Rehlah di Sekayu





Dilema Facebook

Sebuah karangan Ust Zaharudin Abdul Rahman.

PROMOSI MAKSIAT & BUKA AIB SENDIRI

Iman seseorang telah disepakati oleh para ulama boleh menaik dan menurun berdasarkan pelakuan di dalam kehidupan sehariannya. Jika dosa memenuhkan ruang kehidupannya dengan dosa, keimanan akan menurun, memberi kesan kepada seluruh amalan. Solat menjadi tidak khusyu’ dan berat, demikian amalan kebaikan dirasa membosankan dan teramat menjemukan. Perasaan kesal dan rasa bersalah atas pelakuan dosa pula akan semakin pudar, hasilnya, keimanan di dalam hati menjadi semakin malap tanpa sinar.

Dosa dan pahala boleh bercambah dengan mudah, tanpa kawalan dan kesedaran sebaiknya, catatan amalan seseorang mungkin mengejutkannya di hari pembalasan kelak, sama ada disebabkan dosa yang di luar jangkaan atau timbunan pahala yang tidak disangka. Jika ia pahala, Alhamdulillah, namun bagaimana jika dosa yang memenuhi buku catatan amalan?

Melalui artikel ini, sekadar ingin mengingatkan kita semua agar lebih peka terhadap salah satu punca percambahan dosa. Malah dosa yang kecil boleh berubah wajah kepada Kabair (dosa besar) akibatnya. Tujuan tulisan ini tidak lain agar kita semua dapat lebih berhati-hati terhadap dosa yang tidak disedari sedang dipromosi dan disebarkan.

Perlu kita semua fahami, manusia selain Rasulullah s.a.w tidak akan dapat lari dari dosa. Paling kurang dosa-dosa kecil. Sebagai contoh, dosa-dosa kecil amat mudah diperolehi apabila kita menonton televisyen sama ada melalui tontonan aurat lelaki wanita di dalam siri drama, filem iklan, hatta berita. Dosa kecil juga boleh berlaku apabila kerananya sekiranya seseorang itu melalaikan tanggungjawab agama yang lain dan pelbagai lagi kekurangan kerananya.

Telah dibincang panjang lebar oleh ulama Islam, TV dan filem adalah neutral, jika digunakan untuk tujuan kebaikan, maka pahala diperolehi, jika keburukan, dosa tentunya.

Sudah menjadi normal hari ini, hampir semua keluarga mempunyai TV walau setinggi manapun tahap keilmuan agamanya. Jika tiada TV, internet juga turut memasuki kebanyakan rumah umat Islam hari ini, segala jenis filem dapat ditontoni melaluinya.

Diketika saya bersetuju dan tertarik dengan seruan para ilmuan dan pendakwah agar kita memboikot Yahudi Zionis dengan memboikot segala jenis hiburan melalaikan di televisyen atau internet, kerana itu adalah antara agenda penting mereka dalam merosakkan umat Islam. Namun begitu, sebahagian pendakwah ini mungkin terlupa menyedarkan, bahawa filem-filem dan drama yang biasanya ‘box office’ karya Hollywood juga adalah karya hedonimse Barat dan Yahudi Zionis. Itu juga sepatutnya diboikot.

Namun, desakan nafsu dan Syaitan kerap mendorong sebahagian kita untuk terus melihat kisah-kisah paparan kreativiti karyawan Barat ini. Walau kita tahu ia bercampurbaur adegan dosa ( berpelukan, bercium dan sebagainya) dan pemaparan aurat tentulah amat pasti.

Benar, secara umumnya, ia mungkin masih dianggap dosa-dosa kecil. Dosa kecil disebut oleh Nabi s.a.w boleh terhapus dengan solat fardhu, solat Jumaat, zikir, istighfar dan pelbagai amalan lain. Namun demikian, dosa kecil seperti itu boleh berganda sehingga adakalanya amalan seseorang tidak lagi mampu memadamkan dosa keseluruhannya.

Ia adalah apabila tontonan kita itu dikongsikan kepada orang lain melalui pendedahan kita sendiri sama ada di ketika bercerita berkenaannya, mungkin dalam ulasan kita. Atau lebih teruk lagi dipamerkan di FACEBOOK sebagai filem (movies) yang diminati, drama TV disukai, buku didambai, muzik dikagumi dan sebagainya.

