kesyahduan malam LKI

Aku pulang dari menjaga ibu mertuaku yang sakit tenat.Giliran aku menjaganya dua malam berturut-turut. Menjaga orang sakit, kalau kita tak sakit ,letih adalah. Khidmat kita masih diperlukan di sana sini. Rehat mungkin tidak berpanjangan kerana kerja sudah menanti di Gong Badak.

Sekali lagi aku dipanggil untuk diberi tugas yang lebih berat. Menyediakan prasarana bagi perubatan as syifa'. Sebuah rumah disewa, lengkap dengan meja dan kerusi bagi pegawai perubatan , pesakit dan tetamu. Atas keperihatinan dan kerjasama sahabat setempat, pagi Jumaat kami selesaikan segala urusan. Petang, klinik kami dibuka, 2 orang pegawai perubatan as syifa' dan dua orang pembantu. Beberapa minit kemudian, kelihatan orang datang , aku kenal mereka dan mereka kenal aku. Hari ini mungkin terbongkar segala rahsia. Sesudah di daftarkan sebagai pesakit, mereka menghampiri pegawai pengubat yang kami kenali sebagai ustaz dan ustazah.

Nama mereka diseru tetapi berbinkan ibu. Tidak berbinkan ayah. Tahu kah anda mengapa?

Berbagai cara dilakukan oleh pengubat, ada yang dipegang kepala, ada yang dipegang kaki, betis, tumit, belakang , lengan dan sebagainya dimana sakit itu dirasai. Kemudian dibacakan ayat ayat tertentu. Ada dibaca kuat , perlahan dan ada ditiupkan ke anggota yang sakit. Sekali pandang, mungkin orang yang jahil akan mencemuh cara mengubat yang dilakukan. Tidak ada pil-pil ubat, tidak ada 'injection' dan tidak ada titik apa apa. Berkesan atau tidak , baik atau tidak , itu diatas kesungguhan dan keyakinan sisakit dengan Allah taala. Pengubatan ini menggunakan doa-doa yang terkandung di dalam Al quran. Quran itu merupakan mu'jizat yang paling agung.

Ramai juga yang datang untuk mendapatkan rawatan. Oleh kerana masa terlalu cepat berjalan dan tiap pesakit memerlukan masa antara 10 hingga 20 minit. Kita cuma mampu merawat seramai 25 orang. Tepat pukul 6.00 kami memberhentikan operasi , alhamdulillah.

Tempat yang sama , kami berkumpul untuk satu program yang kami namakan malam ibadah. Kenapa , malam lain kami tidak beribadah ke ? Bukan ! Ibadah berjemaah lebih besar pahala dari ibadah bersendirian. Jadi kami atur semalaman untuk ibadah malam bersama. Sahabat yang datang perlu minta izin dari suami-suami mereka. Ada juga suami yang tak mahu berpisah tidur dengan isteri. Tidak jadi masalah. Ramai juga yang mahu bersama kami. Kenapa tidak buat program ini di surau atau masjid ? Tuan tuan jawab sendirilah.

Bermula dengan solat maghrib berjamaah, kemudian tazkirah disampaikan oleh ustaz yang kami jemput dari Marang. Terisi dan terubat jiwa kami yang sentiasa lapar dan hauskan ilmu ilahi. Langsung kami solat isya'. Tepat 9.00 malam , muncul seorang pemuda tegap tubuh badannya dan memberi salam. Bukan orang jahat dan bukan pencegah maksiat. Dialah ustaz yang kami jemput untuk pengisisn malam ibadah kami. Tajuk perbincangan 'Hijraturrasul dan paranan muslimah'. Kupasannya cukup untuk kita menyelusuri sirah hijrah dan wanita yang berperanan menjayakan misi hijrah Rasulullah. Cukup berpuas hati dan kami berehat untuk makan malam, nasi goreng cina dan tea 'o'.

