Tidak peduli.

Hampir setiap hari aku melintasi halaman sekolah menengah Kompleks Gong Badak. Bukan hantar anak atau ambil anak tetapi mengambil dan hantar kawan yang duduk di tepi sekolah. Aku memerhati gelagat warga sekolah itu. Sebelah pagi, kerusi yang tersedia di bawah pohon rendang ada pelajar belajar di situ. Gurunya pun ada. Sesi belajar sambil bersantai kot atau tidak ada kelas.

Apapun itu urusan sekolah , bukan urusan aku. Tetapi kesihan juga ye, anak anak murid 1 malaysia belajar di bawah pokok . ini mengembalikan aku kepada kisah zaman dulu kala. Zaman Tanah Melayu baru merdeka . Sekolah sekolah di mana sahaja ketika itu tidak pentingkan bangunan cantik. Memadailah ada murid , ada guru dan ada papan hitam. Murid murid duduk di atas karpet (rumput) hijau. Seronok .'Aircond' yang asli dari alam menyegarkan dan menyehatkan tubuh badan.

Satu peristiwa lagi, pada petang yang berlainan, kumpulan pelajar dikawal ketat supaya tidak keluar dari kawasan sekolah. Mereka siap berpakaian hijau ko-kurikulum. Berkeliaran dalam kawasan sekolah dan bersedia untuk keluar dari pagar sekolah. Seorang guru perempuan mengawal dengan kereta di luar pagar sekolah. Kesihan guru itu. Masa bertugas sudah luput tetapi ada tugas baru iaitu mengawal pelajar supaya tidak meninggalkan sekolah sebelum aktiviti ko-kum.

Aku pelik dan heran. Pelajar semacam anak ayam di dalam reban. Tanpa kawalan tuannya maka akan berkeliaran di segenap kedai dan lorong perumahan yang berdekatan . Kes pelajar ponteng sekolah....biasa lah . Mengapa mereka ponteng ?
Pelajar merokok, tidak di sekolah tetapi sekitar taman perumahan. Pelajar 'dating' di kedai komputer, di tepi hutan, di taman permainan atau di lorong lorong taman.
Siapa yang pedulikan mereka ?

Perasaan semakin bertambah hairan. Mengapa pelajar tidak berminat dengan sekolah ? Mengapa pelajar suka ponteng kelas? Mengapa pelajar ingin ponteng dari gerakerja tambahan sebelah petang ? Ada sesuatu yang tidak kena dengan sekolah. Ada sesuatu yang tidak diminati di sekolah.

Masa remajaku dulu sekolah itulah kecintaanku. Sekolah menengah, berpagi lagi menunggu bas sekolah, terkadang tidak sempat sarapan pagi. Biar tidak makan jangan tertinggal bas. Sekolah sejauh 15 km dari rumah, kalau tertinggal bas , alamatnya kedatang sifar untuk hari itu.

Masa belajar, memang seronok. Banyak ilmu yang diperolehi. Guru mengajar bukan kerana gaji, murid belajar bukan seperti kuli. Kebebasan bukan bermakna melanggar peraturan. Ketegasan disiplin bukan kerana melakukan kesilapan. Jadi , sekolah ibarat rumah kedua, guru sebagai ibu dan bapa. Mereka mendidik, membimbing, mengajar dan meng'adab'kan kami dengan kasih sayang. Guru guru dihormati dan dikasihi. Murid murid di didik tanpa rasa jemu dan tanpa rasa benci.

Ilmu dipelajari berkat dan melekat.

Apa yang ku lihat kini, berbeza sekali. Pelajar terbeban dengan berbagai aktiviti. Dari pagi hingga petang hari. Tidak cukup hari ditambah hari cuti. Semua untuk apa dan siapa ?

Belajar mesti ada matlamat. Mengajar juga ada matlamat. Andainya tiada keberkatan pada pembelajaran, carilah cara supaya kerja belajar menjadi berkat. Andainya tidak ada berkat pada gurunya, carilah punca tidak berkat itu. Mungkin guru itu 'derhaka' pada suami atau kedua ibubapanya. Atau pelajar yang tidak berkat, kerana ia membesar dari sumber tidak 'berkat'. Banyak lagi kemungkinan tentang 'berkat'. Jika Allah murka kepada sesaorang, ditarik 'rahmat' maka menjadilah ia 'laknat'. Kita buat apapun tidak akan berhasil sekiranya Allah sendiri yang membenci kita.

