Rumah terbuka kabin

Sejarah terlakar dalam diary muslimat Taman Permint Makmur. Hari hari meniti dan menanti , bilakah dewan di bubar dan bilakah piliharaya akan diadakan, membuatkan muslimat bertungkus lumus mencari tapak bagi pejabat operasinya. Terkadang menyewa homestay, terkadang menumpang di rumah sahabat sahabat. Jika ada lebihan duit belanja, muslimat menyewa je homestay. Jika tidak kecukupan , menumpang saja di mana boleh menjalankan aktivitinya. Kesihannnnn

Banyak rumah sewa dilamar, tapi harganya mahal...RM 450.00 dan yang murah sekali RM 250.00, Manalarat nak bayar tiap bulan dan aktiviti pun baru nak rancang. Jadi, diilhamkan Allah untuk mendapatkan tapak wakaf yang berhampiran dengan rumah timbalan ketua, ajk pun ramai duduk disekitar situ..dan permohonan itu berjaya. Syukur kepada Allah atas kurniaan itu.

Kami merancang ringkas untuk membuat sebuah pondok atau gubuk kecil, tetapi Allah menentukan yang terbaik untuk kami. Dua orang sahabat memberi jaminan untuk mendapatkan sebuah kabin terpakai. Hasrat itu berjaya. Kami meraikan kehadiran Kabin ke tapak yang dipersetujui bersama antara kami dan tuan tanah wakaf. Maka terdamparlah sebuah rumah kotak pertama di situ.

Pintu yang robek, diganti baharu. Tingkap dibersihkan dari segala cemar. Di dalamnya lengkap dengan peralatan pejabat , kami bersih dan susun bersama. Dindingnya dicat hijau, walhal asalnya berwarna biru. Kami buat semua itu atas kemampuan muslimat. Kemudian kami tambah dengan ruang dapor, bilik air dan ruang depan. Lengkaplah ia menjadi sebuah rumah kabin yang ada api airnya. Segala perbelanjaan kami tanggung bersama .Syukur kehadirat Allah yang mempermudahkan urusan kami.

Sebelum menjelang raya, rumah kabin kami menjadi medan pidato tokoh tokoh yang dipilih. Terdahulu, Pas kawasan menjemput Ungku Harmy berceramah dan mendedahkan rahsia kerajaan yang  mengugut raja raja Melayu dan Agung. Raja Bahrin Shah dan tokoh tempatan hadir memeriahkan perkarangan rumah kabin kami. Seronok tidak terkira melayan tetamu yang hadir.

Semalam , kami sekali lagi bergembira kerana merayakan raya terakhir di hujung syawal. Ramai tetamu datang menjamu nasi Arab hasil tangan Muslimat Permint Makmur. Dihidang dengan sop,acar tanpa sambal. Pemanisnya tapai dan air PAS. Pemasamnya colek buah buahan. Puas hati kami dengan keseronokan tetamu menjamu selera.

Jumaat ini pula ada lagi program yang diatur. Jemputan YB Titi Serong...rakan fb ketua Muslimat kami. Isu apa yang bakal dibicarakan , sila lah hadir untuk memeriahkan perkarangan rumah kabin kami. Marilah sama sama doakan keberkatan atas usaha kami. Moga kami semua sihat , murah rezeki dan istiqamah dalam perjuangan menegakkan Islam di bumi tercinta ini

Lemahnya aku

Jam 4.00 pagi berbunyi memecahkan keheningan dinihari. Aku bingkas bangun, bercampur terkejut dan terpinga pinga, gagahi tubuh untuk bangun dari katil empok. Ya Allah , terimakasih kerana masih memberi hidup padaku. Terasa pening, dan hampir memusing dunia pada pandangan ku..Antara penyakit bagi orang yang kurang darah dan kurang rehat.

Seperti malam malam yang lalu, aku ingin supaya catatan amal ku ada di dalamnya sebagai hamba yang bersyukur, sebagai penghidup malam dan ahli ahli yang bertaubat ketika sahur. Aku gagahi kaki untuk bersuci dan berwudhu. Kemudian mencapai "uniform' solat serba putih. Pakaian yang ku pakai ketika umrah dan haji, itulah sering ku pakai. Untuk solat di rumah atau di masjid. Bukan kerana 'title' hajjah. atau bukan kerana menyohorkan hajjah itu, tetapi kecintaan aku kepada suasana Mekah dan Madinah dan ingin supaya ingatan itu tetap segar pada setiap hari.

