Hilang sayang

Bertahun tahun dulu,

Aku menjadi tempat mengadu isteri isteri orang. Di ceritakan bermacam kisah duka lara bersuami. Anak ramai tetapi tidak bahagia. Duit banyak tapi sengsara. Rumah besar tapi derita. Macam macam cerita.

Setiap isteri yang datang mengadu, akan cerita dari awal sampai akhir penyebab derita. Kalau aku tidak yakin, mustahil sebab mereka menangis sakan masa cerita. Dengar dulu, analisa dan beri pendapat dan nasihat...macam aku ni pakar rujuk dan pakar motivasi.

Lihat kes 1

Isteri bekerja.....pergi pagi pulang petang. Tinggal rumah tinggal anak. Orang gaji ada untuk uruskan semua makan pakai . Kira kira tiada badai gelombang menghepas pantai. Wang banyak kereta silih berganti , tak taulah kalau nak lepas dari hutang.

Suami kerja , gaji boleh tahan banyaknya . Kerja 'on time' dan 'over time', kadang kadang berhari hari di luar kawasan.

Bila agaknya mereka dapat bermesra ? Malam .....sibuk kerja mana ada masa nak layan satu sama lain. Kemesraan dan kasih sayang semakin luntur hari demi hari. Si suami terasa sunyi, si isteri dek kerana letih seharian maka tidak terlayan diri dan suami. Kira teruk ni....Bila si suami mendambakan layanan , tidak berbalas maka berlakulah sesuatu yang pelik di mata sang isteri. Tambah lagi , hukum hakam halal haram makruh dan subahat di tolak tepi.

Cemburu , sifat ini ada pada insan. Lelaki dan perempuan. Kata ' cemburu bererti sayang'. Kita terima kata kata itu . Si isteri cemburu dan luka hati bila melihat si suami bersama dengan wanita lain. Layan makan minum. Belaian kasih dan perhatian dan ambil berat yang menyungguh, sedangkan si isteri tidak terima layanan sebegitu dari sang suami. Atau mungkin sebaliknya berlaku, si isteri memberi layanan istimewa kepada lelaki lain.

Beginilah keadaan yang berlaku di dalam masyarakat Islam. Salah siapa kalau berlaku perceraian. Salah siapa kalau anak anak mereka terbiar merempat dan gagal di dalam kehidupan .

Kes ke 2

Lepas subuh, matahari belum terbit lagi sudah ada panggilan telepon. 'You ada kerja tak pagi ni", tanya seorang isteri. ."Ada, pukul 9.00 pagi, kenapa "?
"Boleh jumpa" ?
"Boleh", aku menyanggup.

Biasa biasanya orang telepon aku lepas asar atau isya'. Tapi hari itu pagi , tentu mustahak betul.
Dia datang dengan menggendong anak . Tidak kira panjang , aku jemput dia masuk dan cuba menduga masalah.

Belum banyak bicaranya , air mata memburai laju tidak dapat disekat sekat. Air mata sudah cukup untuk aku menafsirkan peristiwa . Apa yang berlaku ? Ini kes kena mengena dengan lelaki dan perempuan. Si isteri mencuri baca SMS . Acap kali 'sign in' , tak teruja ke ?
Bacalah ....tu ....hati perempuan mana tak tergoyang , hati perempuan mana tidak bergoncang. Bila tulis tanpa bicara...yang membaca tidak usul periksa. Ungkapan apakah yang akan dihamburkan kepada si suami ?

"Abang sms dengan sapa, siap janji nak jumpa lagi", suara sang isteri dengan rasa sangsi.
"Boss abang" , selamba je suami menjawab.
Si isteri mahu berbaik sangka, sampai bila.... jika layanan kepadanya kian lama bertukar menjadi herdik dan marah. Bukan itu saja , anak anak terbiar tanpa perhatian sang ayah. Lembut dan sayang bertukar kesat dan ganas.

