ziarah dan ukhwah

Mesyuarat kali ini tidak ramai ajk yang hadir. Keputusan telah dibuat bersama iaitu program ziarah ahli qaryah yang terlibat dengan bencana banjir. Seramai 26 keluarga yang dikenalpasti sebagai susah atau kurang berkemampuan. Kalaupun ketua keluaga bekerja tetapi musibah yang berulang meninggalkan perit dalam keperluan.Tarikh lawatan kami ditetapkan.Tepat pada masanya kami berkumpul di surau 'air mata'.Barang keperluan atau 'hamper' yang tidak seberapa dipunggah ke kereta kembara milikku. Itulah kuda tungganganku sejak aku digelar KM.

Rakan lain seramai 10 orang bersama berjalan kaki ke rumah murah 'air mata'. Kami melewati 4 blok awal untuk memulakan operasi di blok akhir. Pertama kami temui keluarga yang anaknya kecil-kecil lagi. Yang sulung berusia 11 tahun dan yang bungsu setahun lebih. Kami tidak masuk ke dalam rumah sekadar berada dipinggiran, bukan tidak sudi , tetapi waktu begini tak enak bertamu lagipun suaminya ada, jadi kami menyampaikan maksud kedatangan kami dan sambutan yang baik diberikan. Maklumat penting dicatat, tangan dihulur bersama bingkisan.Walaupun sedekah kami sedikit cuma, ia sudah cukup untuk mereka, teringan sikit beban yang ditanggung.


Kedudukan rumah yang hampir memudahkan kerja-kerja kami.Dari rumah ke rumah rakan kami susuri. Bingkisan barangan kami hulurkan. Terima kasih lafaz diterima. Tiada ungkapan yang lebih bermakna bagi kami melainkan sambutan mesra dan ucapan terima kasih. Kami membantu seadanya dan merekapun tahu kami ini bukan kaya-kaya orangnya.Apa yang dapat aku saksikan rumah mereka memang belum tersusun kemas sebagaimana sebelum banjir. Khabar angin banjir gelombang ke 4 akan melanda menyebabkan mereka masih belum menyusun atur kerusi meja malah ada kerusi dan perkakas rumah berada atas 'para'. Itulah nasib mereka. Lantaran miskin mereka beli rumah murah. Malang sekali pemaju yang membina rumah buat sekadarnya , sempit dan bilik cuma 2 ,bilik air juga muat-muat saja dan dapurnya tidak punyai ciri-ciri keselesaan hidup.Kasihan mereka. Bagi yang mampu akan buat ubahsuai sikit sini sikit sana.

Mereka semua adalah kenalan sejak tahun 2000. Ada yang belajar mengaji dengan ku dan menjadi 'tamu' kelas fardhu ain. Kalau ada yang belum dikenali, aku pelawa untuk buat lawatan ke surau setiap minggu. Di pertengahan pejalanan kami merasa kehausan, rakan rakan nampak letih sekali. Tidak susah untuk mendapatkan tea 'o'. Anak buah memang dilatih menjadi pemurah dan suka melayani tetamu. Kami 'pesan' tea ,kami santai bersama-sama .Riang gembira dan ceria. Salah seorang kami pesan air 'o'. Satu botol minuman dibawa warnanya kekuning-kuningan .Sangka kami air paip keroh. Tapi itulah air rebusan halba. Apa khasiatnya ? Orang yang berpenyakit kencing manis, ghaut dan kelabu mata boleh amal meminumnya insyaAllah penyakit itu akan boleh berkurang. Ilmu baru yang kami perolehi selama sejam kami berjalan. Alhamdulillah.

Kami meneruskan lagi perjalanan dan sumbangan dihulur tanpa mengharapkan apa apa balasan.Moga Allah memberi pahala pada mereka yang telah menderma dan memasukkan kami didalam golongan mukhlisin dan muhsinin

0 comments:

Post a Comment