Melakukan solat ringan 2 rakaat itu adalah sunnah, kemudian diikuti solat tahajjud dan sempat untuk solat witir . Segala puji baguMu Ya Allah yang memberi kekuatan pada jasadku, mindaku dan kekuatan pada hatiku untuk terus tunduk syukur kepadaMu.

Ya Allah, padamu aku pohon ampun dari segala dosa, besar atau kecil, nyata atau sembunyi, sengaja atau tidak sengaja, yang aku tahu atau dosa yang aku tidak tahu. Ampunkan dosa ibubapaku, suamiku, anak anakku sahabatku, saudaraku. Masukkan aku dan mereka semua dalam golongan orang yang berjaya di dunia dan akhirat. Itulah antara bisikan hatiku kepada Rabbku yang maha Mendengar dan Dia menghamparkan rahmatNya untuk menerima doa doa di waktu sahur

Kemudian ku persiapkan makanan sahur untuk keluargaku. Sekadarnya untuk alas perut bagi puasa siangnya. Masa yang panjang memudahkan bagi ku menyiapkannya. Terkadang ada aku terkejut, waktu sahur berbaki 15 minit....makan apa yang ada dari lauk pauk berbuka puasa tadi.
Anak anak dah tak kisah hal ini, suami pun redha dengan apa yang dapat di kunyah dan yang dapat ditelan....alhamdulillah walau pon sekadar air kosong atau tea kosong dan beberapa biji kurma. Mungkin anda juga pernah merasa tidak sempat bersahur apa apa kan ?

Azan suboh berkumandang di masjid Wakaf Tembesu. Apa tugas seterusnya ? Solat di Masjidlah. Orang yang berjiran dengan masjid di galakkan solat di masjid , keutamaan pada kaum muslimin. ini sunnah....apa guna ngaku ummat Islam jika sunnah ini tidak diutamakan.
Wanita ? yang ingin berjamaah di masjid ...silakan....tetapi jangan mengundang fitnah.

Ya, jaga aurat dan jangan memakai bauan atau pakaian yang mengundang fitnah.

Biasa kereta kembara biru jadi tunggangan kami sekeluarga. Terasa ni'mat dalam beribadah. Dapat laksanakan beberapa sunnah.....solat tahiyatul masjid...kalau tak pergi masjid , tak ada bahagian itu. Takbir bersama imam, mengaminkan bersama imam, berdoa dan i'tikaf... Duduk di rumah, kita tidak berpeluang untuk mendapat pahala pahala sunnah ini...Segala puji bagiMu ya Allah yang merezkikan aku untuk beramal dengan mudah dan penuh kesungguhan dan harapan

Pagi sudah menjelma, tugas yang harus dilaksanakan untuk hari ini sudah menanti...Pakaian , rumah, halaman rumah, dapur dan bilik bilik yang berpenghuni. Itu bahagian rumahtangga. Aku masih ada tugas harian yang lain, kelas kelas dewasa yang setiap pagi mesti penuhi' isian rohani'nya, kemudian tugas jamaah yang juga mesti ditunaikan jawatan tugasnya. Program yang akan dilaksanakan supaya masyarakat jadi terjaga dari lena dan kelekaan.

Ya Allah , berikanlah aku kekuatan jasad dan perasaan untuk melaksanakan semua ini. Jangan ada tugasku yang terlalai atau terlupa. Inilah kesempatan yang kau berikan kepadaku dan mungkin peluang tidak akan berulang lagi. Kesihatanku terbatas, kekuatanku juga terbatas dan umurku juga terbatas. Berilah aku peluang untuk beramal secukupnya untuk bekal akhiratku yang panjang dan berkekalan itu. Maafkan aku jika ada ketidak sempurnaan dalam amalan amalanku Y a Allah.