Kesetiaan seorang isteri, pengorbanannya dan penatlelahnya menjaga anak anak sisuami tidak dihargai lagi. Layan semakin berkurang , kasih sayang semakin hilang.

Puas dan jenuh memujuk bagi menenangkan goncangan jiwa sang isteri.
"Banyakkan bersabar, solat hajatlah supaya tidak berlaku yang luar jangka." kataku untuk mengobat sikit keresahannya.
"Anak kita ramai, kecik kecik lagi. Kita ini tak kerja , kalau berlaku apa apa siapa nak jaga anak anak,..." esakannya sudah berkurang.

Si isteri tidak bekerja, gaji suami tidak seberapa dan anak ramai serta masih kecil. Bimbang akan berlaku perceraian sehingga dia menduga si suami..."Abang tak sayang kita lagi "?

Besar harapan siisteri supaya suami tidak semudah mudahnya melepaskan tanggung jawab dalam rumahtangga. Lepas tangan dan isteri tanggung beban sendiri.

Masalah begini banyak berlaku dalam masyarakat. Kerja suami .....kerja cari duit je. Didik anak, asuh anak kerja isteri. Rumah tangga urusan isteri. Lain lain hal .....isteri juga.


Kes ke 3

Aku ditemukan dengan sesaorang. Mungkin mereka anggap aku boleh menyelesaikan kekusutan rumahtangga nya.

Mata sebelah kirinya merah menyala, keliling matanya lebam lebam. Dia duduk, suasana bening sebentar dan aku tidak tahu bagaimana nak memulakan bicara.
"Ceritakan dulu bagaimana berlaku ",

"Kita kerja dan suami pun kerja, kadang kadang pergi kursus. Segala urusan anak anak semua atas kita. Makan pakai , sekolah , tadika dan taska. Perbelanjaan banyak . Pendekata, kita buat belaka untuk kebahgian keluarga", si isteri cuba mengawal perasaan nya.
"Mencari ilmu islam baru je, lepas kahwin baru nak mulakan solat, nasib baiknya kawan kawan ramai yang tunjuk ajar. Suami tak mengajor pun kita. Mak ayah dulu pun tak ajar kita. "
"Kita jahil, kita tidak sebaik mana, " si isteri memberi petunjuk kedudukan suasana rumahtangganya.

"Ye teruskan, bagaimana seteruk ini", ku pinta penjelasan.

"Nafkah, dia tidak dapat memberikan sesempurnanya. Makan minumnya. Yang satu lagi , batin kita pun tak dapat sesempurnanya. Ada hajat nak kawin lagi....itu yang kusutnya", cuba menahan ketidakpuasan hatinya.

Mulanya, dia tidak dapat terima hakikat itu. Dia cuba solat istiqarah, tidak ada jawaban. Minta nasihat kawan sekerja ....macam macam ada. Ingatkan anak dah ramai, tak sanggup bercerai . Ingatkan penderitaan batin, mahu je lepas diri. Kalau suami kawin pun , nak bagi nafkah macam mana ? sedangkan aku sering kecewa, bagaimana pula bila ada yang lain.

Banyak lagi kekurangan yang ada pada si suami. Perangai suka memukul isteri, mengherdik dan menghina.

Apalah lagi alasan yang dapat mempertahankan sesebuah rumah tangga. Bagi dua pihak yang bersengketa, akan mencari silap pihak lain. Masihkah ada jalan damai ?

Kes 4

Perasan aku , dia akan bahagia bila dapat suami baru. Majlis kahwinnya meriah juga , mengalahkan majlis kahwin teruna dara. Apa yang tidak ada ? Kereta ada, rumah ada, kerja ada, anak ada......tidak ada yang kurang .

Ini kali kedua dia datang meluahkan perasaan hampa bersuami baru. Mulanya aku tidak percaya juga. Kali kedua ini lagi teruk. Kenapanya ?

Keluarga kita ada, anak kita ada tapi dia tidakpun memberi peluang untuk kita berurusan dan tidak mengambil berat anak anak kita.