Bermacam cara dibuat oleh pihak sekolah agar mandapat tahap 'cemerlang'. Sekolah akan bergemilang dan terbilang bilang. Untuk itu pagi, petang , siang dan malam, guru bertungkus lumus untuk menjayakan sekolah ketahap itu.

Sekeras hati Quraish

Sangkaan kelas dibatalkan, tidak terjadi. Malahan ketua unit penerangan menalipon semua rakan rakan agar hadir mengikuti pengajian seperti biasa. Seperti biasa kelas dirasmikan dengan kalam al fatihah, kemudian dibacakan beberapa ayat dari surah Yunus.

Pemerhatian kami tertumpu pada kalam Allah yang akan dihuraikan oleh naqib kami. Biasa sebelum menyambung ayat baru, diimbaskembali ayat ayat terdahulu supaya kami dapat mememahami kehendak ayat berikutnya.

Mengapa orang Quraish menuduh al Quran itu karangan Muhammad s.a.w ? Bila nabi menulis dan membaca ? Bila pula nabi pandai bersyair ? Jikalau kita perhatikan ayat ayat Allah, kandungannya meliputi peristiwa dan berita sebelum manusia diciptakan, sebelum manusia wujud di bumi lagi, kemudian peristiwa penciptaan bapa manusia, Nabi Adam turun ke bumi, peristiwa nabi nabi dan umat sebelum nabi Muhammad s.a.w.

Kalau quran itu karangan Nabi Muhammad , dari mana dia mengetahui hal hal itu semua.? Bahasa yang digunakan berbeza dengan syair syair Arab yang biasa mereka diklamasikan . Keindahan , ketertiban dan maksud ayat serta ilmu yang terkandung di dalam bait bait ayat alQuran sungguh luar biasa.

Mengapa orang Quraish masih berdegil dan tidak mahu mengakui bahawa al quran itu bukan kata kata Muhammad s.a.w.? Mengapa mereka sanggup menuduh nabi sebagai ahli sihir ?

Wal hal mereka kenal nabi sejak lahir lagi. Walhal mereka melihat nabi miskin dan dipelihara oleh bapa saudara yang miskin. Walhal mereka pernah menggelarkan nabi sebagai al Amin. Mereka tidak pernah melihat nabi melakukan kesalahan juvana atau melakukan kedosaan seperti orang dewasa Quraish buat. Nabi tidak pernah belajar dari sesiapa pun. Tidak ada pun kemahiran 3 M (mengira, membaca dan menulis). Tidak pernah dapat tawaran belajar di sekolah atau maktab. Apakah bukti yang nabi mengarang alquran itu.

Mereka tidak akan dapat memberi jawaban yang tepat. Mereka mengagak dan menuduh semata mata mahu supaya pengaruh nabi tidak berkembang di kota Mekah. Supaya orang ramai mengelak dari berjumpa dengan nabi. Supaya pengaruh pemuka pemuka Quraish tidak luntur dari pandangan kaum Quraish.

Pembesar pembesar Quraish berusaha untuk menyekat Islam dari berkembang di kota Mekah. Mana mana ada muslim yang lemah mereka tindas, siksa, kurung dan paksa murtad.

Itulah diantara intisari yang disampaikan oleh ustazah.

Sikap itu pastinya ada di setiap zaman. Bila Allah berikan kekuasaan, kekayaan dan kemuliaan, disalah gunakan untuk kedurhakaan kepada tuhan yang Maha berkuasa. Bila Allah beri sedikit sahaja nikmat nikmat itu, mereka menjadi melampau batas dan menolak kebenaran.

Berhati hatilah dengan mereka yang seperti itu. Janganlah kamu cenderung untuk berbuat zalim atau bersama sama dengan orang yang berbuat zalim, takut takut nanti kamu akan disentuh oleh api neraka.

Apa yang penting..kerjasama.

Sesi mesyuarat bermula minggu lepas. Kami bercadang untuk mengadakan mesyuarat awal bulan depan. Kertas kertas putih diedar kepada ahli ahli yang berkelayakan ..Pada program itu , majlis akan berakhir dengan jamuan. Inilah yang merunsingkan aku. Jamu .. jamu. Kita nak jamukan apa ?