Bagi saya, tindakan mengisi ruang itu dengan sebarang filem yang majoritinya mendedahkan aurat dan bercampur baur pengajarannya adalah sama seperti mempromosikannya, memberikan iklan percuma kepadanya, memaklumkan keredhaan kita terhadapnya.

Mungkin terkecuali jika kita menyiarkan minat kita terhadap movie pengajaran seperti Kung Fu Panda, Toy Stories, Cars, Omar Mukhtar atau dokumentari dan keagamaan seperti National Geographic, Discovery Channel, Berita, Al-Kuliyyah, Tanyalah Ustaz, Halaqah, Akademi al-Quran dan sebagainya.

Memaparkan minat kita rancangan TV atau Movie yang jelas bercampur aduk dosa dalam majoriti adegannya seperti ‘Desparate Housewives’, ‘Friends’, ‘Pretty Women’, ‘Notting Hill’, ‘Kuch Kuch Hota Hai’, ‘HEROES’ dan jutaan lagi filem sepertinya.

Walaupun seseorang itu memang meminati dan menontonnya, namun sedarilah tontonan itu mengakibatkan banyak dosa-dosa kecil. Tontontan itu tanda akibat kelemahan diri kita sehingga terjebak dalam dosa sebegitu.

Memaklumkannya kepada orang lain akan minat kita terhadap filem itu adalah dosa gandaan yang lain. Ia adalah sebuah promosi iklan secara percuma. Malah mendedahkan sokongan kita terhadap movie dan drama bermaksiat. Bukan sekadar movies sahaja malah hal yang sama terpakai buat promosi buku, novel, muzik dan public figure atau artis (khususnya di facebook).

Saya bimbang, keghairahan berkongsi segala-galanya di dalam facebook, blog dan forum akan tanpa sedar mempergandakan dosa seseorang.

Kecuali jika diyakini dengan ilmu dan iman bahawa pengajaran BAIK dari filem yang ingin dikongsi tersebut atau ditanda sebagai ‘like’ itu MELEBIHI UNSUR DOSA DAN BURUK. Sebagaimana drama-drama bermesej islam, penuh pengajaran tetapi masih dilakonkan oleh pelakon mendedah aurat. Jika diyakini unsur positifnya melebihi dan negatif, tatkala itu mungkin wujudnya sedikit justifikasi untuk dipapar dan ditonjolkan dalam senarai drama diminati. Dengan niat agar orang lain turut mendapat pengajarannya.

Selain berkongsi minat terhadap hal yang disebut di atas, ada juga yang mendedahkan dosanya melalui gambar. Gambar seperti :

* ketika sedang minum arak.
* hadiri parti
* penuh maksiat.
* hadiri majlis dosa.
* sedang berpelukan lelaki wanita.
* atau bersentuhan wanita dan lelaki yang bukan mahram (walaupun bagi seorang doktor kerana keperluan, tetapi gambar sedemikian PATUT disembunyikan).
* dan sebagainya.

Sekiranya semua yang disebut tadi dikongsi di facebook dan blog, kita bimbang individu terbabit tergolong di dalam kategori penyebar dosa dan pembuka aib diri sendiri.

Justeru itu, jadikanlah dosa peribadi disebabkan menonton filem bercampur maksiat, atau menyukai musik hedonisme, atau melakukan maksiat secara fizikal kerana zina, curi, tidak solat dan sebagainya, sama ada kecil atau besar yang dilakukan di rumah, tersembunyi adalah antara individu terbabit dengan Allah SWT. Tujuannya agar seseorang itu beroleh rahmat Allah dan diberi hidayah untuk bertaubat sebelum maut menjelma.

Mungkin disebabkan pendedahannya, apabila ia ingin atau telah bertaubat, sukar untuknya untuk memaklumkan kepada semua yang pernah mendengar atau mengetahui pendedahannya agar bertaubat sama, malah taubatnya juga mungkin diragui orang lain atau paling kurang, membawa masalah dalam hati seperti boleh menumbulkan riya’.

Justeru jalan terbaik atas apa jua bentuk dosa yang telah atau pernah dilakukan adalah SENYAP DAN SEMBUNYIKAN. Ia bukan hipokrit, tetapi ia dituntut oleh Allah dan RasulNya dan usahakan bertaubat. Hiprokrit adalah bagi mereka yang berpura-pura baik, tetapi dalam hal ini, si pelaku dosa hanyalah menyembunyikan dosanya. Tidak timbul persoalan dia cuba mengabui mata orang ramai dan berpura-pura baik.

