sesal tak sudah.

Suatu ketika, aku susuri pantai . Di tangan kananku memegang kemas tangan sikecil. Usia menjangkau 4 tahun. Bertatih bersama sambil kaki bermain ombak yang gelunsur menuruni pantai. Sambil bejalan kami berbicara , kemudian kami ketawa bersama sama.

Lama kami berjalan, penat terasa di tapak kaki. Sikecil merengek keletihan. Aku angkat dan ku gendongnya mendaki pantai dan berlabuh di bawah pokok rhu yang rendang.

Di situ, aku merenung panjang , menjangkau lautan Cina Selatan ,jauh hingga ke kaki langit.

"Mak, ngapa mak tidak mahu saya ambil orang gaji ,"? anakku mahukan kepastian. Di sudah berkahwin , bersuamikan guru dan dia sendiri kerja sebagai guru di sekolah berhampiran rumahku. Anak kecil baru 5 bulan usia dan yang sulung berumur 4 tahun.

"Tidak mengapa emak menjaganya, lagi pun mak tidak ada kerja, pencen, " jawabku tegas. Rasanya lebih selamat kalau cucu cucu ku itu aku yang mengasuhnya.

"Sepatutnya mak berehat saja, masa kami kecil-kecil dulu kan mak yang mengasuh. Nanti apa kata orang . Saya tidak mahu orang fitnahkan dan menuduh saya menjadikan emak sebagai orang gaji," anakku berhujjah untuk membenarkan tindakannya.

"Mak tau tu, tapi orang gaji masa ni mana ada yang baik, ngerilah mak dengar cerita sana sini. Orang gaji bunuh anak majikan lah, larikan anak tuan lah, tinggalkan anak kecil bersendirian atau tinggalkan langsung tanpa khabar," sungutku panjang.

"Taklah ngitu, mak. Kita cari orang yang boleh dipercayai. Kita ajar ugama. Kita uji ketaatan dan keimanan dia. Kemudian kita mengharap pada Allah agar dia boleh berlaku amanah," Anakku membela hujjahnya lagi.

"Kalau begitu , mak setuju," Jawabku separuh lesu.

Lamunan aku mati tiba-tiba. Sesaorang menegur dan memberi salam . Seorang wanita , usianya 5 tahun tua dariku.

"Kak!, ingatkan siapa tadi. Lama dah kak sampai"?
"Baru kejap, tak sangka boleh jumpa di sini. Nur datang dengan siapa ni"? sapaan yang mesra sekali.

"Cucu sulung , Fahmi anak kak long," Jawabku sambil membelai rambut halus yang ditiup angin.

"Kak datang sorang je! takkan tak berteman ,"? Usikku, walaupun aku tahu dia belum berumahtangga. Tidak mahu atau merajuk untuk berteman , itu hal dia, aku tidak ambil berat.

"Apa nak kata, katalah, kak tak marah. Takdir tuhan untuk kak begini, kita terimalah," Ungkapan penuh keredhaan.

Dia duduk di sisiku, Fahmi leka bermain pasir dan dia tidak menghiraukan siapa di sisiku. Kami berbual mesra, dari cerita kepada berita, dari harapan kepada kenyataan. Lupa kami kepada orang ramai yang berkeliaran di pantai. Leka kami kepada hiruk pikuk suara suara manusia. Kami rasa kami bertiga sahaja di situ. Selang seli kami ketawa bersama. Tetapi bila ada suatu kerunsingan terpancar di wajahnya , segera aku pegang tangannya , kugenggam erat, aku pautkan bahunya dan keluarlah kalimat kesabaran. Mungkin itu yang mampu aku lakukan bagi meredakan keresahannya.

Kami saling bertukar cerita, berkongsi rasa. Bila tiba giliran aku yang resah kecewa, sedia pula dia menenangkan aku dengan cara yang sama aku buat padanya.

Mungkin lama berpisah, banyak cerita yang ingin diluah. Masa selalu menghimpit cemburu. Senja dan cahaya hampir suram. Orang ramai beralih haluan untuk pulang. Aku akur dengan waktu. Fahmi , jadi perhatian kami pula. Dia bangun dan merapati kakak, menghulurkan tangan halus dan mencium tangan yang sudah lebih separuh abad. Kakak memaut tubuh kecil itu, menciumnya bertalu-talu penuh rasa kasih dan sayang. Sikecil melintuk liuk separuh kegelian. Indahnya episod cinta seorang insan dengan sikecil.

Ku rakam gambarnya. Kulihat wajahnya puas , gembira dan ceria.

Kami berpisah, untuk sementara waktu ini dia (kakak) duduk di rumah sewa. Rumah kekal masih dalam pembinaan. Kalau siap nanti dia akan menjemput aku untuk meraikan kesyukuran itu. Alhamdulillah Allah masih memberikan dia sihat dan cergas walaupun aku tahu bila usia sudah melepasi monopose, akan berlaku ketidak stabilan tubuh. Mudah letih dan sakit sakit sendi atau tulang.

Aku pimpin sikecil ke kereta kancilku. Memandu keluar dari keheningan pantai. Pulang ke rumah banglo pusaka arwah suami.

Hilang tempat berpaut bukan bermakna hilang harapan hidup. Aku masih ada anak lelaki yang dapat menyara aku tua. Aku masih ada pencen bulanan . Aku masih ada kawan kawan jauh dan dekat yang selalu bertanya khabar. Lagipun setiap seminggu kami dapat bertemu di surau , menimba ilmu dari 'telaga ilmu' yang tidak pernah kering. Aku sarankan juga kawan kawan yang hendak pencen atau sudah pencen, isilah waktu itu dengan menuntut ilmu dan selesaikan masalah yang belum selesai.