Perjumpaan khas kena diadakan juga bagi membuat persepakatan. Apa menu hidangan ? Siapa yang akan memasak ? Siapa yang akan membeli barang mentah ? Siapa yang akan membuat persiapan akhir dan siapa yang urus itu dan ini? Berbetulan kami berqiamullail bersama mudahlah bagi kami membuat keputusan. Lagi jimat masa. Selepas solat subuh dan zikir ma'thurat , kami bermesyuarat rengkas. Keputusan ada dua pilihan, menu nasi kuning ikan tongkol dan mee kari. Kami bandingkan kedua dua menu, yang mana lebih mudah dan murah.

Barang barang keperluan ukti Tg beli. Kumpulan memasak berdaftar diri paling lewat pukul 9 pagi. Membawa semangat kerjasama yang tinggi dan aku kagum dengan mereka. Tidak perlu diarah arah, tidak perlu disuruh suruh. Mereka membuat kerja ikut kemahiran masing masing. Yang mahir mengukur kelapa, akan mengukurlah ia. Yang suka menangis, mengupas bawang dan bermain lada. Yang suka bermain air , membasuhlah kerjanya. Yang suka bermain api , memasaklah sesuka sukanya. Suasana riuh rendah dengan gelak ketawa dan usik mengusik. Ada saja cerita melucukan dan menjadi hiburan kami. Kerja tetap kerja. Sama sama memasak dan sama sama merasa.

Hampir tengahari , masakan kami siap dan sedia untuk dibungkus. Lina mengisi nasi dalam bekas polisterin, Sah menceduk lauk untuk dibungkus, Ani bermain sambal belacan. Si Adah membungkus air dan kami dapat menyiapkan kesemuanya sebelum pukul 2 petang. Mesyuarat akan bermula pukul 3 petang. Selesai semuanya, barang barang itu dimuatkan ke dalam kereta untuk dibawa ke dewan mesyuarat.

Bersyukur aku kepada Ilahi, segala kerja amal jamaei ini difahami konsepnya oleh sahabat sahabat. Walaupun mereka mempunyai kelemahan kelemahan tetapi kekurangan itu tidak menghalang mereka melakukan kebajikan yang banyak. Yang ringan sama dijinjing , yang berat sama dipikul. Yang besar sama dilapah , yang kecil sama dicecah. Yang penting, aku ada kawan kawan yang suka masa senang dan sabar di masa susah.

cintakan Rasul.

Bergema selawat di mana mana. Allahumma salli 'ala Muhammad. Surau , balaisah, masjid atau rumah rumah persendirian bergema suara syahdu bersolawat. Suara seorang tidak berapa merdu, tetapi bila dialunkan beramai ramai , menjadikan suasana kasih kepada rasul itu lebih mendalam. Betul kah tafsiran itu ?

Mari kita selidiki bersama.

Sambutan ulang tahun kelahiran biasa orang buat untuk orang hidup. Cara orang barat sambut hari jadi dengan tiupan lilin. Nilai umur sama dengan bilangan lilin. Budaya itu ditiru oleh masyarakat Malaysia. Tetapi sedikit demi sedikit budaya itu sudah hilang. Mereka menyambut juga ulang tahun tetapi dengan mengadakan majlis kesyukuran dan doa selamat. Alhamdulillah, islam sudah merubah budaya itu.

Bagaimana dengan sambutan hari lahir Nabi ? Masa nabi hidup tiada sambutan yang dibuat. Selepas nabi wafat, sahabat sahabat tidak membuat apa apa sambutan pun. Siapakah yang memulakan sambutan berarak di Malaysia. Seingat ingat aku, masa di sekolah menengah dulu ada berarak di padang Bandaran Pekan. Turun padang semua guru-guru , pelajar pelajar sekolah, kaki dan tangan pejabat pejabat kerajaan dan orang awam . Bermula dengan ucapan orang besar besar negeri. Kemudian berarak keliling bandar sambil bersolawat ramai ramai. Untuk apa semuanya ini ?

Anda mungkin menjawab, supaya orang bukan islam melihat ramainya berarak itu , ramainya umat muhammad. Suara solawat juga memberi satu kegerunan pada hati musuh musuh Islam. Itu sahajakah ?