KESIMPULAN

Segeralah memadam paparan minat dan keterlibatan terhadap apa jua aktiviti, tayangan, muzik, bacaan selain untuk Allah, Rasul dan apa yang mendekatkan diri kepada keredhaan Allah. Walau sebanyak, sedalam manapun minat, sejauh manapun keterlibatan, sembunyikan ia, bukan bertujuan untuk menipu manusia lain, tetapi agar dia tidak tergolong dalam kalangan berbangga dengan dosanya, mempromosi, membuka aib sendiri dan mengiklan kejahatan kepada orang lain.

Semaklah Facebook anda, blog, website, forum dan sembangan harian agar tidak tersalah dan mempergandakan dosa.

Credit to : Feryco

Pendekatan Dakwah

Posted on Tuesday, June 22 @ 16:00:00 PDT


Tazkirah Oleh: wayarMAHAL

"konsert lifeline di malaysia"Secara solid mengakui keadaan masyarakat di Malaysia khususnya seluruh dunia amnya didapati keruntuhan akhlak dan moral yang kian meningkat bak cendawan tumbuh selepas hujan amatlah begitu membimbangkan.Ini disebabkan pelbagai hidangan gejala salah laku ini dimanipulasikan oleh golongan para remaja.

Amat sedih dan dukacita diantara mereka dari golongan cerdik pandai ,mempunyai peribadi serta latar belakang yang berpendidikan dan amat lagi menduka citakan apabila golongan yang terjebak ke kancah keruntuhan akhlak ini dari golongan remaja yang mempunyai pendidikan agama,tahu halal haram.Nauzubillah....

Pendekatan dai'e terhadap mad'u
Setiap dai'e ada kelebihannya tersendiri dan juga memiliki uslub serta module-module yang pelbagai dalam skop bagaimana hendak menarik mad'u ,baik dari segi olahan penyampaian atau tindak tanduk dai'e itu sendiri secara tidak formal.Perlu dilihat dari kondusi yang sesuai.Adakalanya mad'u mudah masuk melalui olahan lisan yang berhemah dan adakalanya juga melalui penampilan dan personaliti dai'e itu sendiri,dengan secara tidak lansung dapat menarik mad'u.

Bila kita lihat dan muhasabah diri kita,adakah kita tergolong diantara suka dan sentiasa dalam halaqah golongan yang faham tapi tidak pernah mengambil cakna serta ihtimam pada golongan yang kurang faham ini terus terleka dibuai keduniaan didepan mata kita.Selaku para dai'e,perlu ada pembawakan kreatif dan bijak menarik golongan yang kurang faham tentang Islam.Ada diantaraya mereka di label sebagai golongan Islam surface sahaja.Maka rentetan daripada permasalahan tersebut,kita harus mengenali mad'u supaya ianya boleh menjadi salah satu elemen permudahcara untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah.Begitu juga bagaimana cara untuk hendak menyesuaikan diri dengan mad'u.Rasulullah s.a.w juga berdakwah secara berhikmah dan bijaksana.Dan juga seperti kisah yang dilalui oleh cucu Baginda s.a.w ,yang mana ketika itu beliau melihat seorang lelaki sedang mengambil wuduk secara ala kadar seperti acuh tak acuh sahaja.Lalu beliau mendekati lelaki itu dan berkata padanya.'' pakcik boleh lihat saya berwuduk tak?kalau salah ,tolong tegur ya'' (ni ayat admin supaya jelas untuk di sampaikan pada duuful kiram).

Kadang-kadang berlaku kejadian yang menyebabkan mad'u lari dari dai'e nya,mungkin ia lari secara fizikal dengan tidak lansung menghadiri sebarang pengajian atau program-program dakwah yang dianjurkan dan mungkin juga tiada lagi rasa cinta dan sayangkan pada dai'e tersebut.
Sabda Rasulullah s.a.w''Bertakwalah kepada Allah dimana jua kamu berada dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang baik .Ikutilah kejahatan dengan kebaikan agar kebaikan dapat menghapuskan kejahatan-Riwayat Ahmad-


Dalam Kitab Dakwah Fardiah karangan Mustapha Masyhur menagatakan ada 7 marhalah cara mendekati mad'unya .

Secara ringkas yang dapat di adaptasi dalam entri ini ialah...