Wajah tanpa cahaya

Selepas zohor kami berangkat ke Besut, ada urusan di pejabat tanah Kg Raja. Tanah ada berkeping keping , ada tanah pusaka abah dan tanah pusaka emak. Kedua mereka tidak tinggalkan banyak harta. Yang sekangkang kera itupun bagi empat lima beradik yang masih hidup.

Rumah persinggahan kami di kg Tembila , adik perempuan tunggal suami. Dulu kecil aja terataknya. Semenjak emak sakit dan tidak berdaya urus diri sendiri, adik inilah yang menjaga siang dan malam. Emak duduk bersamanya dan rumah itu diperbesarkan dengan tambahan bilik tidur dan bilik air. Yang lain jaga juga sekali sekala dan ada sekadar menjenguk sekali sekala.Tak apalah . Merasalah juga aku menjaganya di hospital Jertih.

Lepas selesai urusan pejabat, kami bertolak ke Jertih Bandar Hadhari. Azan asar berkumandang. Kami segera ke masjid Besar Hadhari ...biru biru gitu. Ramainya orang. Ada apahalnya dengan motor besar , bas dua buah dan orang dewasa dan remajapun ramai. Berarak apa ni. Tengok pada motor besar dengan lambangnya macam geng polis. Tengok pada bas, macam budak kolej , ada tulis K V.

Tepi masjid ada warung, penuh dengan orang makan minum. Di pondok pondok rehat ramai juga orang lelaki ada perempuan pun ada. Itu di perkarangan masjid Hadhari. Aku menyelusuri kaki lima masjid untuk masuk ke dewan solat di tingkat atas. Tercari cari juga aku, sebab ini kali pertama sampai di sini. Naik ke dewan solat, imam solat dah masuk rakaat dua. makmum wanita ada 4 orang. makmum lelaki nampak macam 2 saff tetapi tak penuh. Dalam dewan wanita, bising juga...ramai remaja perempuan. Mereka tidak solat jemaah bersama imam. Nampak macam dah solat. Solat jama' agaknya. Takkanlah mereka menolak untuk berjemaah.

Selesai solat , turun kembali ke kereta. Abang dah siap menunggu. Tunggu aku dan tunggu kawan menantu kerana pesanan 'kaula' Yaman. Lama menunggu, dari dalam kereta aku memerhatikan gelagat manusia yang ramai di laman masjid. Yang tadi minum sudah minum. Yang tadinya berehat sudah siap untuk menyambung perjalanan. Heran juga aku, masa bila mereka solat ?

Aku memerhati air muka masing masing. Melayu , sawo mateng, gelap dan kelabu. Seorang dua nampak putih. Wajah yang kusam muram tanpa cahaya ilahi. Inilah bangsaku. Singgah di masjid untuk menghilangkan penat lelah, berehat , makan dan minum sahaja. Masjid jadi tempat lepak bukan tempat ibadah. Masjid jadi tempat buang air kecil dan besar sahaja bukannya untuk membuang karat karat dosa.

Apa kah masjid didirikan untuk hiasan sahaja. Orang bangga mempunyai masjid yang besar dan reka bentuk serta hiasan yang cantik cantik. Orang terpegun melihat dari kejauhan, kubah yang besar dan kecil kecil. Orang memuji kerana peralatan dan kemudahan yang canggih ada di dalamnya....bangga dan terus bangga.

Apabila azan dilaungkan , berapa keratkan manusia yang segera menyahut panggilan itu ?. Dewan yang besar lagi cantik kosong dari manusia yang sujud dan rukuk. Dewan yang sebegitu besar sunyi sepi tanpa pengisian. Dewan yang sebegitu syahdu kosong dari manusia yang datang mengadu kepada penciptanya....sedih ku berpaut. menyesal aku tersangkut. Beginilah nasib bangsaku yang tergelincir dari jalan Islam. Ramai yang gugur dan ramai yang tersesat .

Bukan di sini sahaja yang aku lihat, mana mana masjid yang dibina bukan atas dasar taqwa, akan sepi , lengang dan kosong. Masjid yang dibina atas dasar taqwa, lain pula jadinya, penuh , meriah dan menyeronokkan .