Faham aku mungkin betul dan mungkin tersasar sedikit dari pendapat ramai. Pelajar sekolah menengah ketika itu ber'uniform'kan baju putih T dan 'gaun' biru atau putih (pengawas). Pelajar sekolah agama memakai baju kurung bertudung lilit di dagu. Guru guru wanita Melayu tidak ramai berpakaian baju kurung. Bila hadir di perarakan itu mereka mengenakan pakaian baju kurung. Yang tidak ada koleksi baju kurung kena pinjamlah dengan orang tua tua. Aku dimasa itu belum bertudung tetapi uniform sekolahku baju kurung. Oleh kerana ini program keagamaan, aku cari tudung lama milik ibu, tudung tiga segi.

Jenoh juga berdiri di padang bandaran. Tiap tiap sekolah dan badan badan kerajaan membawa sepanduk masing masing. Berbagai bagai selogan terpamer , yang semuanya menyanjungi Rasulullah, mengagungkan peribadi Rasulullah, mendaulatkan sunnah Rasulullah dan banyak lagi. Lewat juga perarakan bermula. Yang kepanasan mula mengipaskan diri. Yang lengoh mencangkong macam orang 'Pati' . Yang untung peniaga peniaga air batu cendol juga.

Ucapan demi ucapan berkumandang di corong suara. Menyebut kebesaran, kemuliaan, contoh peribadi mulia Rasulullah dan sebagainya. Orang ramai yang mendengar macam macam rasa. Mana yang faham , mengerti, meneliti mendengar dengan tekun. Mana yang terasa itu suatu paksaan atau kerahan, merasakan ucapan sesuatu yang sungguh membosankan . Mengapa demikian ?

1. Ramai yang di situ tidak memahami amalan amalan Islam terutamanya solat lima waktu
2. Contoh peribadi mulia bersumberkan quran dan sunnah payah dicari ketika itu .
3. Budaya Melayu Islam terkikis oleh pengaruh penjajahan Inggeris.
4. Pendidikan agama dijadikan modul peperiksaan bukan modul pengamalan.
5. Orang Melayu Islam sendiri tidak memahami Quran dan konsep ilmu wahyu.

Sedangkan aku sendiri masih mencari cari identitiku sendiri....Islamkah aku dengan sekadar melaungkan solawat di jalan jalan raya? Islamkah aku dengan sekadar berarak keliling kampung dan taman taman perumahan ? Beragamakah aku bila berhimpun berpakaian Islam tetapi habis berarak pakaian jahiliyan jadi sarungan ? Melaungkan "cinta rasulillah', ' kasihkan nabi', 'Engkaulah ikutan kami' hingga pecah tekak, hingga berdesing telinga tetapi jadi umpama tong yang kosong. Bila pulang, sembahyang tidak buat, amalan yang buruk berterusan, tidakpun menghidupkan sunnah itu di sudut rumahtangga , kampung , negeri dan negara.

Memang , hidayah itu suatu kurniaan yang cukup indah. Bermula dari saat itu, pertama tama memakai tudung , aku memasang azam untuk mengekalkan tudung itu sampai bila bila. Pulang dari berarak, ku cari kain putih ,ku guntting dan jahit sendiri untuk jadikan tudung sekolah. Rakan rakan aku keheranan, ada ustazah baru dalam kelas kita. Mereka yang sindir ada juga yang memuji walaupun mereka tidak sanggup berbuat seperti aku. Aku mendapat pujian juga dari pelajar lelaki yang sudah mula berjinak dengan kupiah dan serban. Lantaran pemakaian aku sikit 'islamik' ,ada seorang jejaka telah menhadiahkan aku sebuah al quran tafsir dan sehelai tudung putih.

Syukur, aku tidak kesaorangan. Lama juga masa berlalu seorang demi seorang memakai tudung . Hingga hampir semua pelajar kelas aku sudah berani oakai tudung. Alhamdulillah Tuhan yang menunjuki aku dan rakan sekelasku jalan jalan menuju kesempurnaan beramal Islami.

Nikmat terbesar.

Kita patut bersyukur dengan setinggi tinggi kesyukuran kerana berada di dalam Islam. Kita dipanggil muslim.

Allah berfirman, maksudnya:
"Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu dan telahKu
cukupkan kepada kamu nikmatKu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agama
kamu".
( Surah Al Maidah :3 )

Bagaimanakah kita hendak menzahirkan kesyukuran itu ? Mudah saja, jadilah anda sebagai muslim sejati iaitu menggolongkan diri sebagai ummat Nabi Muhammad S.A.W yang taat setia. Selepas itu tanyailah diri, adakah muslim ku kerana keturunan atau anugerah atau pencarian ?