Marhalah pertama:
Marhalah pertama ialah mewujudkan hubungan dan perkenalan dengan mad’u (taaruf). Di marhalah ini, anda hendaklah benar-benar merasakan kepada dirinya bahawa anda mengambil berat tentang dirinya dan bertanya khabar apabila dia tidak ada dan lain-lain. Ketika itu anda tidak membincangkan apa-apa tajuk mengenai dakwah sehingga hatinya benar- benar terbuka dan bersedia untuk memahami apa yang anda perkatakan mengenai dakwah dan mengambil pengajaran daripadanya.


Marhalah kedua:
Marhalah kedua ialah marhalah membangunkan iman yang lesu di jiwa mad’u. Di peringkat ini perbincangan mengenai persoalan keimanan tidak perlu dilakukan secara langsung. Adalah lebih baik jika perbincangn mengenainya mengambil pendekatan secara tidak langsung seolah-olah tanpa disengajakan, dengan cara mengambil kesempatan daripada melihat burung, tumbuhan, serangga atau mana-mana makhluk Allah. Di kesempatan tersebut, perbincangan mengenai kekuasaan kekuasaan Allah, kehalusan dan keagungan ciptaan-Nya dilakukan. Sebagai contohnya, dijelaskan kepada mad’u bagaimana tumbuhan tersebut tumbuh daripada tanah dan air yang sama. Ia melahirkan bahagian-bahagian yang berlainan seperti dahan, daun, bunga, buah, warna, bau dan rasa sedangkan ia disiram dengan air yang sama dan ditanam di tanah yang sama.


Marhalah ketiga:
Di waktu itu, bermulalah marhalah ketiga di dalam dakwah. Di marhalah ini kita membantunya memperbaiki dirinya dengan cara mengajarnya perkara-perkara ketaatan kepada Allah dan ibadat-ibadat fardhu, membiasakan dirinya melakukannya secara berdisplin, menjauhi
maksiat dan berakhlak dengan akhlak Islam

Marhalah keempat:
Marhalah keempat ialah menjelaskan pengertian ibadah yang syumul tanpa membataskannya kepada solat, puasa, zakat dan haji sahaja. Tetapi ia merangkumi seluruh aspek kehidupan seperti makan, minum, pakaian, ilmu, amal, perkahwinan, riadhah, memelihara anak-anak dan lain-lain. Itu semua adalah ibadah kepada Allah s.w.t apabila mencukupi dua syarat: Niat kerana Allah s.w.t dan cara melaksanakannya sesuai dengan syariat Islam.

Marhalah kelima:
Di marhalah ini, kita menjelaskan kepada mad'u bahawa agama kita (Islam) tidak berpada dengan kita menjadi muslim pada diri sendiri sahaja, dengan hanya melaksanakan ibadat-ibadat tertentu, berakhlak dengan akhlak yang baik dan tidak menyakiti orang lain, tidak lebih daripada itu.
Malah Islam adalah agama bermasyarakat. Islam adalah sistem hidup, pemerintahan, perundangan, daulah, jihad dan ummah. Inilah fahaman yang betul terhadap Islam.


Marhalah keenam:
Di ketika itu, datanglah marhalah keenam iaitu mejelaskan kepada mad'u bahawa kewajipan ini tidak mungkin dapat disempurnakan secara bersendirian (fardi), setiap muslim tidak mampu menegakkan Daulah Islamiah dan mengembalikan khalifah Islamiah secara bersendirian. Malah usaha tersebut mesti dilakukan melalui Jemaah (organisasi), Jemaah yang akan menyatukan usaha-usaha fardi demi melaksanakan tanggungjawab yang besar ini


Marhalah ke tujuh:
Selepas itu, datanglah marhalah ketujuh iaitu menjawab soalan yang bermain di minda mad'u, Jemaah manakah yang patut dianggotai? Marhalah ini adalah penting tetapi sensitif. Ia memerlukan hikmah dan kebijaksanaan, penerangan yang jitu dan memuaskan. Ini kerana, di medan terdapat pelbagai jemaah yang bergerak dan semuanya mengajak para pemuda menganggotainya. Semuanya membawa bendera Islam, mempunyai lambang-lambang dan cara-cara tersendiri untuk menarik para pemuda. Perkara yang mesti difahami oleh setiap pemuda muslim ialah
persoalan amal Islami adalah persoalan asasi dan penentu masa depan.

