Raya dan bahgia

Saban tahun, sehari sebelum raya aidil fitri , kami sekeluarga memulakan musafir untuk pulang ke Pekan Pahang. Hari aidul Adha kami bermusafir ke Besut. Pembagian yang dipersetujui seawal perkahwinan kami.

Pada tahun ini yang berbetulan dengan ulang tahun perkahwinan kami yang ke 25, ulang tahun kelahiran 3 insan antara kami, abah, idah dan ilah , serta istiadat perkahwinan anak keempat kami yang akan berlangsung, maka kami merayakannya di kediaman kami sendiri. Suatu permulaan sebuah keluarga sempurna .

Solat di pagi raya di masjid Wakaf Tembesu. Waktu begini masjid itu akan dikunjungi ramai insan .Yang jauh yang dekat datang bertandang. Yang berkeluarga dan bujang sama sembahyang. Berpangkat atau tiada derajat sama bermunajat kepada Tuhan yang satu (esa). Qiamnya sama, ruku' nya sama , sujudnya sama , mendengar kutbah yang satu dan berdoa untuk keselamatan dunia dan akhirat kepada Allah , tuhan yang sama. Di masjid tiada berbeza, yang berbezanya bila keluar dari masjid, engkau mencari haluan engkau dan aku dengan haluan aku.

Sempat juga aku menghitung amal....Ya Allah, apakah puasaku mabrur ? apakah amal solehku yang terbaik ? apakah dosaku diampun ? apakah aku mendapat kebebasan dari api nerakamu ?
Mengenangkan itu , manik manik air menitis di kedua kelopak mataku. Syahdu dan sayu, sebak yang menggoncang dada. Ya Allah ampunkan aku dan bebaskan aku dari nerakamu.......

Kutbah dibaca oleh wakil rakyat dengan cara terbaru multimedia. Jemaah dapat membaca sambil mendengar isi kutbah melalui 'screen' besar . Pun begitu ada juga jemaah yang tidak mengendahkan ucapan kutbah. Apa yang dapat dikutip ialah seruan untuk bertakwa kepada Allah , mengamalkan islam yang syumul dan menjaga silaturrahim antara manusia.

Selesai solat , bersalamanlah antara kami. lebih seronok kita dapat berjumpa dengan sababat sahabat .

Pulang ke rumah dengan kegembiraan dan harapan. Bergambar anak beranak, 5 orang yang ada di sisi, anak yang ke 5 beraya di Syria. Oleh kerana aku sudah terbiasa berjauhan dengan anak anak , ketiadaan mereka tidak terkesan sangat. Tahun lepas kami sambut raya, anak ke 3 beraya di United kingdom. Tahun sebelumnya , anak bongsu kami tidak beraya bersama kami. Di ke Kuwait dalam bulan ramdhan dan beraya di sana. Begitulah keluargaku tidak pernah cukup bilangannya. Walaubagaimanapun, hatiku seronok, puas dan bahgia melihat kejayaan yang Allah berikan kepada mereka. Mudah mudahan berkat dan selamat.

Ibu mana yang tidak bahgia, anak yang kecil dulu di gendong dalam rahim dengan susah payah, kemudian didukung dengan kelelahan dan keletihan, disusui hampir 2 tahun, dipujuk dan dibujuk bagi meredakan tangisan. Mereka membesar depan mata. Belajar depan mata. Makan minum dan pakai memakai depan mata. Segala masalah diadu pada ibu segera dan segala permintaan kabul segera. oh.....anak anakku tangan inilah yang menimangmu, tangan inilah yang menyuapkan makanan ke mulut kecilmu. Tangan inilah yang menghayun buaimu dan mulut inilah mendodoi tidurmu. Mulut inilah yang mengajar kalimat suci untukmu , mulut inilah yang mengucup pipimu dan memberi sayang kepadamu. Ingatlah anak anakku..........

Bukan balas yang dipinta dan bukan belas yang mahu ibu terima. Cukuplah engkau menberi perhatian di hari hari tua dan doakan ibu bahgia dunia dan akhirat.

0 comments:

Post a Comment