Sebelum tidur, ada satu lagi aktiviti kami, membaca qur'an wirid dan doa. Kemudian sahabat mencari posisi masing-masing untuk menjatuhkan tubuh bagi melelapkan mata. Walaupun badan mereka letih, mulut mereka tidak letih. mana yang letih segala-galanya cepat 'senyap'. Mana yang mata 'liat' nak tidur, mulut lah jadi penghibur. Ceria suasana , bercerita dan diiringi dengan gelak ketawa. Aku membiarkan meraka semua dengan kerenah masing-masing. Asalkan mereka dapat rehat dari gangguan suami dan anak-anak. Bukan senang nak dapatkan masa santai begini.

Tidur itu ibarat mati. Aku tidak pasti pukul berapa aku 'mati' tadi. Tersentak dengan bunyi deringan handpon, terbangunlah 'mayat-mayat' yang bergelimpangan . Pelik kot tengok muka muka sahabat bangun dari tidur. Mungkin tidak sempat mengeluarkan 'air wangi'. Bergiliran masuk bilik air dan jamban. Mereka berwudhu dan menyiapkan diri untuk mengadap Allah azza wajalla

Tiap orang, solat tahajjud 4 atau 6 rakaat. Kemudian bersaff saff kami tunaikan solat sunat tasbih 4 rakaat 2 salam. Selesai solat, kami melafazkan istigfar berulangkali. Sehingga ada diantara kami menangis tersedu sedu. Kemudian doa kami panjatkan kepada Allah yang ketika ini amat hampir rasanya dengan kami dan amat mendengar rintihan kami. Terdengar suara sedu sedan ,esakan dan pemohonan ampun dengan cara masing-masing. Sahabat merasa bebas untuk berbuat apa saja dan bermohon apa saja dengan Allah. Satu kepuasan bermunajad yang aku rasai dan sahabat rasai juga.

Sebelum azan subuh berkumandang, kami berehat seketika dan bersama-sama mengalunkan lagu taubat imam Shafie. Solat sunat subuh , solat subuh serta membaca dan menhayati doa al ma'thurat. Akhir pertemuan kami dengan sedikit tazkirah.

Riwayat musnad Ahmad bin Hambal;

"Sepuluh golongan dari umat ini yang kufur kepada Allah yang Maha Agung, tetapi mereka menyangka mereka itu beriman. Jika ada pada mereka sifat-sifat ini kufurlah mereka';

1. Syirik kepada Allah.
2. Mengamalkan islam sebahagian dan meninggalkan islam sebahagian.
3. Berbuat zalim dan membantu orang yang zalim.
4. Mempunyai sifat nifaq (munafiq).
5. Sifat Tasyabbuh atau menyerupai orang kafir dalam amalan, perbuatan dan
percakapan.
6. Takabbur atau sombong (baik dengan Allah atau manusia).
7. Menolak kebenaran yang datang dari Allah , Rasul dan orang yang beriman.
8. Menghalalkan yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan yang dihalalkan oleh
Allah.
9. Mengikut hawa nafsu dan hasutan iblis (menyembah iblis).
10. Al Asobiyyah. (memperjuangkan bangsa -kebangsaan) meninggalkan kesejagatan
ummah.

Renungan yang disampaikan ustazah kali ini cukup mengesan kepada jiwa kami tambahan pula dia mengibaratkan orang Melayu macam 'katak di dalam gelas'. Apa makna peribahasa baru 1 Malaysia ?. Renungkanlah............................

Antara isi dan kulit.

Andainya anda bertemu dengan seorang lelaki, berjubah, berkopiah , tentu anda katakan dia orang 'alim , wara' dan baik. Begitu juga bila anda temui wanita berpakaian kemas menutup aurat dan bertudung labuh, anda akan berkata wanita itu baik, 'alim dan wara'. Itulah tanggapan pertama orang kepada sesaorang.

