihari. Aku bingkas bangun, bercampur terkejut dan terpinga pinga, gagahi tubuh untuk bangun dari katil empok. Ya Allah , terimakasih kerana masih memberi hidup padaku. Terasa pening, dan hampir memusing dunia pada pandangan ku..Antara penyakit bagi orang yang kurang darah dan kurang rehat.

Seperti malam malam yang lalu, aku ingin supaya catatan amal ku ada di dalamnya sebagai hamba yang bersyukur, sebagai penghidup malam dan ahli ahli yang bertaubat ketika sahur. Aku gagahi kaki untuk bersuci dan berwudhu. Kemudian mencapai "uniform' solat serba putih. Pakaian yang ku pakai ketika umrah dan haji, itulah sering ku pakai. Untuk solat di rumah atau di masjid. Bukan kerana 'title' hajjah. atau bukan kerana menyohorkan hajjah itu, tetapi kecintaan aku kepada suasana Mekah dan Madinah dan ingin supaya ingatan itu tetap segar pada setiap hari.

Melakukan solat ringan 2 rakaat itu adalah sunnah, kemudian diikuti solat tahajjud dan sempat untuk solat witir . Segala puji baguMu Ya Allah yang memberi kekuatan pada jasadku, mindaku dan kekuatan pada hatiku untuk terus tunduk syukur kepadaMu.

Ya Allah, padamu aku pohon ampun dari segala dosa, besar atau kecil, nyata atau sembunyi, sengaja atau tidak sengaja, yang aku tahu atau dosa yang aku tidak tahu. Ampunkan dosa ibubapaku, suamiku, anak anakku sahabatku, saudaraku. Masukkan aku dan mereka semua dalam golongan orang yang berjaya di dunia dan akhirat. Itulah antara bisikan hatiku kepada Rabbku yang maha Mendengar dan Dia menghamparkan rahmatNya untuk menerima doa doa di waktu sahur

Kemudian ku persiapkan makanan sahur untuk keluargaku. Sekadarnya untuk alas perut bagi puasa siangnya. Masa yang panjang memudahkan bagi ku menyiapkannya. Terkadang ada aku terkejut, waktu sahur berbaki 15 minit....makan apa yang ada dari lauk pauk berbuka puasa tadi.
Anak anak dah tak kisah hal ini, suami pun redha dengan apa yang dapat di kunyah dan yang dapat ditelan....alhamdulillah walau pon sekadar air kosong atau tea kosong dan beberapa biji kurma. Mungkin anda juga pernah merasa tidak sempat bersahur apa apa kan ?

Azan suboh berkumandang di masjid Wakaf Tembesu. Apa tugas seterusnya ? Solat di Masjidlah. Orang yang berjiran dengan masjid di galakkan solat di masjid , keutamaan pada kaum muslimin. ini sunnah....apa guna ngaku ummat Islam jika sunnah ini tidak diutamakan.
Wanita ? yang ingin berjamaah di masjid ...silakan....tetapi jangan mengundang fitnah.

Ya, jaga aurat dan jangan memakai bauan atau pakaian yang mengundang fitnah.

Biasa kereta kembara biru jadi tunggangan kami sekeluarga. Terasa ni'mat dalam beribadah. Dapat laksanakan beberapa sunnah.....solat tahiyatul masjid...kalau tak pergi masjid , tak ada bahagian itu. Takbir bersama imam, mengaminkan bersama imam, berdoa dan i'tikaf... Duduk di rumah, kita tidak berpeluang untuk mendapat pahala pahala sunnah ini...Segala puji bagiMu ya Allah yang merezkikan aku untuk beramal dengan mudah dan penuh kesungguhan dan harapan

Pagi sudah menjelma, tugas yang harus dilaksanakan untuk hari ini sudah menanti...Pakaian , rumah, halaman rumah, dapur dan bilik bilik yang berpenghuni. Itu bahagian rumahtangga. Aku masih ada tugas harian yang lain, kelas kelas dewasa yang setiap pagi mesti penuhi' isian rohani'nya, kemudian tugas jamaah yang juga mesti ditunaikan jawatan tugasnya. Program yang akan dilaksanakan supaya masyarakat jadi terjaga dari lena dan kelekaan.

Ya Allah , berikanlah aku kekuatan jasad dan perasaan untuk melaksanakan semua ini. Jangan ada tugasku yang terlalai atau terlupa. Inilah kesempatan yang kau berikan kepadaku dan mungkin peluang tidak akan berulang lagi. Kesihatanku terbatas, kekuatanku juga terbatas dan umurku juga terbatas. Berilah aku peluang untuk beramal secukupnya untuk bekal akhiratku yang panjang dan berkekalan itu. Maafkan aku jika ada ketidak sempurnaan dalam amalan amalanku Y a Allah.