Kita amat mengharap ada lelaki yang dapat tumpahkan kasihsayang, ambil berat dan saling meringan bebanan. Bila kahwin, harapan itu berkecai dan tidak seperti yang kita harap dulu. Siang hari sibuk kerja, malam pula bersosial, bermain tidak kira dinihari, tidak menjaga ibadah, lebihkan kepentingan diri sendiri.

Isteri itu siapa? Isteri dijadikan sebagai apa? Teman tidur pun tidak, teman bermain pun tidak, teman seronok pun tidak , teman bicara pun tidak. Dah tu buat apa kahwin. Elok duduk sorang sorang.

Bagaimana nak selesaikan masalah ini. Bukan satu ni saja, banyak lagi pasangan yang' nampak bahagia tetapi derita'.

Cukuplah, orang lelaki baca tentu dia marah pada aku. Bukan apa, kita buat peringatan untuk semua. Salah, semua orang buat silap. Ambillah Quran sebagai panduan , hadith dan sunnah sebagai ikutan , inshaAllah berkat rumahtangga dan anak pinak kalian.

aku ingin pulang.

Dingin terasa seluruh tubuh. Ku cari selimut , ku pakai stokin tebal dan berbungkus tuala di kepala. kusangka dingin akan berkurang. Rupanya tidak.....rasa nyeri dingin menyelusup disekelian sarafku. Gigilan kecil mula terasa di bahagian dada dan menjalar ke paha , kaki dan belakang. Apakah aku demam ?

ziarah


Tidak, tidak,.....aku tidak mahu bayangkan yang bukan,,,bukan. Ustaz ada cerita , orang akan mati akan merasa gigilan manja pada hari ke tiga sebelum mati. Oh.....tuhan , apakah aku akan mati. Yang hidup pasti akan mati. Tidak boleh lari , maut senantiasa mencari kita. Besar ke kamu, kecil ke, derjat tinggi ke atau hina dina ke kamu , semua akan kembali kepada Tuhan yang satu.

"Perbanyakanlah taubat bila kita rasa aneh pada tubuh. Tambah lagi kalau rasa denyutan di dahi dan pusat." ingatan ustaz kepada ahli usrah yang sering mengikuti kelas fardhu ainnya. Aku rasa takut.....terkedu dan mengharap janganlah mati ketika ini.

Selimut ku ramas ramas. Ku rasa leher, dingin macam air sejuk di sekayu. Ku julurkan tangan dan pegang kaki sampai ke jemari dingin juga ....ya tuhan ampunkanlah aku andainya tika ini Kau memanggil aku pulang.

Bagaimana sakitnya mati ? Ketika nyawa disiat dari segala urat, dilolot dari segala saraf dan dipepat dari segala daging. Kata ustaz, macam meletakkan besi panas pada daging , kemudian besi itu ditarik samada pelahan atau cepat , pasti daging tadi terseret sama....sakit.. Kata yang lain pula semacam duri yang banyak ditarik menyongsang pada daging hidup.... Apa apalah.

Jika kita lihat seorang ibu yang mengandung, sembilan bulan menanggung sakit dan bila nak melahirkan itu bak kata" putus nyawa" dari badan. Terhenti rasanya nyawa untuk menahan sakit ketika bersalin seorang bayi. Ibu itu boleh ceritakan sakit itu dengan kata "tak dapat nak cerita bagaimana peritnya sakit melahirkan anak " . Inikan pula orang yang akan mati. Macam mana nak cerita perjalanan roh dan sakit yang tertanggung olehnya. Tak ...tak boleh , tanggung dan rasa sendirilah.

Apa yang berlaku ialah mata mulai kelabu dan rabun. Telinga yang mendengar sudah hilang daya dengarnya. Lidah yang petah berkata, menggulung ke dalam tekak dan suara berbolot bolot. Anggota tubuh mendingin secara keseluruhannya dan nyawa mula menyesak ke dada. Menaik nyawa ke kerongkong dan kita akan mendengar kegeruhan bila nyawa itu ditarik untuk kali terakhir atau cabutan yang perlahan (lembut) sehingga tidak dapat dipastikan bila hilangnya nyawa.