Satu demi satu motor besar meninggalkan masjid. Kereta bergerak perlahan dan orang ramai tadi mulai berkurang. Semuanya menuju destinasi masing masing. Aku mulai meninggalkan rumah Allah dengan soalan soalan yang tidak berjawab....mengapa mereka tidak solat bersama imam? Mengapa wajah wajah yang ku lihat tidak bercahaya. Mengapa mereka tidak meninggalkan jual beli dan makan minum untuk sama sujud kepada Allah ?

Inilah fenomena akhir zaman yang di bimbangi oleh Rasulullah s.a.w.

Rebung yang sudah membuluh

Ada sesuatu yang tidak selesa pada perjalanan darah ku. Jantung rasa berdebar debar untuk beberapa saat. Aku gagah kan juga untuk terus berucap di dalam majlis tazkirah. Ya Allah, berikan peluang untuk menyampaikan amanah islam itu kepada massa. Engkau tahu , mereka kembali jahil bukan kerana mereka mahu begitu. Mereka tidak tahu agama bukan kehendak mereka.
Mereka tidak pandai baca quran pun bukan mereka mahu begitu.

Bapa bapa mereka telah menghantar mereka ke sekolah, mengaji dan bertekun pada buku-buku.Wal...hasil, mereka habis umur 12 tahun disekolah rendah , keputusan periksa 2 B , atau #B semua tanpa A. Ada yang tidak lancar membaca dan ada yang tidak bagus ngajinya.

Pun begitu dapat masuk tingkatan 1, dengan serba kurang kemahiran untuk cemerlang dalam ekademik, masih lagi meneruskan hidup berulang alik ke sekolah, berebut rebut untuk makan di kantin, mendengar pelajaran antara faham dan kejahilan. Sekolah itu sudah jadi tempat anak anak yang tidak beribubapa melepak, bermain dan bergurau. Sekolah juga menjadi tempat kebencian bila guru hanya mementingkan gred akademik semata mata. Bagi yang bosan, mereka cuba melepaskan diri dari ikatan sekolah.

Kemudian dalam rela dan terpaksa, mereka jalani peperiksaan demi peperiksaan. kegagalan datang timpa menimpa. Mereka bukan dididik untuk menjadi insan yang cintakan ilmu malah sesudah gagal mereka bagaikan berpatah arang berkerat rotan dgn guru dan buku.

Lepas sekolah, dengan sijil yang huduh itu apa kerja yang layak untuknya? Mencarilah sana sini ruang kerja boroh kasar.Paling layak untuk menjadi tukang bersih atau tukang sapu dan jawatan yang selayak untuknya....Malang bagi lelaki, apalah jawatan yang layak untuk menyara selain diri sendiri.?

Kini tugas untuk memperbaiki kesilapan yang dilakukan terdahulu dipikul oleh orang kemudian. Siapa yang akan melembutkan kembali buluh ? Dan bagaimana cara untuk meluruskan buluh yang membengkok dari pangkalnya ?

Tiada jalan lain untuk memperbaiki kesilapan ini melainkan semua sistem pendidikan ini di rombak dan diganti dengan sistem yang berpaksikan aqidah al quran dan ibadah al quran. Keberkatan akan mendatang jika kita mengambil ajaran Allah ini. kerana matlamat Allah membuat manusia adalah untuk hidup beribadah kepadaNya dan mematuhi sistemNya. Kelalaian manusia atau keengganan manusia untuk menuruti sistem Ilahi akan membuahkan kecelaruan hidup dan kemurkaan dari Ilahi.

Hidangkan anak anak dengan Quran . Fahamkan isi kandungannya dan laksanakan tuntutannya dalam kehidupan keluarga kita. Mudah mudahan rebung yang mengeras itu melurus di tengah dan di hujungnya.

Musafirlah aku

Aku macam tidak percaya , bila terima panggilan telepon dari Reyhal . Aku dan suami layak jadi calon tetamu Allah. Memang sudah lama aku merindukan kaabah. Lima tahun lalu, jiranku pergi haji. Dua tahun lalu, jiranku pergi ke Mekah. Jiranku lagi pergi umrah dua kali dalam setahun. Mudahnya mereka menjejak kaki ke bumi haram itu. Sekarang sampai masa giliran aku pula.

Syukur yang tidak terhingga ke hadhirat Allah taala, yang menghantar kad jemputan melalui reyhal.