Benarkah begitu? Ya, dan aku sudah beberapa kali berhadapan dengan situasi ''alim 'itu. Suatu ketika aku ke hospital untuk menziarahi saudara yang sakit, waktu lawatan pukul 5.00 petang hingga 7.00 malam. Sementara menunggu waktu, pelawat duduk di wakaf-wakaf , bersembang dan bertanya khabar. Macam -macam cerita, berita dan peristiwa diketahui.

Ashik bercakap-cakap, seorang wanita pakai baju 'sarung nangka' dan seluar panjang kecil di betis menyapa aku. "Kak, tanam gigi boleh tak "? tanya wanita itu. Aku mulanya tidak perasan soalan itu ditujukan kepadaku. Aku menoleh ke arah wanita yang bertanya untuk mendapat kepastian. Benar , soalan itu ditujukan kepadaku. "Kiranya gigi asli masih utuh, dicabut dan diganti dengan menanam gigi baru, hukumnya merubah ciptaan Allah , berdosalah. Tetapi sekiranya gigi asal rosak dan mudharat, walhal dia antara orang selalu berhubungan dengan masyarakat, untuk membuang rasa 'aib atau kekurangan itu menyebabkan tergendala tugas-tugas maka baginya harus dengan niat bukan merubah ciptaan Allah ".

Adakah dia benar-benar tidak tahu atau sengaja menguji ilmu aku ? Bagaimana dengan anda dan apa yang anda akan katakan ?

Pernahkah anda ditanya , "Mengapa awak pakai tudung" ? atau "Mengapa babi haram dimakan"?. Apa reaksi anda kepada soalan itu dan mengapa tertuju kepada kita.

1. Orang melihat luaran seperti pakaian dan perwatakan kita.
2. Orang memperhatikan percakapan kita.
3. Orang melihat air muka kita.

Kita panggil ketiga yang di atas sebagai kulit. Nampak di luar sebagai seorang berilmu, sebagai guru atau ustaz atau orang pandai. Untuk menilai kulit sepadan atau tidak dengan isinya , maka kena uji terlebih dahulu. Masyarakat menganggap isi sama dengan kulit. Bila sesaorang menyarung pakaian ulama' , maka tanpa bicara mereka letakkan anggapan ulama' itu kepada sipemakainya.

Isinya apa ? Kalau di luar kulit durian, maka isinya adalah durian. Jikalau kulit luarnya kulit limau, tentu di dalamnya isi limau. Tidak mungkin luarnya kulit jering , di dalamnya berisikan ciku. Kita akan kata , itu buah, isinya sudah ditetapkan oleh Allah. Ini yang kita persoalkan sekarang ini manusia. Isi di dalam tidak sama dengan kulit di luar.

Ya, yang dinamakan isi itu iman, kulitnya adalah Islam. Islam sesaorang bila kita melihat dia mengucap syahadah (mendengar) , bila kita melihat dia bersembahyang, bila kita melihat dia letih kerana berpuasa dan kita melihat dia berzakat dan haji. Apakah perbuatan lahiriah itu membayangkan iman seratus peratus ? Inilah yang dinamakan isi tidak sama dengan kulit. Perbezaan isi dan kulit kita namakan munafiq.

Anak-anak remaja kita , bila hari jumaat pakai baju Melayu. Nak solat jumaat konon. Turun dari rumah dengan pakaian tradisi Melayu, sampai ke masjid atau tidak ? Kalau pun sampai ke masjid, solat atau tidak ? Kalau pun solat , sah atau tidak ? Maknanya iman yang di dalam kulit itu dapat dirasai oleh pemilik kulit itu sendiri. Iman yang di dalam kulit itu terkadang dapat di lihat oleh mata bukan pemilik kulit.

Anak-anak dara kita keluar rumah dengan berbagai rupa pakaian.
1. Berbaju kurung dan bertudung.
2. Berbaju kurung tanpa tudung.
3. Berbaju 'T', berseluar panjang dan bertudung jarang.
4. Berbaju 'T' lengan pendek , bersetokin tangan , seluar panjang dan bertudung.
5. Berbaju 'T' lengan pendek atau panjang , seluar panjang dan tidak bertudung.
6. Berbaju kemeja dan berseluar ,tudung atau tidak bertudung.
7. Berbaju , berkain belah (belakang ,depan atau sisi) ,bertudung dan tidak
bertudung.
8. Berkebaya ketat, bertudung dan tidak bertudung.
9. Berbaju kemban tanpa tudung.
10.Berbaju dan berseluar pendek atau separuh pendek.