Kalau anda menjawab muslimku kerana keturunan, anda silap. Muslim mesti ada usaha untuk mendapatkannya dan usaha untuk mengekalkannya. Jika kita berusaha bertungkus lumus untuk mendapatkan Islam , kita akan mendapatinya. Jika kita tidak mempedulikan Islam sebagai amalan pengukuhan, kita akan kehilangan Islam.

Apakah dengan melafazkan kata kata 'aku muslim' atau melafazkan beberapa perkataan Arab bermakna kita telah muslim ? Tidak! Anda akan benar benar muslim bila mengungkap kalimat taiyibah secara sedar atau siuman. Ungkapan pengakuan itu dengan sengaja dan bukan dipaksa paksa oleh sesiapa. Kemudian beramal atau bertindak sebagaimana yang dikehendaki oleh tuan punya alam ini (Allah) dan Dia memberi tauladan melalui 'Rasul'Nya.

Apakah beza antara muslim dan kafir ? Adakah pada nama ? Apakah pada pakaiannya ? Atau pada tuturkatanya ?

Bukan kerana namanya Abdullah maka kita kata dia muslim. Bukan kerana baju kimononya maka kita kata dia kafir. Bukan kerana dia berbahasa Inggeris maka kita kata dia kafir. Tidak....tidak , bukan itu jawabannya. Muslim sesaorang itu dilihat dari ilmunya, amal nya dan kepatuhannya kepada arahan Allah taala. Quran itulah sebagai sumber ilmu yang agung. Kalau masih meraba raba mencari kebenaran , dapatkan Al quran. Anda akan temui apa yang anda cari. Kalau anda masih keliru , carilah quran , anda akan temui kebenaran tanpa keraguan.

bila sakit......ku cari Mu

Tiada siapa ingin sakit, berat atau ringan . Jikalau dapat ingin sihat selama lamanya.

Sahabatku , bekas guru dan suaminya juga guru bersara menjemput kami ( ahli usrah )ke rumahnya. Ada masalah yang berat ditanggungnya sendiri. Jemputan itu kami penuhi dan majlis yasin diatur pagi Khamis, jadi tiada kuliah tafsir. Jemputan hampir 40 orang ada yang aku kenal sebab mereka selalu mengikuti usrah, ada yang baru tengok rupa. Biasanya bila pertama kali jumpa , aku sapanya dan bertanya "duduk di mana" ?

Majlis dibuka dengan rasmi dengan Ummul Kitab. Salawat ditujukan kepada Junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ketinggalan, pengerusi meraikan 'ustazah' yang biasa mengepalai majlis yasin. Kalau anda bersama kami tentu anda akan rasa sejuk , nyaman dan tenang . Kenapa? Majlis ini bukan sebarang majlis. Bila rasmi dengan ummul kitab bermakna, ia adalah majlis yang menjadi rebutan malaikat malaikat Allah.

Mari kita lihat seterusnya, apa yang menambahkan lagi 'berkat' itu. Peraturan majlis diperdengarkan kepada umum.
1. Hendaklah berwudhu'.
2. Membaca bersama-sama dengan sebutan betul pada hukumnya.
3. Meniatkan untuk membantu pesakit dengan 'kalam' dan 'asma' Allah.
4. Berdoa dan mengaminkan doa dengan hati tulus mulus.

Awal kami membaca solawat sebanyak 11 kali, diikuti dengan Fatihah dan ayat Kursiy.
Permulaan Yasin dengan niat penyembuhan kepada pesakit. Surah Yasin mempunyai 83 ayat. Di dalamnya terdapat tujuh ayat yang berakhir dengan MUBIN. Bila sampai di ayat-ayat tersebut kami berdoa sebagaimana berikut:

"1. membaca bismillah hingga akhir.
2. membaca Ya qadial hajat. Iqdina hajatina fi hazihissaah.(wahai Yang memperkenankan hajat, tunaikan hajat kami waktu ini.
3. Membaca doa " Ya Allah, kami memohon perlindunganMu dengan KalimahMu yang sempurna dari bahaya angin AHMAR dan penyakit penyakit besar dan daripada tiap tiap penyakit dalam jiwa, dalam darah, dalam daging, dalam kulit, dalam urat dan dalam tulang. Tiada tuhan kecuali Engkau, Maha suci Engkau apabila Engkau menginginkan sesuatu ,cukuplah Engkau mengatakan, 'jadilah', maka terjadilah ia."
4. Diakhiri dengan solawat."