Banyak barang yang patut dibeli . Jubah putih 'pengantin', telekung ihram, stokin, seluar panjang, baju persalinan dan keperluan semasa musafir. Banyak nye..... barang barang itu di tapis beberapa kali untuk dimuatkan dalam beg besar, ini perlu.....penting dan payah nak cari, yang ini ....berlambak dekat Mekah atau Madinah....beli sana je. Kawan kawan ramai yang bagi pandangan , beli saja di sana.

Tempoh yang pendek untuk berurusan dengan Tabong Haji. Sehari suntuk untuk mendaftar penerimaan tawaran. Sampai saat akhir urusanku belum selesai, sebabnya pasport yang dibuat setahun yang lepas kena diperbaharui....agak kecewa juga . Esok pagi lagi, aku ke pejabat pendaftaran. Aku unjukkan gambar cantik tahun lepas. "Puan, ini gambar lama. Puan buat gambar baru, kedai sebelah stesen minyak tu", pegawai memberi tahuku, aku akur arahan itu.

Memang, aku bukan pandai dengan urusan pejabat ni. Urusan anak anakku ke luar negara semua mereka uruskan sendiri. Aku jadi jurupandu kereta, ke mana mereka nak pergi. Nak pergi wisma, aku hantar. Mahu ke bank , aku hantar. Nak itu dan ini, beres belaka. Yang ini aku kena buat sendiri, anak anak jauh, suami sibuk kerja. Tidak jadi sukar manapun takat ulang alik dari Gong Badak ke Kuala Terengganu.

Siap pasport, aku pergi ke pejabat Tabong Haji . Angka giliran dan hampir 800 . Penuh sesak dengan bakal tetamu Allah. Hari itu dalam sejarah, duduk di pejabat menunggu giliran. Satu giliran makan masa 20 minit lebih.. Aku solat zohor, asar dan mangrib di surau . Hampir maghrib, aku hubungi suami, "urusan belum selesai lagi", aku sabar untuk jangka masa yang panjang. Bila no giliranku dipanggil, aku masuk dan dalam masa 3 minit saja selepas tanda tangan dua borang, urusanku selesai. Bayangkanlah dari pagi hingga malam, untuk serahkan sekeping pasport. Nasib baik pegawai Tabong Haji minta maaf awal awal.

Oleh kerana kami diberi tawaran terlalu hampir dengan masa penerbangan , urusan kerja, harta dan kursus perlu dibuat segera. Kursus khas untuk bakal haji yang tidak berkursus perdana dulu, sehari pula kami di kursuskan. Segala hutang piutang, amanah dan jawatan segera di serahkan pada yang layak. Segala dosa kesalahan dengan rakan taulan, jiran tetangga perlu dimohonkan. Semuanya berjalan dengan baik dan Allah mempermudahkan segala urusanku.

"Nasihatkan aku kak", aku minta nasihat dari kakak angkatku, kerana itu amalan para sahabat. "Banyakkan istighfar, zikir dan bacalah quran", nasihat yang ringkas tapi penuh makna. Sahabat yang pernah mengerjakan haji , menceritakan suasana di sana dan pengalamannya dan sebagai nasihat juga. Seorang kawan , menyesal kerana tidak buat umrah sunat banyak sedangkan masa berada di sana lebih dari cukup untuk berbuat beberapa kali. 'Hati hati dengan peminta sedekah", nasihat kawanku yang lain.

"Banyakkan bersedekah, tapi jangan bagi mereka melihat rupa kita", nasihat ibuku yang sudah uzur. "Jangan solat di bilik tapi solatlah di Masjid", ibuku menambah harapan untukku. Ramai lagi yang memberi nasihat dan kiriman doa dan salam untuk Rasulullah s.a.w.

Subuh 6.10.2011 , bermulalah musafirku ke dua tanah haram. Mulakan mandi , solat subuh di masjid Wakaf tembesu, menerima ucapan dan kiriman sahabat dan jiran, diiringan azan dan doa , mudah mudahan selamat dan di dalam keberkatan.

1st grand daughter




Raya 2011





p/s: Alhamdulillah...raya tahun ni, semua balik ke rumah. Semoga puasa kami pada tahun ini diberkati dan diterima Allah s.w.t.