"Malaikat diperintahkan untuk mencari rezeki untuk anak Adam. Air, makanan dan udara (O2). Maka terbanglah mereka mencari , masihkah ada untuk si anak Adam ini. Malaikat yang jaga air ,mencari seantero dunia air untuknya tetapi tidak ada. Malaikat jaga makanan pun begitu juga malaikat jaga udara atau nyawa untuk keperluan tubuh anak Adam, tidak ditemui walau sezarah lagi. Maka tibalah ketentuan Ilahi, anak Adam itu tidak dapat tidak , rohnya mesti keluar dari jasadnya", cerita ustaz Wazir. Orang ramai tertegun mendengarnya. Bukan nampak malaikat kelamkabut mencari nyawa, air dan makanan. Yang kita nampak bila disuap makanan , habis keluar, bila si sudukan air , tak masuk dalam tekak , bila masukkan darah , darah pun tak mengalir dalam urat urat darah. Pam kan gas O2, tak bergerak kerana kerongkong dan paru paru sudah sempit.

Ke mana lagi aku ? Nak lari ! Lari lah , cuba kalau boleh. Lihatlah kaki yang kaku dan membiru. Nak angkat sudah tiada daya , inikan pula nak lari.

Ketika inilah ada roh yang memberontak kerana terpaksa keluar dari jasad. Roh ini, merayau seluruh tubuh kerana ingin lari dari cekaman malikul maut." Ke mana kamu nak lari wahai roh yang jahat lagi durhaka pada Tuhan" , jerit malaikat yang bertugas ketika itu . Tiada jalan lain melainkan roh itu di pukul dengan sayapnya bagi memaksanya keluar dari tubuh. Meraunglah roh itu dan keluarlah dengan cara terpaksa. Alangkah ngerinya kalau kita melihat anak Adam yang dipaksa berpisah dengan rohnya.

Lain pula yang berlaku kepada anak Adam yang baik . Malaikat mengucapkan salam dan menjemput roh keluar dengan lembut dan santun. Roh merestuinya kerana dia terlalu rindu untuk berjumpa Tuhannya. Selama ini dia melaksanakan semua perintah Tuhan , padahal dia tidak nampak Tuhan. Selama ini ia mengekang nafsunya kerana takut Tuhan marah. Selama ini dia menyebut nyebut nama Tuhan , biarpun dia tidak mendengar suara jawaban dari Tuhannya. Ia tidak peduli , apakata manusia kepadanya. ia tetap melaksanakan apa yang diimaninya selama ini. Biarlah orang kata di menolak dunia, ortodoks, kolot, ketinggalan zaman dan sebagainya. Asal hati menyebut Allah dan dia dapat merasakan ketenangan dan kebahagiaan yang dijanjikan Tuhan. Sekarang sampai masa Tuhanku memanggil aku pulang. Aku menyehut seruanMu dengan redha Ya Allah. Terimalah amalan yang aku persembahkan ini.

"Ini solatku yang wajib sehari semalam. Yang berkurang aku pohon ampun. Ini solat sunatku ya Allah ". Rayu roh anak Adam semasa berjumpa tuhan di langit . "Ini puasa ku, ini zakat hartaku, ini sedekahku, ini perbuatan baikku dengan manusia, ini umrah dan hajiku ,ya Allah ....... terimalah ". Rayuan kehambaan di hari penyembahan amal. Roh anak Adam di perjalankan ke langit langit hingga bertemu Allah di Sidratul Muntaha.

Jauhnya dan cepatnya perjalanan roh seperti perjalanan cahaya. Kalau berjasad, kena jalan dengan kaki atau kenderaan tetapi bila bebas dari penjara jasad , roh berada dalam kenderaan malaikat...seronoknya.