Anda mungkin ingin mengamalkan . Silakan . Doa itu didalam bahasa Arab boleh rujuk buku 'Indahnya Hidup Bersyariat' (Ustz. Ismail Kamus).

Kami membaca Yasin diselang seli dengan doa. Hinggalah habis surah Yasin. Itu ikhtiar kami untuk membantu sahabat kami dan memberi semangat agar dia sabar tabah menghadapi ujian dari Allah Taala. Yang melaksanakan permohonan itu Allah. Yang menyembuhkan penyakit adalah Allah.


Seingat pengalaman kami, membaca yasin dan berdoa secara berjamaah ini, ada yang Allah tunaikan secara segera. Seorang isteri terkena angin Ahmar, mulutnya dalam keadaan herot , tak boleh bercakap, belum sempat bacaan Yasin kami habis, Allah menunjukkan kekuasaanNya dan kami menyaksikannya ramai-ramai. Keadaan cacat tadi kembali seperti sediakala dan orang yang paling gembira ialah suaminya yang ketika itu memangkunya.

Satu lagi peristiwa , seorang ibu tua, tidak dapat bergerak, bercakap dan makan minum dilayan anak anak. Sangkaan mereka ibunya sudah hampir mati. Allah Maha kaya dan Maha Berkuasa. Berkat doa dan sedekah yang diberikan itu dapatlah ibunya sihat kembali , boleh bercakap dan berjalan. Itu semua adalah pemberiaan Allah Yang Maha Esa.

Majlis itu tidak berakhir lagi. Ustazah terus memberikan sedikit tazkirah mengenai penyakit, bagaimana Islam mendidik umatnya sentiasa mengamalkan hidup sihat dan sederhana. Jika , mereka buat sebagaimana sunnah Nabi , hidup akan sihat dan cergas. Badan sihat minda cergas. Wallahu'alam.

aku tidak kenal.

Tiap tiap hari Jumaat, aku menjadi tumpuan ramai. Pelayan atau 'orang gaji' aku kalau di hitung ramai juga. Tukang bersih, tukang arah, tukang pandu, tukang jaga, tukang solek dan tukang ketua segala tukang. Elaun mereka bukan banyak sangat, tetapi dari tidak ada kerja langsung, baik juga beri mereka kerja . Yang melantik mereka kejawatan itu bukan aku, tetapi orang besar negeri.

Hari hari lain , ada juga yang menziarahiku. Kalau yang rapat sangat, cinta kasihnya boleh lima kali sehari jumpa. Tak dapat siang datang malam . Yang jauh, sekali sekala tu datang juga jenguk menjenguk dan bertanya khabar. Yang ramainya buat tidak kisah dekat aku. Kerap kali orang suruhanku memanggil mangil ,tak juga datang datang. Aku tidak pula berkecil hati. Mereka datang aku santuni , aku layani dan berikan hadiah hadiah selagi dapat ku berikan.

Seingat aku didalam sebulan ada sahaja orang yang tidak aku kenali datang. Terkadang 4 kali , terkadang sampai 10 kali. Itu pun aku tidak jemput tetapi terpaksa , kerana tukang pandu aku membawanya kehadapanku. Aku nak beritahu siapa mereka.

Rabu lepas, lepas asar ada orang menalipon tukang-tukang yang aku miliki.
"Pak Wan, boleh tak datang segera ke rumah kami. Kami nak pinjam tukang mandi dan tukang solek. Lepas tu pimjam kereta dengan tukang pandunya", aku terdengar perbualan mereka . Di dalam hatiku berbisik, siapa nak pimjam memimjam ni, miskin sangat ke ?

Selepas magrib , ramai orang datang . Ada yang memberi salam ada yang tidak. Aku separuh terkejut dengan ramainya yang datang itu tidak dikenali. Kalau aku tanya Ayah Wan, dia akan jawab "tu orang Kg Wakaf lama". Mungkin kedudukan aku di tengah tengah kawasan metropolitan. Lagi pun aku kaya dan bergaya. Punya ramai pelayan dan orang suruhan. Kiri aku Kg Tok Jering, kanan aku Kg Tok Mai, depan aku Banggol Meleleh dan belakang aku Gong Budak. Rasa asing kiranya yang datang menjenguk aku orang yang tidak dikenali.

