kesyahduan malam LKI

Aku pulang dari menjaga ibu mertuaku yang sakit tenat.Giliran aku menjaganya dua malam berturut-turut. Menjaga orang sakit, kalau kita tak sakit ,letih adalah. Khidmat kita masih diperlukan di sana sini. Rehat mungkin tidak berpanjangan kerana kerja sudah menanti di Gong Badak.

Sekali lagi aku dipanggil untuk diberi tugas yang lebih berat. Menyediakan prasarana bagi perubatan as syifa'. Sebuah rumah disewa, lengkap dengan meja dan kerusi bagi pegawai perubatan , pesakit dan tetamu. Atas keperihatinan dan kerjasama sahabat setempat, pagi Jumaat kami selesaikan segala urusan. Petang, klinik kami dibuka, 2 orang pegawai perubatan as syifa' dan dua orang pembantu. Beberapa minit kemudian, kelihatan orang datang , aku kenal mereka dan mereka kenal aku. Hari ini mungkin terbongkar segala rahsia. Sesudah di daftarkan sebagai pesakit, mereka menghampiri pegawai pengubat yang kami kenali sebagai ustaz dan ustazah.

Nama mereka diseru tetapi berbinkan ibu. Tidak berbinkan ayah. Tahu kah anda mengapa?

Berbagai cara dilakukan oleh pengubat, ada yang dipegang kepala, ada yang dipegang kaki, betis, tumit, belakang , lengan dan sebagainya dimana sakit itu dirasai. Kemudian dibacakan ayat ayat tertentu. Ada dibaca kuat , perlahan dan ada ditiupkan ke anggota yang sakit. Sekali pandang, mungkin orang yang jahil akan mencemuh cara mengubat yang dilakukan. Tidak ada pil-pil ubat, tidak ada 'injection' dan tidak ada titik apa apa. Berkesan atau tidak , baik atau tidak , itu diatas kesungguhan dan keyakinan sisakit dengan Allah taala. Pengubatan ini menggunakan doa-doa yang terkandung di dalam Al quran. Quran itu merupakan mu'jizat yang paling agung.

Ramai juga yang datang untuk mendapatkan rawatan. Oleh kerana masa terlalu cepat berjalan dan tiap pesakit memerlukan masa antara 10 hingga 20 minit. Kita cuma mampu merawat seramai 25 orang. Tepat pukul 6.00 kami memberhentikan operasi , alhamdulillah.

Tempat yang sama , kami berkumpul untuk satu program yang kami namakan malam ibadah. Kenapa , malam lain kami tidak beribadah ke ? Bukan ! Ibadah berjemaah lebih besar pahala dari ibadah bersendirian. Jadi kami atur semalaman untuk ibadah malam bersama. Sahabat yang datang perlu minta izin dari suami-suami mereka. Ada juga suami yang tak mahu berpisah tidur dengan isteri. Tidak jadi masalah. Ramai juga yang mahu bersama kami. Kenapa tidak buat program ini di surau atau masjid ? Tuan tuan jawab sendirilah.

Bermula dengan solat maghrib berjamaah, kemudian tazkirah disampaikan oleh ustaz yang kami jemput dari Marang. Terisi dan terubat jiwa kami yang sentiasa lapar dan hauskan ilmu ilahi. Langsung kami solat isya'. Tepat 9.00 malam , muncul seorang pemuda tegap tubuh badannya dan memberi salam. Bukan orang jahat dan bukan pencegah maksiat. Dialah ustaz yang kami jemput untuk pengisisn malam ibadah kami. Tajuk perbincangan 'Hijraturrasul dan paranan muslimah'. Kupasannya cukup untuk kita menyelusuri sirah hijrah dan wanita yang berperanan menjayakan misi hijrah Rasulullah. Cukup berpuas hati dan kami berehat untuk makan malam, nasi goreng cina dan tea 'o'.

Sebelum tidur, ada satu lagi aktiviti kami, membaca qur'an wirid dan doa. Kemudian sahabat mencari posisi masing-masing untuk menjatuhkan tubuh bagi melelapkan mata. Walaupun badan mereka letih, mulut mereka tidak letih. mana yang letih segala-galanya cepat 'senyap'. Mana yang mata 'liat' nak tidur, mulut lah jadi penghibur. Ceria suasana , bercerita dan diiringi dengan gelak ketawa. Aku membiarkan meraka semua dengan kerenah masing-masing. Asalkan mereka dapat rehat dari gangguan suami dan anak-anak. Bukan senang nak dapatkan masa santai begini.

Tidur itu ibarat mati. Aku tidak pasti pukul berapa aku 'mati' tadi. Tersentak dengan bunyi deringan handpon, terbangunlah 'mayat-mayat' yang bergelimpangan . Pelik kot tengok muka muka sahabat bangun dari tidur. Mungkin tidak sempat mengeluarkan 'air wangi'. Bergiliran masuk bilik air dan jamban. Mereka berwudhu dan menyiapkan diri untuk mengadap Allah azza wajalla

Tiap orang, solat tahajjud 4 atau 6 rakaat. Kemudian bersaff saff kami tunaikan solat sunat tasbih 4 rakaat 2 salam. Selesai solat, kami melafazkan istigfar berulangkali. Sehingga ada diantara kami menangis tersedu sedu. Kemudian doa kami panjatkan kepada Allah yang ketika ini amat hampir rasanya dengan kami dan amat mendengar rintihan kami. Terdengar suara sedu sedan ,esakan dan pemohonan ampun dengan cara masing-masing. Sahabat merasa bebas untuk berbuat apa saja dan bermohon apa saja dengan Allah. Satu kepuasan bermunajad yang aku rasai dan sahabat rasai juga.

Sebelum azan subuh berkumandang, kami berehat seketika dan bersama-sama mengalunkan lagu taubat imam Shafie. Solat sunat subuh , solat subuh serta membaca dan menhayati doa al ma'thurat. Akhir pertemuan kami dengan sedikit tazkirah.

Riwayat musnad Ahmad bin Hambal;

"Sepuluh golongan dari umat ini yang kufur kepada Allah yang Maha Agung, tetapi mereka menyangka mereka itu beriman. Jika ada pada mereka sifat-sifat ini kufurlah mereka';

1. Syirik kepada Allah.
2. Mengamalkan islam sebahagian dan meninggalkan islam sebahagian.
3. Berbuat zalim dan membantu orang yang zalim.
4. Mempunyai sifat nifaq (munafiq).
5. Sifat Tasyabbuh atau menyerupai orang kafir dalam amalan, perbuatan dan
percakapan.
6. Takabbur atau sombong (baik dengan Allah atau manusia).
7. Menolak kebenaran yang datang dari Allah , Rasul dan orang yang beriman.
8. Menghalalkan yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan yang dihalalkan oleh
Allah.
9. Mengikut hawa nafsu dan hasutan iblis (menyembah iblis).
10. Al Asobiyyah. (memperjuangkan bangsa -kebangsaan) meninggalkan kesejagatan
ummah.

Renungan yang disampaikan ustazah kali ini cukup mengesan kepada jiwa kami tambahan pula dia mengibaratkan orang Melayu macam 'katak di dalam gelas'. Apa makna peribahasa baru 1 Malaysia ?. Renungkanlah............................

0 comments:

Post a Comment