Kalau begitu keadaannya , aku redhalah ya Allah, ampunkanlah aku dan terimalah aku pulang.

terima kasih kakak

Tidak sangka , tidak juga terbayangkan bagaimana perasaan bila membaca pesanan ringkas dari sesaorang yang rapat hubungannya dengan kita.

"nak gi umrah ni, isnin dan penerbangan 9.00 pagi", ringkas dan penuh makna.
Tanpa bicara, aku bertanya lanjut, dengan siapa dan siapa yang hantar ke 'airport'. Jawapan juga ringkas. Aku terus memberi jawaban yang aku akan ke sana. Itu seolah olah macam janji dan janji mesti ditepati.

Kebetulan , minggu itu aku sibuk. Adik Hakim nak pergi sekolah memandu dan mesti awal pagi. Kakak Milah ada kerja di Yayasan Terengganu dan mesti tiba awal juga ke sana. Aku mengatur waktu dan membahagikan masa sesempit itu untuk tiga tujuan. Bolehkah aku bertemu dengan kkk sebelum penerbangan ? Sempatkah aku hantar kakak milah ke YT ? Dan bagaimana dengan adik Hakim ? Susah juga ye. Yang ini terabai , merajuk. Yang ini tidak diberi perhatian berasa hati. Yang perlu , aku beri rasa kasih sayang itu untuk ramai insan supaya mereka tidak kecewa.

Pukul 7.30 aku ke 'airport' dengan harapan dapat berjumpa semasa "check in'. Menunggulah aku hingga 8.30 pagi. Aku perhatikan setiap kereta yang berhenti untuk menurunkan penumpang. Tidak terlihat kelibat orang yang aku tunggu. Antara dua perasaan , ingin berjumpa dan meninggalkan 'airport' dengan rasa berat hati kerana terikat dengan janji asal kelmarin. Aku memecut laju untuk menghantar kakak milah ke YT. Sepulang dari bandar aku kembali ke 'airport', tetapi suasana sudah lengang.

Kkk maafkan aku kerana tidak sempat berjumpa dan menghantar kkk dengan pandangan mata.
Berderai air mata dan sebak rasa dada. Jantung berdenyut ganas . Sesal yang teramat kerana tidak berada di sana segera sebagaimana janji.

Apa pun doaku moga kkk selamat pergi dan dapat menunaikan ibadah dengan sempurna. Pesanan di hantar dan kami berbalas pesanan untuk beberapa waktu. Hatiku kembali tenang dan bahagia bila kkk menyebut 'terima kasih kerana sudi datang w/pun tidak sempat jumpa'.

Eid ul-Fitri 2010















Raya dan bahgia

Saban tahun, sehari sebelum raya aidil fitri , kami sekeluarga memulakan musafir untuk pulang ke Pekan Pahang. Hari aidul Adha kami bermusafir ke Besut. Pembagian yang dipersetujui seawal perkahwinan kami.

Pada tahun ini yang berbetulan dengan ulang tahun perkahwinan kami yang ke 25, ulang tahun kelahiran 3 insan antara kami, abah, idah dan ilah , serta istiadat perkahwinan anak keempat kami yang akan berlangsung, maka kami merayakannya di kediaman kami sendiri. Suatu permulaan sebuah keluarga sempurna .

Solat di pagi raya di masjid Wakaf Tembesu. Waktu begini masjid itu akan dikunjungi ramai insan .Yang jauh yang dekat datang bertandang. Yang berkeluarga dan bujang sama sembahyang. Berpangkat atau tiada derajat sama bermunajat kepada Tuhan yang satu (esa). Qiamnya sama, ruku' nya sama , sujudnya sama , mendengar kutbah yang satu dan berdoa untuk keselamatan dunia dan akhirat kepada Allah , tuhan yang sama. Di masjid tiada berbeza, yang berbezanya bila keluar dari masjid, engkau mencari haluan engkau dan aku dengan haluan aku.

