Pendekatan Dakwah

Posted on Tuesday, June 22 @ 16:00:00 PDT


Tazkirah Oleh: wayarMAHAL

"konsert lifeline di malaysia"Secara solid mengakui keadaan masyarakat di Malaysia khususnya seluruh dunia amnya didapati keruntuhan akhlak dan moral yang kian meningkat bak cendawan tumbuh selepas hujan amatlah begitu membimbangkan.Ini disebabkan pelbagai hidangan gejala salah laku ini dimanipulasikan oleh golongan para remaja.

Amat sedih dan dukacita diantara mereka dari golongan cerdik pandai ,mempunyai peribadi serta latar belakang yang berpendidikan dan amat lagi menduka citakan apabila golongan yang terjebak ke kancah keruntuhan akhlak ini dari golongan remaja yang mempunyai pendidikan agama,tahu halal haram.Nauzubillah....

Pendekatan dai'e terhadap mad'u
Setiap dai'e ada kelebihannya tersendiri dan juga memiliki uslub serta module-module yang pelbagai dalam skop bagaimana hendak menarik mad'u ,baik dari segi olahan penyampaian atau tindak tanduk dai'e itu sendiri secara tidak formal.Perlu dilihat dari kondusi yang sesuai.Adakalanya mad'u mudah masuk melalui olahan lisan yang berhemah dan adakalanya juga melalui penampilan dan personaliti dai'e itu sendiri,dengan secara tidak lansung dapat menarik mad'u.

Bila kita lihat dan muhasabah diri kita,adakah kita tergolong diantara suka dan sentiasa dalam halaqah golongan yang faham tapi tidak pernah mengambil cakna serta ihtimam pada golongan yang kurang faham ini terus terleka dibuai keduniaan didepan mata kita.Selaku para dai'e,perlu ada pembawakan kreatif dan bijak menarik golongan yang kurang faham tentang Islam.Ada diantaraya mereka di label sebagai golongan Islam surface sahaja.Maka rentetan daripada permasalahan tersebut,kita harus mengenali mad'u supaya ianya boleh menjadi salah satu elemen permudahcara untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah.Begitu juga bagaimana cara untuk hendak menyesuaikan diri dengan mad'u.Rasulullah s.a.w juga berdakwah secara berhikmah dan bijaksana.Dan juga seperti kisah yang dilalui oleh cucu Baginda s.a.w ,yang mana ketika itu beliau melihat seorang lelaki sedang mengambil wuduk secara ala kadar seperti acuh tak acuh sahaja.Lalu beliau mendekati lelaki itu dan berkata padanya.'' pakcik boleh lihat saya berwuduk tak?kalau salah ,tolong tegur ya'' (ni ayat admin supaya jelas untuk di sampaikan pada duuful kiram).

Kadang-kadang berlaku kejadian yang menyebabkan mad'u lari dari dai'e nya,mungkin ia lari secara fizikal dengan tidak lansung menghadiri sebarang pengajian atau program-program dakwah yang dianjurkan dan mungkin juga tiada lagi rasa cinta dan sayangkan pada dai'e tersebut.
Sabda Rasulullah s.a.w''Bertakwalah kepada Allah dimana jua kamu berada dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang baik .Ikutilah kejahatan dengan kebaikan agar kebaikan dapat menghapuskan kejahatan-Riwayat Ahmad-


Dalam Kitab Dakwah Fardiah karangan Mustapha Masyhur menagatakan ada 7 marhalah cara mendekati mad'unya .

Secara ringkas yang dapat di adaptasi dalam entri ini ialah...

Marhalah pertama:
Marhalah pertama ialah mewujudkan hubungan dan perkenalan dengan mad’u (taaruf). Di marhalah ini, anda hendaklah benar-benar merasakan kepada dirinya bahawa anda mengambil berat tentang dirinya dan bertanya khabar apabila dia tidak ada dan lain-lain. Ketika itu anda tidak membincangkan apa-apa tajuk mengenai dakwah sehingga hatinya benar- benar terbuka dan bersedia untuk memahami apa yang anda perkatakan mengenai dakwah dan mengambil pengajaran daripadanya.


Marhalah kedua:
Marhalah kedua ialah marhalah membangunkan iman yang lesu di jiwa mad’u. Di peringkat ini perbincangan mengenai persoalan keimanan tidak perlu dilakukan secara langsung. Adalah lebih baik jika perbincangn mengenainya mengambil pendekatan secara tidak langsung seolah-olah tanpa disengajakan, dengan cara mengambil kesempatan daripada melihat burung, tumbuhan, serangga atau mana-mana makhluk Allah. Di kesempatan tersebut, perbincangan mengenai kekuasaan kekuasaan Allah, kehalusan dan keagungan ciptaan-Nya dilakukan. Sebagai contohnya, dijelaskan kepada mad’u bagaimana tumbuhan tersebut tumbuh daripada tanah dan air yang sama. Ia melahirkan bahagian-bahagian yang berlainan seperti dahan, daun, bunga, buah, warna, bau dan rasa sedangkan ia disiram dengan air yang sama dan ditanam di tanah yang sama.