Secara kesimpulan yang dapat diambil ialah:
Mendekati secara peribadi, Membentuk ia dari pendekatan hati ke hati, perbincangan berperingkat yang sangat teliti dari minat-minat mereka, kemudian memecahkan tabir hati untuk melihat ciptaan-ciptaan ilahi, akidah, ibadah, akhlak dan seterusnya.
Pendekatan sekian rupa ini agak lambat tapi perlu kita tahu bahawa penghasilannya adalah suatu kepastian.Ianya merupakan tulang belakang kepada dakwah kita,sungguh indah pendekatan tersebut dengan aturan yang lengkap tanpa ditinggalkan walau sekecil zarah .

Kalau kita memikirkan hal dakwah,maka dunia akan luas buat kita dan kita tidak akan terasa sempit.Bukan hidup didunia ini jika tiada masalah hatta Rasulullah s.a.w yang dijanjikan syurga juga mempunyai masalah.Dan disini saya tekankan lagi bahawa uslub dan cara penyampaian dai'e terhadap mad'u itu penting.Dan saya juga yakin bahawa selaku para dai'e bukanlah mudah dalam mengendalikan kerja-kerja dakwah.Tetapi ketahuilah mencegah kemungkaran itu dan mengajak kepada kebaikan adalah merupakan salah satu cabang jihad fi sabilillah.
Jadi , apa yang ditunggu lagi wahai para dai'e sekalian.Aslih nafsak wad'u ghoirak(baikilah dirimu ,serulah selainmu).Islam datang berdagang,perginya juga berdagang.Kalau kita tidak mulakan,maka siapa lagi kita harapkan???Moga kita istiqomah dalam pentarbiahan diri dan mentarbiah yang lain sepertimana dalil yang menyebut tentang istiqomah , Allah swt berfirman yang bermaksud :''Maka tatkala kamu pada yang benar'' [[ surah Hud:112]]

Wallahualam...

NASA Sahkan Kemungkinan Matahari Akan Terbit Dari Barat

Oleh Syed Imran
Sains astronomi ada menyebut bahawa kelajuan putaran planet Marikh sedang perlahan sedikit demi sedikit ke arah laluannya ke timur. Para saintis agensi angkasa lepas kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) pula mendapati pergerakan planet itu terhenti ke arah laluan tersebut.

NASA kemudian mendapati planet Marikh telah menukar laluannya ke arah yang bertentangan, iaitu ke arah Barat, ini bermakna matahari akan terbit dari arah barat Marikh. Fenomena yang ganjil itu disebut sebagai "retrograde motion".

Kebanyakan saintis Barat berpendapat bahawa semua planet akan melalui fenomena yang serupa dan ini termasuklah planet Bumi. Apabila ianya berlaku, maka matahari akan terbit dari Barat!

Subhanallah! Kekasih Allah Nabi Muhammad s.a.w. bersabda bahawa salah satu tanda besar yang hari kiamat akan tiba ialah apabila matahari terbit dari Barat.
Pihak NASA telahpun mendapati tanda-tanda matahari akan terbit dari Barat semasa ahli sains astronominya mengkaji pergerakan planet Marikh. Yang mereka tidak dapat pastikan ialah tempoh masa yang bakal diambil sehinggalah semua planet melalui fenomena yang serupa.

Dapatan sains oleh NASA itu semestinya memperkukuhkan lagi iman umat Islam akan tanda-tanda kiamat. Manusia tidak tahu bila ianya akan berlaku walaupun sudah ada banyak tanda-tandanya. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Selamat Datang Bulan Rejab


Bulan Rejab adalah termasuk di dalam salah satu bulan-bulan Islam yang dianggap suci oleh umat Islam. Firman Allah s.w.t.

Maksudnya ;
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.

Empat bulan yang dihormati sebagaimana disebutkan di dalam ayat tersebut ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Inilah yang telah disepakati oleh para mufassirin. Penghormatan terhadap bulan Rejab adalah bersempena penghormatan yang telah diberikan kepadanya semenjak zaman jahiliah lagi dimana mereka mengharamkan peperangan di dalam bulan tersebut. Inilah suatu pengiktirafan oleh Allah s.w.t. terhadap bulan Rejab di samping bulan-bulan haram yang lain.