Sempat juga aku menghitung amal....Ya Allah, apakah puasaku mabrur ? apakah amal solehku yang terbaik ? apakah dosaku diampun ? apakah aku mendapat kebebasan dari api nerakamu ?
Mengenangkan itu , manik manik air menitis di kedua kelopak mataku. Syahdu dan sayu, sebak yang menggoncang dada. Ya Allah ampunkan aku dan bebaskan aku dari nerakamu.......

Kutbah dibaca oleh wakil rakyat dengan cara terbaru multimedia. Jemaah dapat membaca sambil mendengar isi kutbah melalui 'screen' besar . Pun begitu ada juga jemaah yang tidak mengendahkan ucapan kutbah. Apa yang dapat dikutip ialah seruan untuk bertakwa kepada Allah , mengamalkan islam yang syumul dan menjaga silaturrahim antara manusia.

Selesai solat , bersalamanlah antara kami. lebih seronok kita dapat berjumpa dengan sababat sahabat .

Pulang ke rumah dengan kegembiraan dan harapan. Bergambar anak beranak, 5 orang yang ada di sisi, anak yang ke 5 beraya di Syria. Oleh kerana aku sudah terbiasa berjauhan dengan anak anak , ketiadaan mereka tidak terkesan sangat. Tahun lepas kami sambut raya, anak ke 3 beraya di United kingdom. Tahun sebelumnya , anak bongsu kami tidak beraya bersama kami. Di ke Kuwait dalam bulan ramdhan dan beraya di sana. Begitulah keluargaku tidak pernah cukup bilangannya. Walaubagaimanapun, hatiku seronok, puas dan bahgia melihat kejayaan yang Allah berikan kepada mereka. Mudah mudahan berkat dan selamat.

Ibu mana yang tidak bahgia, anak yang kecil dulu di gendong dalam rahim dengan susah payah, kemudian didukung dengan kelelahan dan keletihan, disusui hampir 2 tahun, dipujuk dan dibujuk bagi meredakan tangisan. Mereka membesar depan mata. Belajar depan mata. Makan minum dan pakai memakai depan mata. Segala masalah diadu pada ibu segera dan segala permintaan kabul segera. oh.....anak anakku tangan inilah yang menimangmu, tangan inilah yang menyuapkan makanan ke mulut kecilmu. Tangan inilah yang menghayun buaimu dan mulut inilah mendodoi tidurmu. Mulut inilah yang mengajar kalimat suci untukmu , mulut inilah yang mengucup pipimu dan memberi sayang kepadamu. Ingatlah anak anakku..........

Bukan balas yang dipinta dan bukan belas yang mahu ibu terima. Cukuplah engkau menberi perhatian di hari hari tua dan doakan ibu bahgia dunia dan akhirat.

Ramadhan ini

Kedatangan ramadhan aku nanti dengan penuh debaran. Segala persediaan fizikal, mental dan perasaan diperkemaskan. Hutang hutang puasa tiada. Hutang dengan manusia tak ada. Kalau ada aku berhutang dengan diri sendiri sebab tidak melangsaikan segala kewajiban dan amanah dengan sebaiknya.

Hari hari Ramadhan , selain puasa dan menjaga adab adab puasa , aku berkesempatan untuk beramal kebajikan dan bersedekah jariah. Pada pagi hari (31 ogos 2010) aku, ketua muslimin dan setiausahanya mengiringi wakil Ustaz Abu Bakar menjelajah kampung dan taman sekitar Qariyah Permint Makmur untuk menyampaikan sumbangan sekadarnya. Infaq dari masyarakat dan korporat muslim diagihkan kepada anak anak yatim, fakir miskin dan keluarga dhaif. Biarpun nilai sumbangan itu kecil tetapi yang memberi berjiwa besar dan yang menerima merasai mereka dihargai dan dicaknai.