Azan dilaungkan, beraturlah orang yang bertamu tadi untuk solat maghrib. Ketua tukang dari segala tukang yang aku miliki, berdiri mengimamkan solat. Aku gembira sangat kerana pada maghrib ini ramai orang menamuku. Selesai berdoa, aku mendengar tukang suara aku meminta membawa masuk mengadap tetamu baru. Aku heran, mengapa tidak masuk bersama dengan orang yang solat tadi. Mengapa perlu dia dikemudiankan ? Mulia sangat ke orangnya?

Suasana sedikit bising, seluruh mata melihat tetamu yang dimaksudkan oleh tukang suara aku. Dia diusung oleh 4 orang awak-awak. Pakaiannya putih selepuk, seolah olah baru dibeli. Ada lima ikatan , mungkin yang memakaikan itu tukang mandi yang mereka pinjam dariku. Biasalah, kalau dia yang memandi dan memakaikan baju , itulah fesyen yang diminati. Dia suka mengikat di atas kepala, di dada , pinggang, betis dan kaki. Aku pelik lagi, sebab aku tidak kenal orang yang baru datang ini.

"Mengapa dia tidak datang sebelum masa ini"? detik hatiku kecewa.

Kalaulah dia datang dengan sendiri, dapat aku rai dan muliakan dia, dapat aku hadiahkan darjat yang banyak. Aku mungkin dapat kenal mukanya dan tersenyum dengan hati lapang. Ini tidak ! Datang sebagai tamu kerana dipaksa datang. Tidak boleh berjalan sendirikah sampai diusung ramai orang. Sudahlah begitu , masuk ke ruang tamuku pun orang lain yang meminta izin dan memberi salam. Tidak ada mulut kah untuk bersuara ? Aku rasa macam nak marah pada tamu yang terpaksa bertamu. Tidakkah ada yang memberitahu, "solatlah sebelum kamu disolatkan". Tidak adakah yang memberi ingat, "beramallah sebelum mati,kerana mati itu mematikan amal".

Mengapa disolatkan dia di sini ? Tidak ada tempat lainkah ? Solatlah di rumahnya. Bukankah selama ini dia solat di rumah , walaupun ada hukum mewajibkan semua lelaki bejemaah .

Rasa geram masih membuak. Mahu aku larang mereka membawa masuk tamu tidak diundang ini. Aku cuba beristighfar . Cuba menenangkan perasaan sendiri. Tidak mengapalah , berilah sedikit belas kesihan padanya. Mungkin dia tidak punya rumah. Mungkin rumahnya sesempit rumah PPRT. Mungkin rumahnya sebesar RMMM (rumah murah mampu milik), cukup untuk tidur anak beranak. Dapur pun sempit, ruang tamunya sempit yang cuma muat set sofa sahaja.Bilik airnya pun tidak dapat memuatkan lebih orang untuk upacara mandi kapor barus daun bidara. Hendak tidak hendak aku terima jugalah dia untuk dibaringkan di ruang tamuku.

"Mengapa dia tidak bercakap dengan aku"?
"Bisukah dia"? aku terpinga pinga lagi.

Tukang tukang aku ramai yang hadir. Masing masing tahu apa yang patut dibuat. Seorang duduk di depan dan melaungkan takbir al ihram. Orang yang dibelakang mengikut patuh. Takbir kali kedua dan takbir kali ketiga. Mereka membaca dengan kusyuk sekali. Kemudian bedoa dan memberi salam. Sekejap je. Hatiku masih bertanya , yang terbaring itu siapa. Cuba cuba mencuri dengar kalau kalau orang ramai tersebut namanya.

"Pak Awang !, siapa dia yang terbaring tu" ? tiba tiba suara Lamin, tukang bersih aku memecah kesunyian. Rupanya Lamin tidak kenal juga . Dia biasa menyapu di laman bunga dan tempat letak kereta. Tiap tiap orang yang datang Lamin kenal bahkan no plat kereta, jenis dan warnanya pun Lamin kenal.