Sejarah Islam telah mencatatkan beberapa peristiwa penting telah berlaku di dalam bulan Rejab, di antaranya ialah ;

Pertama : Peristiwa isra’ Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab mengikut pendapat sebahagian besar ulama’ Islam. Ia adalah peristiwa di mana Rasulullah s.a.w. telah dijalankan dari Mekah ke Baitul Maqdis dan kemudiannya diangkat ke langit untuk bertemu Allah s.w.t. Di sinilah bermulanya kefardhuan solat lima waktu kepada umat Muhammad s.a.w.

Kedua : Peristiwa hijrah yang pertama ke negeri Habsyah oleh beberapa orang sahabat Rasululullah s.a.w. termasuk termasuk saidina Usman bin Affan r.a. dan isterinya Ruqaiyah binti Rasulullah s.a.w. Penghijrahan ini bertujuan menyelamatkan akidah di samping keselamatan diri ekoran tekanan dan ancaman hebat oleh puak musyrikin Mekah ketika itu.



Ketiga : Peristiwa perang Tabuk yang berlaku pada tahun kesembilan Hijrah. Ia adalah peperangan yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. sendiri untuk menentang tentera Rom yang ingin mengembangkan pengaruhnya ke semenanjung Tanah Arab ketika itu. Walaubagaimanapun akhirnya tentera Rom membatalkan hasrat mereka kerana merasa gentar dan takut dengan kehebatan dan kekentalan jiwa tentera Islam.

Selain daripada itu, terdapat juga peristiwa penting lain yang berlaku di dalam bulan yang mulia ini seperti penaklukan semula kota Baitul Maqdis oleh Salahuddin Al-Ayubi dari kekuasaan tentera Salib pada 27 Rejab 583 hijrah. Imam As-Syafie yang menjadi ikutan mazhab umat Islam di tanahair kita juga dilahirkan di dalam bulan Rejab tahun 150 hijrah bersamaan 767 masehi.

Sesetengah umat Islam akan berpuasa sunat di dalam bulan Rejab. Sesetengahnya pula akan pergi menunaikan umrah kerana menganggap umrah yang mereka lakukan di dalam bulan ini ada fadhilatnya yang khusus. Tidak kurang juga terdapat umat Islam yang berusaha memperbanyakkan sedekah pada bulan ini dengan beranggapan mereka akan mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain.

Hakikat ganjaran yang disediakan oleh Allah s.w.t. kepada orang yang beramal soleh hanya Dia sahaja yang maha mengetahuinya. Oleh kerana itu, sudah sewajarnyalah di dalam bulan Rejab ini dan juga bulan-bulan yang lain diisi dengan perkara-perkara yang dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah s.w.t. dan mendapat keredhaannya.

Sesungguhnya terdapat banyak hadis-hadis Nabi dan ayat-ayat Al-Quran yang memberikan galakan kepada umat Islam untuk melakukan sesuatu amal ibadat tanpa mengira di dalam bulan mana mereka melaksanakannya. Oleh kerana itu, bersempena datangnya bulan Rejab ini banyak amalan sunat yang boleh dilaksanakan sepertimana juga di dalam bulan-bulan yang lain, di antaranya ;

1. Berpuasa sunat Isnin dan Khamis atau berpuasa sebahagian daripada bulan Rejab. Amalan berpuasa sunat adalah merupakan suatu galakan daripada Allah s.w.t. kepada umat Muhammad s.a.w. sebagaimana disebutkan di dalam sebuah hadis qudsi riwayat Imam Bukhari ;

Sabda Rasulullah s.a.w.

“ Allah s.w.t. telah berfirman bahawa puasa itu adalah untukNya maka Allah lah yang akan membalasnya.”


Imam Muslim pula meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab. Said menjawab:

“Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: “Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (Sahih Muslim)




2. Memperbanyakkan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Hakim bin Hazam ;

“ Tangan yang di atas ( pemberi ) lebih baik dari tangan yang di bawah ( penerima )”

3. Memperbanyakkan zikrullah dengan cara berwirid, bertahmid, bertasbih dan sebagainya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

Hanya dengan mengingati Allah akan menjadi tenang dan tenteram hati manusia.”

Demikianlah sebahagian amalan-amalan sunat yang amat digalakkan kepada umat Islam untuk melaksanakannya. Amalan-amalan ini, sekiranya diamalkan dengan penuh keikhlasan sudah pasti akan dapat melahirkan insan yang benar-benar bertaqwa kepada Allah s.w.t. Ini, sekaligus dapat mengelakkan mereka daripada terjerumus kedalam perkara-perkara maksiat dan masalah-masalah sosial yang lain.

::