Selain itu, dua orang sahabat muslimah menyertai konvoi kebajikan kami. Permulaan perjalanan dan mampir ke rumah keluarga dhaif. Rumah kecil , berpenghuni empat beranak, ketika kami sampai jam sudah 9.30 pagi. Suaminya tiada, kami mengambil masa yang lama untuk berjumpa mereka kerana terpaksa menggerakkan mereka dari mimpi siang hari. Tak apa, kami sabar menunggu. Asalkan sumbangan dapat disampaikan dari tangan ke tangan. Oleh kerana perima itu perempuan, wakil ustaz memberi penghormatan untukku menyampaikan sumbangan. Tangan menghulur salam, disambut dengan senyuman. Sumbangan diberi kasih diterima.

Kami meneruskan perjalanan, rumah kedua milik keluarga nelayan. Pintu diketuk salam diberi. Keluarlah si isteri dalam keadaan yang tidak menyangka kedatangan kami...orang asing. Sempat aku menasihatkan supaya memakai tudung kerana yang datang bersamaku itu muslimin. Ia akur dengan arahan. Sumbangan dihulur dengan kuntuman senyum yang cukup puas.

Kami ke destinasi seterusnya, rumah yang penghuninya 11 orang. Biar miskin harta tapi kaya anak. Itu anugerah Allah. Kedatangan aku dan rombongan disambut ceria. Mereka kenali kami, sebab saban tahun keluarga ini tersenarai dalam penerima zakat dan sedekah.

Jumlah sumbangan kali ini untuk 8 keluarga yang terpilih.Walaubagaimanapun, masih ada kuota tambahan yang akan menyusul kemudian dan tugas itu diserahkan kepada muslimat untuk menguruskannya.

Apa yang menarik kali ini, kami pergi ke rumah ibu tunggal beranak dua. Terkejutnya dia.....keluar bertudungkan tuala berkain batik separuh betis. Aku membisikkan supaya memakai tudung kemas dan pakaian sempurna. Dia masuk semula untuk berpesalinan kemas, berbaju kurung berkain batik. Mungkin dalam kelamkabut begitu tidak terperasan kain batiknya macam orang nak masuk bendang....Tidak heran sebab itulah kehidupan orang Melayu kita, yang tidak cakna tentang aurat dan pakaian.

Sumbangan kami sampaikan . Setiausaha kami siap dengan kameranya untuk merakamkan detik sejarah ibadah kebajikan anjuran PAS Tepuh dan PAS Cawangan Permint Makmur.

Satu program penutup tadarrus peringkat cawangan diadakan pada pagi 29 0g0s lalu. Kami tidak sempat memanggil semua ahli, cuma kami maklumkan pada kelas kelas fardhu ain. Semua ajk cawangan hadir kecuali sahabat yang ada pertembungan tadarrus di surau lain. Kami isi dengan zikir munajad, tazkirah dan bacaan quran. Perpisahan yang indah dengan bingkisan kurma untuk berbuka puasa.

Aku mengharap ramadhan ini adalah ramadhan terbaik untukku. Siang dan malamnya dipenuhi dengan tuntutan ibadah dan sunnah. Apa yang diwariskan oleh Rasul junjungsn aku laksanakan sekadar termampu. Zikir dan istighfar, solat dan doa dipenuhi disetiap sudut masa yang ada. Aku mengharap redha Allah yang Maha Kaya.

Ya Allah terimalah ibadah kami , redhailah syurga untuk kami dan jauhkan kami dari azab nerakaMu.

muhasabah ramadhan

Nabi Muhammad saw tidak pernah meninggalkan amalan iktikaf ini sehinggalah beliau wafat. Mengenai kelebihan iktikaf, menurut hadis Nabi,” Sesiapa yang beriktikaf satu hari kerana mencari reda Allah, DIA akan menjadikan antara dirinya dan api neraka sejarak tiga buah parit. Jarak antara setiap satu parit itu lebih jauh daripada jarak antara dua mata angin” (At-Tabrani dan Hakim). Oleh itu, kempen iktikaf di akhir Ramadan ini perlu diperhebatkan di kalangan umat.

