Awal pagi aku berkemas dan menyediakan sarapan untuk abang .Kami tinggal berdua, rumah besar berkembar sunyi sepi tiada suara gurau anak-anak. Biasa hari Sabtu, aku tidak ada program pagi, tetapi hari ini ada rehlah. Mujur dekat Gong Badak. Kalau jauh , rasanya payah juga nak pergi.
Selesai sarapan, bekalan serba sedikit aku bawa, pakaian solat dan diary. Tangan suami kucium, tanda kasih dan izin untuk menyertai mana-mana program kebajikan dan tarbiyah. Ke mana tujuan aku sebenarnya. Walaupun aku sudah lama bermastautin di Gong Badak, banyak tempat, kampung dan pantai belum dikenali. Bukan tidak suka berjalan tetapi tidak berkesempatan untuk jalan-jalan tanpa tujuan.
Kereta aku pandu sendiri. Walaupun dulu aku tidak ada mimpi untuk pandu sendiri. Bila keperluan mendesak , suami selalu kerja luar negeri, anak-anak perlu ulang alik ke sekolah dan asrama, kemahiran memandu itu sudah jadi suatu kemestian dan keperluan. Alhamdulillah, rezeki diperluaskan oleh Allah. Aku dapat manfaat dan kemahiran itu digunakan untuk diri, anak-anak dan masyarakat. Membuat kebajikan selagi nyawa dikandung badan.
Sedar tak sedar aku sudah masuk ke lokasi rehlah. Aku mencari tempat rehlah, chalet bonda 2 . Laluan aku tersasar sampai ke hujung pantai Tok Jembal. Laluan itu boleh dilalui dulu, tetapi kini ditutup kepada laluan kerana hakisan ombak yang 'sasau'.Semenjak pantai diperpanjangkan ke laut, ditambak dan dijadikan landasan kapal terbang, pantai yang sedia ada menjadi makanan ombak 'sasau'. Rumah yang berhampiran akan menjadi mangsa. Kuburan saudara lama menjadi terancam dan keindahan kedamaian, ketenangan pantai Tok Jembal mulai hilang.
Aku berpatah balik , masuk ke laluan utama.Tidak terduga aku bertembung dengan 'kakak' ,orang yang pernah ada dalam ingatan dan igauan disuatu masa dulu. Memang sudah lama tidak berjumpa. Berhubungan telepon pun tidak. Hantar pesanan pun tidak berjawab. Ah , tidak mengapa , asal aku dapat jumpa mata , tengok kereta dan kerling rupa. Cukuplah, itu ketentuan Allah. Tujuan asal aku teruskan. Masuk kelaluan kiri, jalan menghala ke lapangan terbang. Sampai di Pasti Tok Jembal. Di perhentian bas , sahabat seperjuangan duduk menunggu sesaorang. Aku berhenti untuk bertanya khabar. Rupanya dia menunggu van sekolah untuk menghadiri mesyuarat guru-guru Pasti . Peluang ini aku gunakan untuk mendapat maklumat 'kempen umno khianat rakyat'. Tu, dia keluarkan satu kitab kecil dan aku membacanya sepintas lalu.Tidak lama kami berbual, van menghampiri kami dan kami berpisah di situ.
Terus lagi pencarian, aku masuk ke laluan tadi untuk berpatah balik ke pantai. Aku singgah ke gerai gerai makan di tepi UMT, tempat pelajar -pelajar mengalas perut dipagi hari, petang dan malam. Sebuah gerai yang beroperasi dipagi hari. Aku pesan tea panas dan makan 2 cucur bilis seekor. Aku beri nama sebab di dalam cucur itu jumpa sebelah ikan bilis. Bukan cucur udang . Aku minum sendirian , jarang sangat aku sendirian. Entahlah aku terkenang kakak tadi , mungkin dia sudah pulang atau merayap kemana-mana. Mahu aku ajak sarapan bersama tetapi masa tidak mengizinkan. Aku segera memandu dan menuju laluan pantai. Terlihat kelibat teman-teman yang sudah sampai dahulu. Ingat aku chalet bonda tu cantik....