"Encik Tumin anak Teman, guru sekolah Gong Budak", jawab Pak Awang selamba.

"Pernah ke dia ke mari"? Lamin mennyelidik untukku.

'Jarang sekali, jumaat pun kadang ada kadang tak ada", Pak Awamg saolah olah menyesali kekurangan pemahaman islam dikalangan ahli qaryah.

"Dia sibuk, guru, pagi ngajar budak, petang budak budak sukan, malam sibuk dengan anak isteri , mana ada masa hendak menjenguk kita. Kita pelawa datang lima kali sehari pun tidak dengar. Ini pula saja saja nak datang." suara sesal Pak Awang.

"Patutnya gurulah jadi tauladan pada anak murid. Jadi guru yang taat pada Allah, anak murid akan hormat dan ikut contoh baik guru guru", Lamin menambah.

Perbualan mereka terhenti. Tumin diusung ke luar. Awak awak tadi yang mengusungnya, mungkin warih warah dia. Tumin diletakkan dalam kotak kayu. Muat untuk dia seorang. Mengapa tidak diletakkan tilam kecil ke, pemaidani ke di bawahnya , selesa sikit. Ngapa warih warah tidak kesian kat Tumin. Kan sakit tu baring atas lantai kayu. Aku memerhati sahaja apa yang diperlakukan pada Tumin. Kotak kayu itu ditutup , kemudian diselimuti dengan kain yang bertulis ayat Quran.

Tidak ada apa yang dibawa oleh Tumin. Jam tangan rolex dengan cincin besi telah dicabut oleh tukang mandi sebelum mandi tadi. Harta dia yang lain, tidak banyak tetapi dibekukan sementara untuk difaraidkan oleh imam. Anaknya ada 3 orang , yang sulung sekolah menengah. Yang tengah sekolah rendah dan yang bongso baru berjalan. Mujur tidak ramai. Kalau ramai , susah juga suku sakat hendak mengagihkan harta untuk anak yatim.

Pak Wan , awak awak dan tukang tukang tadi mengangkat kotak kayu yang berisi Tumin dan meletakkan di dalam kereta milikku. Sewaan mesti dibayar ikut jauh perjalanan. Aku rasa, Tumin tidak pergi jauh. Habis jauh dia akan ke 'homestay' Wakaf Baru. Aku pun tidak ingat , Tumin daftar ke tidak untuk menjadi penyewa kekal di homestay itu.

Menurut Pak Wan, semua ahli qaryah mesti mendaftar dalam Buku Khairat Homestay dan bayar Rm 10 setahun. Aku rasa Tumin lupa nak daftar dulu. Sebabnya dia jarang berjumpa dengan tukang gali dan tukang kambus. Mujur juga ada sikit rezab untuk orang yang lalai. Kalau tidak , Tumin nak tidur di mana sepanjang panjang malam.

Bergeraklah perlahan lahan kereta yang membawa Tumin. Masing masing berdiri untuk memberi hormat walaupun tidak pernah kenal. Orang islam disuruh menghormati orang walau pun tidak dikenali, walaupun tidak pernah bertegur sapa . Aku memerhati sehingga kereta tadi hilang dari pandangan.

Jemaah yang tinggal meneruskan tafakkur. Tiba tiba bangkit seorang berjubah kelabu, kacak dan putih kulitnya. Dia memegang pembesar suara lantas berkata;
"Tuan tuan yang di muliakan , kita hidup tidak kekal lama. Mesti akan mati dan roh kita pulang kepada Allah. Bila berjumpa denganNya , Dia akan bertanya kita tentang beberapa perkara. Pertama umur kita, kita habiskan untuk apa? Kedua ,masa lapang kita habiskan untuk apa? Ketiga , harta kita habis bagaimana? Keempat, sihat kita guna buat apa? Bersiap sedialah wahai tuan tuan dengan jawaban yang baik. Bersedialah untuk diazab di dalam kubur kalau kita masih melalaikan perintah Allah taala." Kemudian dia beredar untuk mengimamkan solat isya'.

Aku memerhati orang yang datang . Aku mendoakan orang yang pergi.
Wahai manusia, sesungguhnya kamu semua di dalam kelalaian dan rugi. Datanglah menjenguk ku setiap kali ada panggilan. Tukang panggil aku namanya Muazzin dan akulah yang bernama 'Masjid'.