Ramadhan ini

Kedatangan ramadhan aku nanti dengan penuh debaran. Segala persediaan fizikal, mental dan perasaan diperkemaskan. Hutang hutang puasa tiada. Hutang dengan manusia tak ada. Kalau ada aku berhutang dengan diri sendiri sebab tidak melangsaikan segala kewajiban dan amanah dengan sebaiknya.

Hari hari Ramadhan , selain puasa dan menjaga adab adab puasa , aku berkesempatan untuk beramal kebajikan dan bersedekah jariah. Pada pagi hari (31 ogos 2010) aku, ketua muslimin dan setiausahanya mengiringi wakil Ustaz Abu Bakar menjelajah kampung dan taman sekitar Qariyah Permint Makmur untuk menyampaikan sumbangan sekadarnya. Infaq dari masyarakat dan korporat muslim diagihkan kepada anak anak yatim, fakir miskin dan keluarga dhaif. Biarpun nilai sumbangan itu kecil tetapi yang memberi berjiwa besar dan yang menerima merasai mereka dihargai dan dicaknai.

Selain itu, dua orang sahabat muslimah menyertai konvoi kebajikan kami. Permulaan perjalanan dan mampir ke rumah keluarga dhaif. Rumah kecil , berpenghuni empat beranak, ketika kami sampai jam sudah 9.30 pagi. Suaminya tiada, kami mengambil masa yang lama untuk berjumpa mereka kerana terpaksa menggerakkan mereka dari mimpi siang hari. Tak apa, kami sabar menunggu. Asalkan sumbangan dapat disampaikan dari tangan ke tangan. Oleh kerana perima itu perempuan, wakil ustaz memberi penghormatan untukku menyampaikan sumbangan. Tangan menghulur salam, disambut dengan senyuman. Sumbangan diberi kasih diterima.

Kami meneruskan perjalanan, rumah kedua milik keluarga nelayan. Pintu diketuk salam diberi. Keluarlah si isteri dalam keadaan yang tidak menyangka kedatangan kami...orang asing. Sempat aku menasihatkan supaya memakai tudung kerana yang datang bersamaku itu muslimin. Ia akur dengan arahan. Sumbangan dihulur dengan kuntuman senyum yang cukup puas.

Kami ke destinasi seterusnya, rumah yang penghuninya 11 orang. Biar miskin harta tapi kaya anak. Itu anugerah Allah. Kedatangan aku dan rombongan disambut ceria. Mereka kenali kami, sebab saban tahun keluarga ini tersenarai dalam penerima zakat dan sedekah.

Jumlah sumbangan kali ini untuk 8 keluarga yang terpilih.Walaubagaimanapun, masih ada kuota tambahan yang akan menyusul kemudian dan tugas itu diserahkan kepada muslimat untuk menguruskannya.

Apa yang menarik kali ini, kami pergi ke rumah ibu tunggal beranak dua. Terkejutnya dia.....keluar bertudungkan tuala berkain batik separuh betis. Aku membisikkan supaya memakai tudung kemas dan pakaian sempurna. Dia masuk semula untuk berpesalinan kemas, berbaju kurung berkain batik. Mungkin dalam kelamkabut begitu tidak terperasan kain batiknya macam orang nak masuk bendang....Tidak heran sebab itulah kehidupan orang Melayu kita, yang tidak cakna tentang aurat dan pakaian.

Sumbangan kami sampaikan . Setiausaha kami siap dengan kameranya untuk merakamkan detik sejarah ibadah kebajikan anjuran PAS Tepuh dan PAS Cawangan Permint Makmur.

Satu program penutup tadarrus peringkat cawangan diadakan pada pagi 29 0g0s lalu. Kami tidak sempat memanggil semua ahli, cuma kami maklumkan pada kelas kelas fardhu ain. Semua ajk cawangan hadir kecuali sahabat yang ada pertembungan tadarrus di surau lain. Kami isi dengan zikir munajad, tazkirah dan bacaan quran. Perpisahan yang indah dengan bingkisan kurma untuk berbuka puasa.

Aku mengharap ramadhan ini adalah ramadhan terbaik untukku. Siang dan malamnya dipenuhi dengan tuntutan ibadah dan sunnah. Apa yang diwariskan oleh Rasul junjungsn aku laksanakan sekadar termampu. Zikir dan istighfar, solat dan doa dipenuhi disetiap sudut masa yang ada. Aku mengharap redha Allah yang Maha Kaya.

Ya Allah terimalah ibadah kami , redhailah syurga untuk kami dan jauhkan kami dari azab nerakaMu.

0 comments:

Post a Comment