Apabila siap semua urusan, aku menghampiri meja tulisku, di kiriku sebuah komputer pemberian anak ketigaku sebelum dia menyambung belajar ke luar negera. Itulah temanku waktu malam. Membaca berita, membaca blog yang berbagai-bagai, bila ada idea dan kekuatan , aku menaip semahu-mahunya. Aku kirimkan kepada siapa saja yang aku ingat. Kadang-kadang berbual dengan anak anak yang jauh dimata melalui talian tampa wayar.

Tanganku terus menari , menekan butang butang huruf menjadikan ia rangkaikata yang bermakna.

Sekitar tahun 60 an lahir seorang bayi perempuan, hidup dalam keluarga yang serba kurang. Bapa tidak ada kerja tetap, kadang-kadang menoreh pokok getah, kadang-kadang bertukang rumah , bila tiba musim menanam padi , bapaku dibantu ibu berulang alik ke sawah pusaka yang sekangkang kera untuk menabur benih. Musim menuai adalah saat yang menggembirakan semua petani termasuk aku dan keluargaku.

Ada beras dalam simpanan. Ada padi di dalam 'kepok' . Ada pokok buah buahan di keliling rumah. Ada kelapa untuk menggulai dan menyayur dan ada ikan di sungai untuk dikail, kira kayalah tu. Tidak perlu mengemis sana sini. Masatu duit tidak dikira sangat, asal ada nasi , lauk dan ulaman . Cukup lah dan boleh hidup gembira.

Sesuatu kekurangan yang kurasai. Membesar dalam suasana kampung. Hari sekolah, pergi dengan berjalan kaki, jauh tak jauh lebihkurang 4 batu berjalan. Yang kaya dan mampu pergi sekolah dengan basikal. Masa itu tidak ramai yang memiliki motor dan kereta. Aku yang miskin ini, kenalah berkayuh kaki pergi dan balik. Ada suatu ketika berkaki ayam kerana tidak mampu beli kasut sekolah. Nak tumpang kenderaan, siapa yang sudi !, kerana kemiskinan , orang tidak pandang walau dengan sebelah mata.

Sebelah petang selepas zohor, membasuh baju di sungai yang tidak jauh dari rumah. Rumah rakit, itulah tempat mandi, buang air dan membasuh kain baju . Kalau ramai kenalah menunggu giliran. Rumah rakit itu pun jiran yang punya. Dia kaya dan harta banyak dan anak pun ramai. Kami yang miskin ini kadang-kadang malu kerana selalu sangat menumpang kemudahan awam yang dibinanya itu.

Selesai mandi, barulah bersiap ke surau berhampiran untuk mengaji Quran. Lelaki dan perempuan lebih kurang 15 ke 20 orang, umur sekolah rendah . Budak budak kampung bila masuk sekolah menengah dah tidak minat untuk sambung mengaji atau mengkatamkan bacaan Quran. Ibubapa tidak mengambil berat sangat tentang hal ini. Mereka sibuk dengan dunia mencari rezki. Ada masa, baru dapat mengajar anak mengaji di rumah, itupun kalau ibubapa yang pandai mengaji. Kalau ibubapa yang tidak pandai lagi lalai, maka mewariskanlah mereka anak-anak yang buta Quran dan buta agama.

Aku membesar, menimba ilmu dan pengalaman sebagai budak kampung yang miskin. Dari sekolah rendah, ke sekolah menengah di bandar dan melanjut pelajaran ke ibu kota. Tuhan mempermudahkan jalan hidup bagi aku dan memperluaskan rezki dari kiri kanan atas dan bawah. Bila berdepan dengan mewah rezki , aku akan terkenang suatu masa dulu aku pernah makan nasi berkuah santan dan berlaukkan garam. Seringkali peristiwa itu aku ceritakan kepada kawan kawan. Ada yang senasib, ada lagi yang lebih teruk dariku.

Keluar dari alam menuntut kepada alam mendidik anak bangsa. Medan mendidik inilah yang paling sukar bagiku. Kita akan berdepan dengan pelajar yang buta huruf walaupun umurnya 12 tahun atau lebih. Bagaimana mungkin kita mengajar ?

Kita akan berdepan dengan pelajar yang tidak beradab, sombong dan degil. Adakah mereka dari keluarga miskin atau kaya ? Adakah mereka tidak ada guru agama untuk mendidik adab adab di dalam masyarakat ? Kedegilan mereka ini membuatkan guru guru bingung dan bertindak kasar untuk memperbaiki akhlaq.

Inikah bangsa ku, tidak berpegang pada ajaran agama ? Ini kah bangsaku yang ketinggalan di semua bidang kehidupan. Tanah tanah terbiar akhirnya terjual. Anak anak terbiar akhirnya tergadai (maruah). Apa yang ada pada bangsaku lagi ?

Di harap pada bahasa ? Bahasa pun menjadi 'rojak keling'. Di harap pada budaya, Melayu sendiri tidak suka budaya asli , yang diamalkan budaya asing. Hendak melihat peradaban sopan bersendikan agama? Jauh sekali untuk melihat bangsaku kuat beradat bersendikan syariat seperti amalan nenek moyang dahulu. Apa yang masih ada pada bangsaku ?

Betul kata kawanku, yang tinggal songkok , sampin dan kebaya untuk di pamer. Banyak khazanah bangsaku sudah di 'muzium'kan. Salah siapakan ini ? Rakyat atau 'Raja' ?

Apabila letih mataku, lesu jari jemariku dan tumpul mindaku, aku merelakan berpisah dengan 'sahabat'ku. Biasanya belum sempat berdengkur sudah bermimpi. Aku lena dalam pelukan malam....

0 comments:

Post a Comment