Tikar dihampar , bekalan dikeluarkan dan di susun di satu sudut. Seorang demi seorang sahabat sampai. Semuanya 16 orang, wakil dari Dungun, Setiu, Kemaman, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sebagai tuan rumah. Pengerusi selaku ketua penerangan negeri membuka bicara . Kemudian ucapan perangsang dan pembakar semangat juang dari ketua kepada segala ketua. Terasmilah kerja rehlah kami. Satu keluarbiasaan permainan minda yang aku tempuhi. Satu kotak diedarkan. Di dalamnya ada lipatan kertas untuk dicabut oleh peserta. Alunan lagu irama patriot dimainkan mengiringi perjalanan 'kotak beracun'.Bila irama berhenti, cabutan akan dibuat oleh pemegang kotak itu. Kertas cabutan akan dibaca dan arahannya mesti dipatuhi.Apa arahannya ?
"Anda sebagai seorang penceramah". "Syarahkan : tajuk 'Hijrah Rasul'". Tanpa membuang waktu sahabat aku yang terkena 'racun' bangun dan beraksi sebagai penceramah bebas. 7 minit masa diberi . Bila selesai, kotak itu akan berjalan dengan iringan lagu tadi. Seronok melihat gelagat kawan-kawan, bila sampai 'kotak beracun' di tangan, cepat cepat di alih ke kawan sebelah. Takut terkena racunnya. Tidak lama muzik berhenti, kawanku bernama Azizah terkena 'racun'. Di buka lipatan kertas ,'anda tukang masak tersohor sedang memberi kursus masakan'. Ia bangun dan memulakan khidmat sukarela sebagai tukang masak ." Menu kita hari ini ialah nasi ayam special", kata pembuka kursus masakan. Gelagat guru masak ini memang menggelikan hati. Kami mendengar dan menonton persembahannya tidak 'kering gusi dan gigi dibuatnya. Kemudian 'kotak beracun' berjalan lagi, begitulah seterusnya sehingga semua yang ada terlibat dengan persembahan masing-masing.
Apa yang kami dapat dari permainan ini ? Bukan sekadar suka, bukan sekadar melihat kelucuan tetapi satu aktiviti kemahiran, penampilan sebagai pendakwah, penunjuk jalan , pengajar , perawat dan sebagainya. Bagaimana memberi suatu penerangan yang tidak membosankan pendengar. Ucapan ucapan yang patut digunapakai bila kita berhadapan dengan manusia yang berbagai latar belakang sosial.
Pendakwah yang baik mestilah mempunyai ilmu yang luas.Ilmu Islam terutama penguasaan Quran dan Hadith. Ilmu lain pun dikehendaki juga, barulah luas kupasannya. Kita tidak kata sains tak penting. Di dalam Quran penuh dengan fakta fakta sains. Di dalam Quran banyak fakta matematik, geografi, sejarah dan sebagainya . Selain itu pendakwah mesti mengetahui 'sasaran'nya, tahap pemikiran dan tahap pemahamannya. Pendakwah mesti ada daya penarik. Ada orang tertarik dengan suara. Ada orang tertarik dengan rupa. Ada orang tertarik dengan sikap dan bahasa.
Leka sungguh berlatih hingga masing masing merasa letih. Bekalan makanan dikeluarkan. Air minuman dan kuih muih dihidangkan. Kami berjamu selera bersama sama , bahagi-membahagi, hulur-menghulur, cuma tidak suap-menyuap aje. Kenyang dan seronok sekali lagi . Lafaz syukur terkeluar dari mulut-mulut kami. Sungguh membahgiakan. Sesuatu perkara kalau kita buat secara berjemaah , natijahnya pahala besar dan kepuasan beramal.
Kami solat zohor, silih berganti kerana chalet yag disewa ada satu bilik air dan sempit. Aktiviti disambung , taklimat dan nasihat yang berguna bagi kami aplikasikan bila bersama masyarakat. Bila hari mencecah asar, satu kenangan terakam lagi. Tukar menukar hadiah, walaupun hadiah kami bawa tidak seberapa harganya, tetapi kami jalin kemesraan persahabatan yang berpanjangan dengan tukaran tanda mesra. Antara kami ada yang baru kenal , ada yang sudah kenal bertahun-tahun tetapi tidak mesra, tapi aku merasakan mereka semua semacam sudah lama kenal dan mesra . Itulah uniknya dan indahnya persahabatan di dalam islam.
Penutup perpisahan kami dengan bacaan doa Rabitah. Dialun dan diulit dengan aliran air mata , bukan sedih tetapi gerun dan syahdu , gerun kerana amanah islam yang dipikul itu berat untuk ditanggung bersendirian dan syahdu mungkin ini pertemuan terakhir kerana kami semua mencita-citakan syahid dalam perjuangan. .
New entry via smartphone ♥♥♥
11 years ago
0 comments:
Post a Comment