Banyak lagi kategori pakaian yang jadi minat mudi-mudi. Apakah pakaian ini melambangkan iman sipemakai ?

Allah memerintahkan kaum Hawa untuk menutup auratnya dari penglihatan bukan muhrim. Apakah mereka tidak tahu ? Apa yang mereka tahu ? Siapa yang wajib memberitahu kewajiban ini ? Guru, ibubapa , ulama' atau pemerintah ?

Iman mereka di mana ? Islam mereka di mana ?

Wahai saudaraku, ingatlah pesan Allah :Hendaklah kamu pelihara dirimu dan keluarga mu dari api neraka, sesungguhnya bahan bakar neraka itu manusia dan batu.

Tanamkanlah benih iman sejak anak-anak kecil, siramilah baja kesuburan iman itu dengan ilmu dan amal yang berterusan . Kita akan memetik hasilnya buah yang bermutu , isinya baik diliputi oleh kulit yang bersih.

pengalaman penuh istimewa.

Awal pagi aku berkemas dan menyediakan sarapan untuk abang .Kami tinggal berdua, rumah besar berkembar sunyi sepi tiada suara gurau anak-anak. Biasa hari Sabtu, aku tidak ada program pagi, tetapi hari ini ada rehlah. Mujur dekat Gong Badak. Kalau jauh , rasanya payah juga nak pergi.

Selesai sarapan, bekalan serba sedikit aku bawa, pakaian solat dan diary. Tangan suami kucium, tanda kasih dan izin untuk menyertai mana-mana program kebajikan dan tarbiyah. Ke mana tujuan aku sebenarnya. Walaupun aku sudah lama bermastautin di Gong Badak, banyak tempat, kampung dan pantai belum dikenali. Bukan tidak suka berjalan tetapi tidak berkesempatan untuk jalan-jalan tanpa tujuan.

Kereta aku pandu sendiri. Walaupun dulu aku tidak ada mimpi untuk pandu sendiri. Bila keperluan mendesak , suami selalu kerja luar negeri, anak-anak perlu ulang alik ke sekolah dan asrama, kemahiran memandu itu sudah jadi suatu kemestian dan keperluan. Alhamdulillah, rezeki diperluaskan oleh Allah. Aku dapat manfaat dan kemahiran itu digunakan untuk diri, anak-anak dan masyarakat. Membuat kebajikan selagi nyawa dikandung badan.

Sedar tak sedar aku sudah masuk ke lokasi rehlah. Aku mencari tempat rehlah, chalet bonda 2 . Laluan aku tersasar sampai ke hujung pantai Tok Jembal. Laluan itu boleh dilalui dulu, tetapi kini ditutup kepada laluan kerana hakisan ombak yang 'sasau'.Semenjak pantai diperpanjangkan ke laut, ditambak dan dijadikan landasan kapal terbang, pantai yang sedia ada menjadi makanan ombak 'sasau'. Rumah yang berhampiran akan menjadi mangsa. Kuburan saudara lama menjadi terancam dan keindahan kedamaian, ketenangan pantai Tok Jembal mulai hilang.

