ukhwah memaniskan iman

Suri tauladan bagi muslim


1 Pemaaf dan Bersantun

Dalam catatan Asbabun Nuzul terdapat kisah seorang kerabat Abu Bakar As-Siddiq r.a. bernama Mastah. Mastah hidup dengan saraan, ihsan daripada Abu Bakar. Apabila tuduhan palsu ke atas ‘Aisyah disebarkan oleh orang munafiq, Mastah terlibat sama membawa mulut. Dia lupa kepada hak Islam, hak kekeluargaan, malah dia lupa kepada hak ihsan dan jasa Abu Bakar yang menyara kehidupannya. Setelah mengetahui sikap dan tingkah laku Mastah, Aku Bakar bersumpah hendak memulaukan Mastah. Maka turunlah ayat yang bermaksud:



“Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

(Surah An-Nur : 22)


Dengan turunnya ayat ini, Abu Bakar memaafkan Mastah. Beliau memberi bantuan semula kepadanya dan berkata: “Aku berharap Allah mengampunkan aku.”

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari daripada Ibnu ‘Abbas r.a., katanya: “Tatkala tiba ‘Uyainah bin Al-Husain di Madinah, dia menumpang di rumah anak saudaranya Al-Hurr bin Qais. Al-Hurr ialah salah seorang daripada mereka yang diislamkan oleh Sayyidina ‘Umar r.a. Beliau dilantik menjadi salah seorang tukang baca dan semak kepada ahli-ahli majlis musyawwarah Amirul Mukminin. Mereka masih di usia belia.

‘Uyainah meminta kepada Al-Hurr untuk menemui Amirul Mukminin. Tatkala sampai di hadapan Amirul Mukminin ‘Umar Al-Khattab, dia menegur dengan kurang sopan: “Heh! Anak Al-Khattab, mengapa kau tak berikan kami apa yang sepatutnya dan kau tak berlaku adil terhadap kami.” Kata-kata itu menimbulkan kemarahan ‘Umar Al-Khattab, hampir sahaja dihukumnya.

Tetapi Al-Hurr segera mencelah: “Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya Allah telah berfirman kepada NabiNya (yang bermaksud):

“Maafkanlah dan suruhlah perkara ma’ruf dan tinggalkan sifat-sifat jahiliyyah.” (Al-Quran)

Sesungguhnya sikap mereka ini adalah dari sifat-sifat jahiliyyah.” Dengan itu, Sayyidina ‘Umar r.a. tidak jadi menghukum ‘Uyainah di ketika itu berada di samping Kitab Allah ‘Azza Wa Jalla.

Diriwayatkan mengenai Zainul ‘Abidin bin Al-Husain r.a., pada suatu ketika beliau pergi ke masjid, tiba-tiba seorang lelaki memaki-hamunnya. Melihat peristiwa itu, beberapa orang hamba beliau cuba untuk memukul lelaki itu. Zainul ‘Abidin melarang mereka, katanya: “jangan buat apa-apa terhadapnya.” Kemudian, beliau beralih kepada lelaki itu, katanya: “wahai sahabat! Keadaan aku lebih daripada apa yang kau katakan, dan apa yang kau tidak tahu mengenai aku lebih banyak daripada apa yang kau tahu. Kalau kau ingin hendak sebutkan lagi, aku akan sebutkan kepada kau.” Maka, tersipu-sipu lelaki itu seraya berkata: “aku bersaksi adalah benar bahawa pemuda ini daripada anak-anak Rasulullah s.a.w.

Diriwayatkan juga mengenai Zainul ‘Abidin, bahawa seorang hambanya membawa air minuman kepada beliau dalam sebuah cerek yang diperbuat daripada tanah liat. Tiba-tiba, cerek itu jatuh mengenai kaki beliau lalu pecah dan kaki beliau luka. Hamba tersebut segera berkata: “wahai tuan, Allah berfirman (maksudnya):

“…dan orang-orang yang menahan marah…” (Al-Quran)

Zainul ‘Abidin menjawab: “ saya telah menahan marah saya.” Hamba itu menyambung lagi:

“…dan orang-orang yang memaafkan orang.” (Al-Quran)

“…dan Allah sayang kepada orang berbudi.” (Al-Quran)

Jawab beliau: “Kau merdeka kerana Allah!”