Sekarang kita sudah berada di sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadan. Sesungguhnya inilah
peluang terbaik untuk umat Islam memperbaiki amalan mereka dan meningkat nilai takwa mereka. Akan tetapi, jika kita perhatikan dalam masyarakat kita, apakah benar- benar umat Islam di sekeliling kita mengambil manfaat daripada ganjaran yang telah dijanjikan ini? Secara umum, bulan Ramadan ialah bulan yang penuh barakah dan rahmat.

Barangsiapa yang benar- benar mengkhususkan bulan Ramadan ini untuk memperbaiki diri sendiri dan meningkat takwa, akan diperolehi apa yang dihajatinya. Ini terbukti dalam satu Hadis Nabi Muhammad Sallallhu’alaihi Wassalam yang berbunyi,
” Barangsiapa yang mendirikan Ramadan dengan keimanan dan mengharapkan balasan Allah, akan diampuni dosa-dosa yang sebelumnya”. Malahan ada ulama yang membuat perumpamaan tentang bulan Ramadan ini dengan menceritakan Ramadan ibarat sebuah kapal besar yang melabuh di sebuah pulau, dan di dalam kapal itu sarat dengan khazanah yang bernilai tinggi seperti emas, permata, intan dan sebagainya, termasuk sumber makanan yang banyak. Kapa itu berlabuh di pulau itu sekadar satu bulan sahaja.

Maka nahkoda kapal mengumumkan kepada penduduk pulau itu bahawa ambillah apa sahaja yang kamu mahu daripada pulau itu, kerana ia akan belayar kembali dalam tempoh sebulan. Maka, apabila sudah dibuat tawaran emas seperti itu, ramai yang terbondong- bondong mengambil khazanah yang bernilai tinggi itu. Namun demikian, sudah pasti juga ada yang mengambil sikap berkecuali dalam tawaran itu.

Golongan ini tidak mengambil berat dengan ganjaran yang ditawarkan itu. Mereka masih meneruskan kegiatan tradisi mereka seperti bermain dam haji, berlepak, bersembang dan sebagainya yang tidak mendatangkan faedah. Dalam konteks hari ini, perumpamaan ini terjadi dalam masyarakat kita. Apakan tidak, jika kita perhatikan dalam sumber Al- Quran dan Hadis, banyak menceritakan tentang kelebihan bulan Ramadan ini. Apatahlagi ketika sepuluh malam terakhir ini. Di dalam surah Al- Qadr, apabila diberitahukan akan datang satu malam yang dinamakan ‘Malam Qadar’ yang meyamai seribu bulan. Seribu bulan bersamaan dengan lebih kurang 84 tahun. Sesungguhnya inilah kelebihan yang telah diberikan oleh Allah kepada umat akhir zaman yang tidak diperolehi oleh umat- umat sebelumnya.

Ketika sepuluh malam terakhir kita disunatkan untuk beriktikaf di masjid dan membanyakkan amalan membaca Al- Quran, mendirikan solat sunat, berzikir dan sebagainya. Iktikaf bermaksud, mendiami atau menetap di masjid dengan cara tertentu. Iktikaf merupakan salah satu ibadat yang ditunjukkan oleh Nabi Muhamad saw. Dalam satu hadis, “Nabi saw selalu beriktikaf pada sepuluh akhir Ramadan sehinggalah baginda wafat. Kemudian isteri- isteri baginda pula beriktikaf selepas kewafatan baginda” (Riwatat Bukhari dan Muslim).

Nabi Muhammad saw tidak pernah meninggalkan amalan iktikaf ini sehinggalah beliau wafat. Mengenai kelebihan iktikaf, menurut hadis Nabi,” Sesiapa yang beriktikaf satu hari kerana mencari reda Allah, DIA akan menjadikan antara dirinya dan api neraka sejarak tiga buah parit. Jarak antara setiap satu parit itu lebih jauh daripada jarak antara dua mata angin” (At-Tabrani dan Hakim) Malah, kesempatan beriktikaf itu ialah untuk mencari malam Qadr yang dijanjikan dengan ibadah seperti seribu bulan.