Aku berpatah balik , masuk ke laluan utama.Tidak terduga aku bertembung dengan 'kakak' ,orang yang pernah ada dalam ingatan dan igauan disuatu masa dulu. Memang sudah lama tidak berjumpa. Berhubungan telepon pun tidak. Hantar pesanan pun tidak berjawab. Ah , tidak mengapa , asal aku dapat jumpa mata , tengok kereta dan kerling rupa. Cukuplah, itu ketentuan Allah. Tujuan asal aku teruskan. Masuk kelaluan kiri, jalan menghala ke lapangan terbang. Sampai di Pasti Tok Jembal. Di perhentian bas , sahabat seperjuangan duduk menunggu sesaorang. Aku berhenti untuk bertanya khabar. Rupanya dia menunggu van sekolah untuk menghadiri mesyuarat guru-guru Pasti . Peluang ini aku gunakan untuk mendapat maklumat 'kempen umno khianat rakyat'. Tu, dia keluarkan satu kitab kecil dan aku membacanya sepintas lalu.Tidak lama kami berbual, van menghampiri kami dan kami berpisah di situ.

Terus lagi pencarian, aku masuk ke laluan tadi untuk berpatah balik ke pantai. Aku singgah ke gerai gerai makan di tepi UMT, tempat pelajar -pelajar mengalas perut dipagi hari, petang dan malam. Sebuah gerai yang beroperasi dipagi hari. Aku pesan tea panas dan makan 2 cucur bilis seekor. Aku beri nama sebab di dalam cucur itu jumpa sebelah ikan bilis. Bukan cucur udang . Aku minum sendirian , jarang sangat aku sendirian. Entahlah aku terkenang kakak tadi , mungkin dia sudah pulang atau merayap kemana-mana. Mahu aku ajak sarapan bersama tetapi masa tidak mengizinkan. Aku segera memandu dan menuju laluan pantai. Terlihat kelibat teman-teman yang sudah sampai dahulu. Ingat aku chalet bonda tu cantik....

Tikar dihampar , bekalan dikeluarkan dan di susun di satu sudut. Seorang demi seorang sahabat sampai. Semuanya 16 orang, wakil dari Dungun, Setiu, Kemaman, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sebagai tuan rumah. Pengerusi selaku ketua penerangan negeri membuka bicara . Kemudian ucapan perangsang dan pembakar semangat juang dari ketua kepada segala ketua. Terasmilah kerja rehlah kami. Satu keluarbiasaan permainan minda yang aku tempuhi. Satu kotak diedarkan. Di dalamnya ada lipatan kertas untuk dicabut oleh peserta. Alunan lagu irama patriot dimainkan mengiringi perjalanan 'kotak beracun'.Bila irama berhenti, cabutan akan dibuat oleh pemegang kotak itu. Kertas cabutan akan dibaca dan arahannya mesti dipatuhi.Apa arahannya ?

"Anda sebagai seorang penceramah". "Syarahkan : tajuk 'Hijrah Rasul'". Tanpa membuang waktu sahabat aku yang terkena 'racun' bangun dan beraksi sebagai penceramah bebas. 7 minit masa diberi . Bila selesai, kotak itu akan berjalan dengan iringan lagu tadi. Seronok melihat gelagat kawan-kawan, bila sampai 'kotak beracun' di tangan, cepat cepat di alih ke kawan sebelah. Takut terkena racunnya. Tidak lama muzik berhenti, kawanku bernama Azizah terkena 'racun'. Di buka lipatan kertas ,'anda tukang masak tersohor sedang memberi kursus masakan'. Ia bangun dan memulakan khidmat sukarela sebagai tukang masak ." Menu kita hari ini ialah nasi ayam special", kata pembuka kursus masakan. Gelagat guru masak ini memang menggelikan hati. Kami mendengar dan menonton persembahannya tidak 'kering gusi dan gigi dibuatnya. Kemudian 'kotak beracun' berjalan lagi, begitulah seterusnya sehingga semua yang ada terlibat dengan persembahan masing-masing.

Apa yang kami dapat dari permainan ini ? Bukan sekadar suka, bukan sekadar melihat kelucuan tetapi satu aktiviti kemahiran, penampilan sebagai pendakwah, penunjuk jalan , pengajar , perawat dan sebagainya. Bagaimana memberi suatu penerangan yang tidak membosankan pendengar. Ucapan ucapan yang patut digunapakai bila kita berhadapan dengan manusia yang berbagai latar belakang sosial.