2 Kasih dan Mesra

Diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Al-Muwatta’, daripada Abu Idris Al-Khaulani katanya:

“Saya masuk ke masjid Dimasyq (Damsyik), saya dapati seorang pemuda banyak tersenyum. Beberapa orang berada di sampingnya. Dia menjadi tempat rujukan apabila masalah-masalah rumit menjadi kemusykilan. Mereka mengambil pendapatnya. Aku mendapat tahu daripada orang di situ mengenainya, diberitahu bahawa itulah Mu’az bin Jabal r.a. Keesokan harinya, seawal pagi aku sampai ke masjid, aku dapati dia mendahuluiku ke masjid. Dia sedang solat. Aku menunggu sehingga dia selesai solat. Aku datang kepadanya dari arah hadapan terus memberi salam dan berkata: “demi Allah, aku merasa kasih kepada kau.” Dia menjawab dengan bertanya: “adakah kerana Allah?” “Ya, kerana Allah!” jawabku. Dia terus memegang sain selendangku dan menarik aku kepadanya. Katanya: “Allah berfirman, mafhumnya:

“Wajib kasihKu ke atas mereka yang berkasih-sayang keranaKu, yang duduk berkumpul keranaKu dan yang bersusah-payah keranaKu.” (Al-Quran)



Diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Al-Muwatta’, daripada Al-Tufail bin Ubai bin Ka’ab, katanya; dia datang kepada ‘Abdullah bin ‘Umar r.a., maka dia dibawa berjalan ke pasar oleh ‘Abdullah. Apabila berada di pasar, ‘Abdullah tidak singgah di mana-mana tempat jualan barang-barang buruk dan murah, tidak juga di tempat jualan barang-barang yang baik dan mahal, tidak di tempat orang-orang miskin. Dia memberi salam kepada setiap orang yang ditemuinya.Tufail menceritakan lagi: “aku datang sekali lagi kepada ‘Abdullah bin ‘Umar, dia mengajakku bersamanya ke pasar, aku menolak dengan menjawab: “buat apa ke pasar? Kamu tidak singgah di tempat jualan, kamu tidak bertanya harga jualan, tidak tawar-menawar, tidak juga duduk berbual-bual.” Ibnu ‘Umar menjawab: “wahai si buncit (mesra dengan gurauan itu, kerana Tufail berperut buncit), kita keluar berjalan di pasar dengan tujuan member salam kepada orang yang kita bersua.”

Semasa di Kufah, ada seorang jiran Imam Abu Hanifah yang apabila ke rumah dari tempat kerjanya jiran ini membuat bising menyanyi dengan syair (maksudnya): “mereka telah membiarkan aku, siapa saja pemuda mereka biarkan. Kepada hari sial dan kepada tempat yang sungguh menakutkan.”

Nyanyian bising dari rangkap syair itu mengganggu Imam Hanafi setiap malam. Kebetulan pada suatu hari pemuda tersebut ditangkap dan dibawa ke penjara oleh pengawal kerana perbuatan bisingnya itu. Imam Hanafi telah ‘kehilangan’ suara bising pemuda itu. Keesokannya, Imam Hanafi bertanya mengenai kehilangan jiran itu. Beliau diberitahu bahawa pemuda itu telah dikurung dalam penjara. Lantas Imam Abu Hanifah terus pergi menemui Amir (Gabenor) iaitu ‘Isa bin Musa lalu beliau meminta supaya jirannya itu dibebaskan. Permintaan Imam Abu Hanifah diperkenankan dan pemuda tersebut dibebaskan. Apabila pemuda itu keluar dari penjara Imam Abu Hanifah memanggilnya. Dia berkata kepada pemuda itu dengan perlahan: “adakah kami telah biarkan kamu wahai orang muda?” Jawabnya: “Tidak! Tetapi tuan telah berbudi dan bermurah hati. Allah pasti memberi ganjaran baik kepada tuan.” Lalu sekali lagi dia bermadah dengan syairnya (mafhumnya); “dan keburukan yang aku lakukan hanya sedikit bagi tuan jiran yang baik tetapi hina pada orang banyak.”

