bila sakit......ku cari Mu

Tiada siapa ingin sakit, berat atau ringan . Jikalau dapat ingin sihat selama lamanya.

Sahabatku , bekas guru dan suaminya juga guru bersara menjemput kami ( ahli usrah )ke rumahnya. Ada masalah yang berat ditanggungnya sendiri. Jemputan itu kami penuhi dan majlis yasin diatur pagi Khamis, jadi tiada kuliah tafsir. Jemputan hampir 40 orang ada yang aku kenal sebab mereka selalu mengikuti usrah, ada yang baru tengok rupa. Biasanya bila pertama kali jumpa , aku sapanya dan bertanya "duduk di mana" ?

Majlis dibuka dengan rasmi dengan Ummul Kitab. Salawat ditujukan kepada Junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ketinggalan, pengerusi meraikan 'ustazah' yang biasa mengepalai majlis yasin. Kalau anda bersama kami tentu anda akan rasa sejuk , nyaman dan tenang . Kenapa? Majlis ini bukan sebarang majlis. Bila rasmi dengan ummul kitab bermakna, ia adalah majlis yang menjadi rebutan malaikat malaikat Allah.

Mari kita lihat seterusnya, apa yang menambahkan lagi 'berkat' itu. Peraturan majlis diperdengarkan kepada umum.
1. Hendaklah berwudhu'.
2. Membaca bersama-sama dengan sebutan betul pada hukumnya.
3. Meniatkan untuk membantu pesakit dengan 'kalam' dan 'asma' Allah.
4. Berdoa dan mengaminkan doa dengan hati tulus mulus.

Awal kami membaca solawat sebanyak 11 kali, diikuti dengan Fatihah dan ayat Kursiy.
Permulaan Yasin dengan niat penyembuhan kepada pesakit. Surah Yasin mempunyai 83 ayat. Di dalamnya terdapat tujuh ayat yang berakhir dengan MUBIN. Bila sampai di ayat-ayat tersebut kami berdoa sebagaimana berikut:

"1. membaca bismillah hingga akhir.
2. membaca Ya qadial hajat. Iqdina hajatina fi hazihissaah.(wahai Yang memperkenankan hajat, tunaikan hajat kami waktu ini.
3. Membaca doa " Ya Allah, kami memohon perlindunganMu dengan KalimahMu yang sempurna dari bahaya angin AHMAR dan penyakit penyakit besar dan daripada tiap tiap penyakit dalam jiwa, dalam darah, dalam daging, dalam kulit, dalam urat dan dalam tulang. Tiada tuhan kecuali Engkau, Maha suci Engkau apabila Engkau menginginkan sesuatu ,cukuplah Engkau mengatakan, 'jadilah', maka terjadilah ia."
4. Diakhiri dengan solawat."

Anda mungkin ingin mengamalkan . Silakan . Doa itu didalam bahasa Arab boleh rujuk buku 'Indahnya Hidup Bersyariat' (Ustz. Ismail Kamus).

Kami membaca Yasin diselang seli dengan doa. Hinggalah habis surah Yasin. Itu ikhtiar kami untuk membantu sahabat kami dan memberi semangat agar dia sabar tabah menghadapi ujian dari Allah Taala. Yang melaksanakan permohonan itu Allah. Yang menyembuhkan penyakit adalah Allah.


Seingat pengalaman kami, membaca yasin dan berdoa secara berjamaah ini, ada yang Allah tunaikan secara segera. Seorang isteri terkena angin Ahmar, mulutnya dalam keadaan herot , tak boleh bercakap, belum sempat bacaan Yasin kami habis, Allah menunjukkan kekuasaanNya dan kami menyaksikannya ramai-ramai. Keadaan cacat tadi kembali seperti sediakala dan orang yang paling gembira ialah suaminya yang ketika itu memangkunya.

Satu lagi peristiwa , seorang ibu tua, tidak dapat bergerak, bercakap dan makan minum dilayan anak anak. Sangkaan mereka ibunya sudah hampir mati. Allah Maha kaya dan Maha Berkuasa. Berkat doa dan sedekah yang diberikan itu dapatlah ibunya sihat kembali , boleh bercakap dan berjalan. Itu semua adalah pemberiaan Allah Yang Maha Esa.

Majlis itu tidak berakhir lagi. Ustazah terus memberikan sedikit tazkirah mengenai penyakit, bagaimana Islam mendidik umatnya sentiasa mengamalkan hidup sihat dan sederhana. Jika , mereka buat sebagaimana sunnah Nabi , hidup akan sihat dan cergas. Badan sihat minda cergas. Wallahu'alam.

0 comments:

Post a Comment