Pendakwah yang baik mestilah mempunyai ilmu yang luas.Ilmu Islam terutama penguasaan Quran dan Hadith. Ilmu lain pun dikehendaki juga, barulah luas kupasannya. Kita tidak kata sains tak penting. Di dalam Quran penuh dengan fakta fakta sains. Di dalam Quran banyak fakta matematik, geografi, sejarah dan sebagainya . Selain itu pendakwah mesti mengetahui 'sasaran'nya, tahap pemikiran dan tahap pemahamannya. Pendakwah mesti ada daya penarik. Ada orang tertarik dengan suara. Ada orang tertarik dengan rupa. Ada orang tertarik dengan sikap dan bahasa.

Leka sungguh berlatih hingga masing masing merasa letih. Bekalan makanan dikeluarkan. Air minuman dan kuih muih dihidangkan. Kami berjamu selera bersama sama , bahagi-membahagi, hulur-menghulur, cuma tidak suap-menyuap aje. Kenyang dan seronok sekali lagi . Lafaz syukur terkeluar dari mulut-mulut kami. Sungguh membahgiakan. Sesuatu perkara kalau kita buat secara berjemaah , natijahnya pahala besar dan kepuasan beramal.

Kami solat zohor, silih berganti kerana chalet yag disewa ada satu bilik air dan sempit. Aktiviti disambung , taklimat dan nasihat yang berguna bagi kami aplikasikan bila bersama masyarakat. Bila hari mencecah asar, satu kenangan terakam lagi. Tukar menukar hadiah, walaupun hadiah kami bawa tidak seberapa harganya, tetapi kami jalin kemesraan persahabatan yang berpanjangan dengan tukaran tanda mesra. Antara kami ada yang baru kenal , ada yang sudah kenal bertahun-tahun tetapi tidak mesra, tapi aku merasakan mereka semua semacam sudah lama kenal dan mesra . Itulah uniknya dan indahnya persahabatan di dalam islam.

Penutup perpisahan kami dengan bacaan doa Rabitah. Dialun dan diulit dengan aliran air mata , bukan sedih tetapi gerun dan syahdu , gerun kerana amanah islam yang dipikul itu berat untuk ditanggung bersendirian dan syahdu mungkin ini pertemuan terakhir kerana kami semua mencita-citakan syahid dalam perjuangan. .

bicara dua jiwa

Apakah kau ingat apa yang ku nyatakan dulu?
Keluhan hati sesaorang apabila dia gagal untuk mendapatkan segala impiannya.Lantas kau memberi nasihat yang menjela-jela.Bukan hadith dan bukan cerita tetapi kias umpama pengobat lara.

Ku pinta bunga yang cantik,
Diberi kaktus yang berduri.
Ku pinta rama rama indah,
Diberikan ulat berbulu.

Kau pujuk lagi aku dengan madah indah supaya hilang segala resah.

Tiba tiba kaktus yang berduri ,
Berbunga dan indah sekali.
Ulat yang berbulu,
Menjadi kupu kupu berwarna warni.

Ketika resah belum parah, madah dapat menghilangkan gelisah.Yakinlah aku kepada Allah.Bahawa apa yang kita minta tidak semua diberi segera. Mungkin esok atau lusa terkabul jua. Mungkin juga tuhan tidak beri apa yang kita minta tetapi memberikan apa yang kita perlukan sahaja. Redhalah aku dengan ketentuan ilahi.

Allah , tuhan kami dan tuhan kamu.

Awal tahun , januari 2010 .Permulaan yang mendung. Hujan dua hari ,tidak lebat tetapi menyamankan bumi ciptaan Allah. Siapa yang dapat menahan hujan dari turun dan siapa pula yang dapat menahan hujan dari tidak turun-turun ? Matahari sebagai pelita alam, menerangi bumi tanpa henti sejak dijadikan. Siapa yang berkuasa menghentikan sinarnya? Siang dan malam silih berganti, siapa yang dapat menukarkan malam menjadi siang dan siang menjadi malam ? Hari hari ada makluk yang hidup dan ada makluk yang mati, siapa yang berkuasa menghidup atau mengadakan makluk dan mematikan atau memusnahkan makluk ? Renunglah ,fikirkanlah wahai manusia , siapakah yang berkuasa atas segala sesuatu.

