Salam bahagia.
Demi masa ,sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian . Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran."
Ramai orang tahu ayat ini. Biasa dibacakan bila menutup satu satu majlis ilmu. Apakah semua faham kehendak ayat ini ? Mari kita selidik dalam diri. Masa atau saah. Orang Melayu kata saat. Satu hari ada 24 jam, satu jam ada 60 minit, satu minit ada 60 saat. Itu pun ramai yang tahu. Yang nak difikirkan sekarang , saat yng bergerak tak dapat dikembalikan lagi. Mula dari hari petama kelahiran, saat bergerak terus hingga ia mencapai umur setahun, dua tahun, kemudian mencapai saat baligh. Waktu itu setiap amalan baik dan buruknya tercatat dalam catatan yang nyata. Siapa yang mencatit itu ? Malaikat yang setia dengan tugasnya.
Masa itu Allah yang ciptakan. Ada orang memiliki masa hidup yang pendek. Mati awal baligh atau mati diusia remaja. Ada yang Allah beri tempoh hidup hingga dapat mengecapi hidup berumahtangga dan berketurunan. Ada orang yang lanjut usianya sampai ratusan tahun. Itu adalah kehendak Allah, Dia yang memberi hidup siapa yang dikehendakiNya. Kemudian semua yang diciptakan itu ada tempoh yang ditentukan dan akhir dengan ajal. Tiada yang dapat menghalang pekerjaan Allah Taala. Cuma manusia diberi aqal untuk berfikir,nafsu baik dan buruk dan kemahuan untuk ikhtiarkan sesuatu .
Bila Allah memberi masa kepada manusia, apa yang patut dilakukannya ? Kalau masih tidak percayakan adanya Tuhan yang Esa ,rugilah manusia itu. Apakah dia tak memikirkan kejadiannya ? Siapa yang memberikan kelengkapan makan, minum, pakai dan kenikmatan ? Bukankah Allah ? Siapakah yang memberikan indah lengkap tubuh badan dan sihat tubuh badan ? Bukankah Allah ? Kalau anda meyakini semua ini adalah dari Allah maka anda sudah beruntung . Ini dinamakan orang yang beriman
Bila kesempatan mencari ilmu itu ada dan dipergunakan untuk menuntut ilmu yang wajib dituntut, maka orang itu beruntung. Ilmu apakah itu ? Orang kata ilmu Fardu 'ain. Masyarakat Melayu faham Fardu 'ain itu cuma berkisar soal solat (sembahyang) , puasa, zakat dan haji walhal kitab Quran itu mengandungi berbagai ilmu yang patut dituntut. Islam itu sempurna dan datang dari tuhan yang menciptakan manusia. Tentunya apa yang terkandung dalam Quran itu amat berguna untuk manusia amalkan. Ulama' membahgikan ilmu kepada beberapa bahagian. Yang paling utama mengenal Allah dan tuntutan beribadah kepadaNya. Dengan ilmu yang benar itulah manusia beramal. Beruntunglah mereka kerana tergolong dalam golongan orang yang beramal. Amal apa ? Soleh atau baik dan diterima oleh Allah. Amal amal itu pula ada waktu waktunya.
Waktu pagi bermula dari terbit fajar, ada amalan wajib bagi manusia lakukan dan dalam masa sesingkat itupun Allah bahagikan masa afdhal (pahalanya lebih ), sunat , makruh dan haram.Orang yang berusaha mengejar waktu afdhal dan mengisi dengan amalan amalan wajib dan sunat itulah orang yang beruntung. Solat subuh wajib atas hambaNya, tetapi orang yang berilmu dan ingin mencari redha dan kasih sayang Allah akan mengisi waktu subuh itu dengan solat sunat subuh dua rakaat atau empat rakaat. Selepas solat subuh, mereka membaca wirid-wirid ma'thurat yang diamalkan Rasulullah s.a.w. Berapa banyak pahala yang mereka perolehi dalam tempoh masa tak sampai sejam. Selain pahala, mereka memperolehi jaminan keselamatan dari Allah untuk hari itu dan dibuka pintu rahmat seluas-luasnya. Tidakkah itu dinamakan keuntungan yang besar ?
Apabila terbit matahari, manusia berkejaran ke sana ke mari mencari kurniaan Allah. Yang masuk pejabat kena tepat pada masanya dan ada perakam waktu. Yang ke sawah bendang pun ada masanya. Ada orang yang bekerja dibayar imbuhan atau gaji mengikut tempoh masa kerja.Ada orang yang bekerja lebih masa untuk mencari laba yang banyak. Semua itu bergantung kepada kesempatan masa yang ada padanya. Kalau ditakdirkan sakit atau sesuatu musibah , masa akan terisi dengan keluhan dan kesusahan. Mereka mengeluh kerana kerugian , gaji terpotong atau tiada rezki yang masuk atau bertambah. Itu yang nampak di mata dan dapat dirasa kerana masa berlalu sia sia. Apakah nilai masa di sisi manusia yang soleh.?