Marhalah ketiga:
Di waktu itu, bermulalah marhalah ketiga di dalam dakwah. Di marhalah ini kita membantunya memperbaiki dirinya dengan cara mengajarnya perkara-perkara ketaatan kepada Allah dan ibadat-ibadat fardhu, membiasakan dirinya melakukannya secara berdisplin, menjauhi
maksiat dan berakhlak dengan akhlak Islam

Marhalah keempat:
Marhalah keempat ialah menjelaskan pengertian ibadah yang syumul tanpa membataskannya kepada solat, puasa, zakat dan haji sahaja. Tetapi ia merangkumi seluruh aspek kehidupan seperti makan, minum, pakaian, ilmu, amal, perkahwinan, riadhah, memelihara anak-anak dan lain-lain. Itu semua adalah ibadah kepada Allah s.w.t apabila mencukupi dua syarat: Niat kerana Allah s.w.t dan cara melaksanakannya sesuai dengan syariat Islam.

Marhalah kelima:
Di marhalah ini, kita menjelaskan kepada mad'u bahawa agama kita (Islam) tidak berpada dengan kita menjadi muslim pada diri sendiri sahaja, dengan hanya melaksanakan ibadat-ibadat tertentu, berakhlak dengan akhlak yang baik dan tidak menyakiti orang lain, tidak lebih daripada itu.
Malah Islam adalah agama bermasyarakat. Islam adalah sistem hidup, pemerintahan, perundangan, daulah, jihad dan ummah. Inilah fahaman yang betul terhadap Islam.


Marhalah keenam:
Di ketika itu, datanglah marhalah keenam iaitu mejelaskan kepada mad'u bahawa kewajipan ini tidak mungkin dapat disempurnakan secara bersendirian (fardi), setiap muslim tidak mampu menegakkan Daulah Islamiah dan mengembalikan khalifah Islamiah secara bersendirian. Malah usaha tersebut mesti dilakukan melalui Jemaah (organisasi), Jemaah yang akan menyatukan usaha-usaha fardi demi melaksanakan tanggungjawab yang besar ini


Marhalah ke tujuh:
Selepas itu, datanglah marhalah ketujuh iaitu menjawab soalan yang bermain di minda mad'u, Jemaah manakah yang patut dianggotai? Marhalah ini adalah penting tetapi sensitif. Ia memerlukan hikmah dan kebijaksanaan, penerangan yang jitu dan memuaskan. Ini kerana, di medan terdapat pelbagai jemaah yang bergerak dan semuanya mengajak para pemuda menganggotainya. Semuanya membawa bendera Islam, mempunyai lambang-lambang dan cara-cara tersendiri untuk menarik para pemuda. Perkara yang mesti difahami oleh setiap pemuda muslim ialah
persoalan amal Islami adalah persoalan asasi dan penentu masa depan.

Secara kesimpulan yang dapat diambil ialah:
Mendekati secara peribadi, Membentuk ia dari pendekatan hati ke hati, perbincangan berperingkat yang sangat teliti dari minat-minat mereka, kemudian memecahkan tabir hati untuk melihat ciptaan-ciptaan ilahi, akidah, ibadah, akhlak dan seterusnya.
Pendekatan sekian rupa ini agak lambat tapi perlu kita tahu bahawa penghasilannya adalah suatu kepastian.Ianya merupakan tulang belakang kepada dakwah kita,sungguh indah pendekatan tersebut dengan aturan yang lengkap tanpa ditinggalkan walau sekecil zarah .

Kalau kita memikirkan hal dakwah,maka dunia akan luas buat kita dan kita tidak akan terasa sempit.Bukan hidup didunia ini jika tiada masalah hatta Rasulullah s.a.w yang dijanjikan syurga juga mempunyai masalah.Dan disini saya tekankan lagi bahawa uslub dan cara penyampaian dai'e terhadap mad'u itu penting.Dan saya juga yakin bahawa selaku para dai'e bukanlah mudah dalam mengendalikan kerja-kerja dakwah.Tetapi ketahuilah mencegah kemungkaran itu dan mengajak kepada kebaikan adalah merupakan salah satu cabang jihad fi sabilillah.
Jadi , apa yang ditunggu lagi wahai para dai'e sekalian.Aslih nafsak wad'u ghoirak(baikilah dirimu ,serulah selainmu).Islam datang berdagang,perginya juga berdagang.Kalau kita tidak mulakan,maka siapa lagi kita harapkan???Moga kita istiqomah dalam pentarbiahan diri dan mentarbiah yang lain sepertimana dalil yang menyebut tentang istiqomah , Allah swt berfirman yang bermaksud :''Maka tatkala kamu pada yang benar'' [[ surah Hud:112]]

Wallahualam...

0 comments:

Post a Comment