Allah ,nama bagi tuhan yang menjadikan semua di alam ini termasuk manusia. Manusia dari yang satu iaitu Adam a.s. Diberi pasangan Hawa ,menjadilah keturunan yang ramai ,ada yang besar ada yang kecil, ada berkulit putih ada berkulit gelap, ada yang cantik ada yang kurang cantik, kemudian mereka bertutur dengan berbagai jenis bahasa walhal lidah mereka satu (sama bentuk dan sama rupa). Oleh kerana bumi ,tempat kediaman manusia berbagai bentuk dan berhawa yang bermacam-macam, menusia membentuk budaya hidup tersendiri. Kita merasa kagum dengan kepelbagaian rupa, bahasa dan budaya hidup. Siapakah yang berkuasa mencipta semua itu ? Yang menjadikan lidah boleh bercakap dengan berbagai bahasa. Juga menciptakan kelainan suara-suara manusia dan makhluk.

Allah pernah memerintahkan nabi Muhammad s.a.w bertanya kepada manusia yang kafir dan mushrik. Surah Az zukhruf:87 " Dan jika kamu bertanya kepada mereka siapakah yang menciptakan mereka, nescaya mereka menjawab 'Allah'.Maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan (dari menyembah Allah) ?"

Surah Az zukhruf :9 "Dan jika kamu tanyakan kepada mereka, siapakah yang menciptakan langit dan bumi ? . Nescaya mereka akan menjawab ,'semuanya diciptakan oleh Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui'".

Sekarang , boleh atau tidak nama 'Allah' digunapakai oleh orang Kristian atau hindu atau buddha atau yahudi ? Sampai bicara dalam mahkamah .Hujjah mana kuat, dialah yang menang. Siapalah yang punya perangai sampai bawa perkara ini sampai mahkamah. Bukankah yang menjadikan mereka itu Allah. Mereka bebas menyebutnya sebagaimana kita bebas menyebutnya. Bangsa apakah kita, kulit apakah kita, derajat apakah kita semuanya bertuhankan satu Tuhan iaitu ALLAH. Kalau kamu mengaku Allah itu tuhan kamu, mereka juga berhak untuk mengaku Allah itu tuhannya.

Kembalilah kepada asal tujuan hidup kita di bumi. Untuk beribadah kepada Allah. Perintah umum kepada semua makhluk tidak terkecuali manusia, sembahlah Allah dan jauhi Taghut. Rasul-rasul di utuskan untuk membimbing manusia taat kepada Allah. Maka Islam itulah agama yang satu dari Allah. Adam a.s itu islam dan mengajarkan anak keturunannya dengan islam. Nuh a.s itu islam dan mengajak bangsanya menyembah Allah. Ibrahim a.s. itu Islam dan mewariskan keturunannya dengan islam. Musa a.s itu islam dan mengajak bangsanya menyembah Allah. Isa a.s itu islam dan tidak menyuruh bangsanya menjadikannya tuhan. Nabi Muhammad s.a.w penutup tirai kenabian membawa ajaran islam untuk diamalkan oleh semua bangsa di dunia ini. Islam bukan untuk Melayu sahaja dan bukan untuk orang Arab tetapi untuk semua manusia.

Allah, manusia semua memerlukan pautan Allah. Tidak salah memanggilNya di mana sahaja. Bukan disebut hanya dalam masjid. Bukan disebut hanya bila di surau balai atau ketika mentalkinkan orang akan mati. Allah , boleh disebut di mana sahaja dan oleh siapa sahaja. Allah bukan milik sesaorang tetapi untuk semuanya memohon pertolongan dan perlindungan.