Masa itu makhluk yang baharu, silih berganti mengikut putaran matahari dan bulan. Waktu Dhuha hingga gelincirnya matahari adalah waktu disuruh berusaha mencari rezki yang halal lagi baik. Membelanjakan pula kepada yang wajib dinafkahkan seperti isteri, anak-anak ,kedua ibubapa dan kerabat yang hampir. Lebihan dari rezki dibelanjakan pula untuk orang yang berkeperluan seperti fakirmiskin ,anak yatim dan orang yang kesusahan. Lebihan dari itu dimasukkan ke dalam baitulmal untuk maslahat pembangunan ummah. Mana lebih baik, tangan yang memberi atau tangan yang menerima ? Kalau manusia ingin mencari harta yang banyak silakan .Beruntunglah orang yang ada harta banyak kemudian membelanjakannya pada jalan jalan yang Allah arahkan dalam Quran.
Jangan biarkan masa yang ada pada kita berlalu percuma .Raihlah keuntungan yang disediakan oleh Allah. Waktu zuhur, waktu yang amat meletihkan tetapi di situ ada kewajiban yang patut dilaksanakan kepada Khaliq. Kemudian dituruti dengan amalan amalan sunat. Atau mungkin kefardhuan yang lain seperti menuntut ilmu dan keharusan yang lain seperti memenuhi keperluan manusia. Sehingga menjelang waktu asar, biasa digunakan untuk bermain dan riadhah. Sekiranya masa itu digunakan sebaik mungkin ,tidak dicampuradukkan permainan yang mengandungi maksiat (mendedahkan aurat dan, bercampur lelaki dan perempuan ) maka beruntunglah orang itu kerana menyediakan tubuh badan yang sihat dan minda yang cergas. Itu antara tuntutan di dalam Islam.
Matahari melabuhkan tirai cahaya, panggilan azan dilaungkan sana dan sini. Apa lagi yang dicari oleh manusia ? Mungkin siang tidak sempat mencari rezki, maka dilanjutkan masa kerja hingga ke pagi.Kalau makhluk yang berjenama tikus ,lipas, musang dan lainnya tidak menjadi salah baginya kerana Allah menjadikannya mencari rezki di malam hari. Bagi sesetengah ulama' memakruhkan mencari rezki di malam hari. Waktu malam Allah sediakan untuk berehat .Waktu malam Allah sediakan untuk manusia beramal mendekatkan diri dengan penciptanya. Waktu malam inilah Allah membuka pintu langit dan mendengar rayuan hamba-hambaNya. Sehinggakan bila tiba bulan Ramadhan ,tidak sedikit hamba yang ikhlas menyediakan diri untuk terus berdiri,ruku' dan sujud sambil merintih dan menangis memohon ampun. Tidak sedikit juga hamba Allah yang bangun sepertiga malam untuk mencari keberkatan dan rahmat dari Allah. Tidak keterlaluan juga ramai yang menghabiskan malam dengan mengerjakan maksiat. Ramai juga yang tidak berbuat apa-apa , masa diisi dengan tidur yang panjang. Anda tentu dapat menilai mana manusia yang untung, mana manusia yang rugi dan mana manusia yang tak untung dan tak rugi.
Fahamilah Islam itu sungguh sungguh .Masa yang ada pada kita terbatas. Gunakanlah masa untuk bekalan bagi permusafiran kita yang panjang. Kita akan melewati alam barzakh, tempat yang gelap, sunyi sepi dan penuh dengan fitnah. Bekalan untuk duduk di situ mesti disediakan di dunia lagi. Kalau kita mengkaji kitab Allah, amalan yang afdhal untuk selamat di alam barzakh ialah solat, puasa, sedekah dan silaturrahim. Sempitkah ? Besarkah ? kediaman dialam barzakh kita yang cari atau sediakan sendiri. Terangkah? gelapkah ? kediaman kita nanti ,kita lah yang menyalurkan cahaya dahulu dari dunia.
Kemudian kita dibangkitkan di alam hakiki iaitu Akhirat. Negeri abadi dan semua manusia akan balik ke sana. Di sana ada kediaman indah dan mewah.Dengan apa kita dapat menempahnya. Berapa harga cagaran ? Berapa pula harga tunai ? Semua harta ,semua benda yang ada diakhirat boleh dimiliki tetapi bayarannya tunai masa di dunia lagi. Hendak bayar di akhirat ? Tidak diterima oleh Allah segala jual beli atau tebusan. Orang yang tidak menyediakan pahala untuk ditunaikan di akhirat itulah golongan yang rugi. Rebutlah syurga Allah dan padamkanlah api yang tersedia untuk kita walaupun dengan sedekah setengah biji kurma atau dengan kata-kata yang baik sesama manusia.
Mudah mudahan kita termasuk ke dalam golongan orang yang menghargai masa .
New entry via smartphone ♥♥♥
11 years ago
0 comments:
Post a Comment