Diriwayatkan oleh At-Tabrani di dalam “Al-Kabir” bahawa ‘Umar bin Al-Khattab r.a. memberi wang empat ratus dinar dalam satu uncang kepada khadamnya untuk disampaikan kepada Abu ‘Ubaidah bin Al-Jarrah. ‘Umar berpesan kepada khadam itu supaya menunggu dan melihat sekejap apa yang akan dibuat oleh Abu ‘Ubaidah. Maka pergilah khadam membawa wang di dalam uncang itu. Apabila sampai di rumah Abu ‘Ubaidah wang itu diberikan oleh khadam itu kepada Abu ‘Ubaidah sambil berkata: “Amirul Mukminin berkata – Gunakanlah wang ini untuk keperluan tuan…”, jawab Abu ‘Ubaidah: “Semoga Allah memberi rahmat kepada ‘Umar…” Kemudian, beliau memanggil jariahnya sambil wang itu dibahagi-bahagikan. Beliau berkata kepada jariahnya: “pergilah engkau kepada si anu. Berikannya tujuh ratus, yang lima ratus ini kepada si anu… dan seterusnya hingga habis wang itu. Khadam ‘Umar memerhati apa yang dilakukan oleh Abu ‘Ubaidah. Semuanya diceritakan kepada ‘Umar. Sayyidina ‘Umar ketika itu telah siap dengan wang sebanyak yang diberikan kepada Abu ‘Ubaidah untuk diberikan kepada Mu’az bin Jabal. Wang itu disuruh bawa dan berikan kepada Mu’az. Khadam itu juga berkata kepada Mu’az: “Amirul Mukminin berkata – Gunakanlah wang ini untuk keperluan tuan…”, ujar Mu’az: “Semoga Allah memberi rahmat kepada ‘Umar…” Kemudian, beliau memanggil jariahnya sambil wang itu dibahagi-bahagikan dan menyuruh jariahnya memberi kepada si anu, dan si anu. Isteri Mu’az mendapat tahu bahawa Mu’az menerima wang dan apa yang dilakukannya dengan wang itu. Dia datang kepada Mu’az, katanya: “Demi Allah, kita juga orang miskin. Berilah kepada kita sendiri sama…” Wang hanya tinggal dua dinar sahaja. Mu’az mencampakkan dua dinar itu kea rah isterinya. Semua yang berlaku dilihat oleh khadam ‘Umar dan semuanya diberitahu kepada beliau. Beliau gembira dengan perilaku mereka lalu berkata: “Sesungguhnya mereka adalah saling berukhuwwah.”

Pada zaman pemerintahan Sayyidina ‘Umar r.a., berlaku kemarau yang dahsyat, menyebabkan penduduk Madinah menderita kerana kehabisan makanan. Tiba-tiba, satu kafilah datang ke Madinah beserta seribu ekor unta dari Syam, membawa bahan makanan dan pakaian. Kafilah dagang ini kepunyaan ‘Uthman bin ‘Affan r.a. Maka, berebutlah para peniaga. Masing-masing meminta supaya dagangan itu dijual kepada mereka. ‘Uthman r.a. berkata: “Berapakah untung yang kamu hendak berikan kepada aku?” Mereka menjawab: “lima peratus…” Jawab ‘Uthman: “aku dapati ada pihak yang sanggup memberi lebih dari itu.” Kata mereka: “setahu kami belum pernah ada peniaga yang sanggup memberi untung lebih dari lima peratus.” Jawab ‘Uthman, “saya dapati ada pihak yang sanggup memberi untuk satu dirham dengan tujuh ratus ganda. Dialah Allah yang berfirman:


“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan menggandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.”

(Surah Al-Baqarah : 216)

‘Uthman meneruskan ucapannya: “Wahai peniaga sekalian! Sesungguhnya, kafilah ini membawa gandum, pakaian, tepung, minyak sapi dan pakaian. Aku hebahkan (sedekahkan) kepada faqir miskin di Madinah ini dan ia sebagai sedekah kepada Muslimin!”

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa Al-Asya'ari r.a. katanya: Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Sesungguhnya, suku Al-Asya'ari bila mereka bersendirian membawa bekalan dalam peperangan atau kurang makanan anak-pinak mereka di Madinah, mereka mengumpulkan semua makanan yang ada pada mereka dalam sehelai kain kemudian mereka membahagi-bahagikan sesama mereka sama banyak dalam satu bekas. Mereka adalah dari kalanganku dan aku dari kalangan mereka.”


(Dipetik daripada risalah “Ukhuwwah Islamiyyah” tulisan Abdullah Nasih ‘Ulwan; Dewan Pustaka Fajar; 1988)

0 comments:

Post a Comment