Hujung Tahun penuh makna.

Pogram akhir untuk menutup tirai 2009. Suatu majlis yang cukup bermakna bagi aku dan tuan rumah mungkin. Majlis kesyukuran dan yasin. Jemputan ialah ahli qaryah taman yang terdiri dari ibu-ibu muda antara umur 23 hingga 36 tahun .Anak anak kecil di bawa bersama ,ada yang berdukung ada yang berheret tangan ,maklumlah masing-masing subur untuk berzuriat. Bising juga sekali-sekala, tapi bagi aku ini biasa dan aku sudah masak dan lali dengan kebisingan anak-anak. Rakan-rakan ajk ramai bersama sama .

Fatihah dihadiahkan kepada arwah kedua ibubapa tuan rumah. Tanda kenang budi anak anak kepada kedua orang tua. Disamping huluran pahala bacaan yasin ,zikir dan doa doa untuk arwah. Janggal mungkin muslimat bertahlil ,takbir dan salawat dalam majlis khusus seperti ini. Kebiasaan majlis tahlil , orang lelaki yang menjayakannya. Orang perempuan sibuk masak dan menyediakan hidangan. Tetapi kini ubah selera sikit. Perempuan yang mulut satu dan banyak mulut kita ajak berzikir, bertahlil, bertahmid dan bersalawat.

Selesai membaca yasin bersama-sama , kami berdoa mohon keampunan ,kesejahteraan dunia dan akhirat, mohon kelapangan rezki, kesolehan anak-anak dan kerukunan berumahtangga dan bermasyarakat. Ya Allah, ampunkan kedua ibu bapa kami ,suami kami ,anak-anak kami dan kasihanilah kami .Tempatkan kami bersama golongan yang taqwa, sabar, tawakkal dan istiqamah . Ya Allah ,segala puji-pujian khusus untukMu. Engkau telah anugerahkan sihat tubuh badan dan masa yang lapang. Jadikanlah kami hamba yang tahu membalas budi dengan syukur. Itulah antara doa-doa yang banyak. Aku masih mengharap doa doa yang dibaca dapat didoakan dengan jiwa dan raga.

Sesuatu yang patut anda tahu, bukan kita bertahlil dan baca yasin sahaja tetapi ,isian yang bermakna untuk semua iaitu tazkirah. Apa topiknya dan huraiannya?. Ghafilun. Lalai atau lupa. Siapa yang lalai dan apa yang dilalaikan itu ?

Menurut Al quran (surah Yasin) ayat 6: "Agar kamu memberi peringatan kepada kaum yang bapa bapa mereka belum pernah diberi peringatan ,kerana itu mereka lalai". Rasulullah diutuskan untuk menyampaikan wahyu ALLAH, alQuran yang terkandung di dalamnya segala bentuk peraturan hidup di dunia, segala perkhabaran yang ghaib, amaran amaran Allah kepada sesiapa yang durhaka kepadaNya dan Nikmat yang akan diterima oleh hamba-hamba yang taat setia dengan Allah. Bangsa Quraish terkenal sebagai masyarakat jahiliyah. "jahil" Tak bertamaddun dengan tamaddun manusia. Sampai tahap mereka membunuh anak perempuan hidup-hidup, membunuh sesuka hati, meminum arak yang menjadi ibu kejahatan, berjudi ,bertenung nasib dan paling teruk sekali mereka buat patung patung ,dimuliakan dan disembah-sembah.Walhal sejarah keturunan mereka dari Nabi Ibrahim a.s dan nabi Ismail a.s. Nabi Ibrahim bersusah payah membuang berhala dari disembah oleh manusia di zamannya. Sama-sama membina Kaabah (pusat peribadahan manusia mengesakan Allah) dengan anak sulungnya Ismail. Islam sebagai agama anutan keturunannya termasuk Ishak a.s ,Yaacub a.s yang kemudianya menurunkan keturunan Israel. Nabi nabi dari keturunan baginda Ibrahim a.s mewasiatkan kepada anak anak mereka supaya jangan mati melainkan di dalam anutan Islam.

Apa yang berlaku sesudah nabi nabi diwafatkan ? Ada yang berpegang teguh dengan ajaran kitab kitab. Ada yang mengajar anak anak mereka dengan didikan kitab kitab. Ada juga yang lalai dan melalaikan diri dari ajaran kitab. Lantaran kesilapan tidak mewariskan ilmu agama dan didikan agama lama kelamaan anak keturunan melupakan sikit demi sikit ajaran Allah. Tambahan pula yang lalai dan melalaikan itu orang orang berpengaruh dalam masyarakat, jadi tiada siapa yang berani untuk memperbetulkan kesilapan amalan mereka. Yang kuat jadi raja, yang lemah jadi hamba.

Masyarakat jahiliyah yang nabi Muhammad s.a.w terutus darinya, cuba memperbetulkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh bangsanya.Ayat demi ayat turun sebagai panduan, peringatan dan amaran. Kembalilah menyembah Allah, tuhan yang menciptakan manusia dari tanah, dan dikembang biak dari saripati air yang hina. Sembahlah Allah dan jangan sekutukan Dia dengan thagut. Sembahlah Allah dan hentikan segala bentuk kejahatan (membunuh ,berjudi, minum arak , berzina dan bertenung nasib).Islamlah dan ikutlah apa yang dibawa oleh utusanNya. Segala seruan-seruan ini tidak diterima dngan baik oleh masyarakat Mekah melainkan sedikit, itupun dari kalangan orang yang lemah lemah (mustad'afin).Tiada upaya yang dapat dilakukan oleh Nabi melainkan ada satu kekuasaan politik (pemerintahan) ,jadi Allah arahkan memdirikan negara Islam Madinah.

Bagaimana pula dengan keadaan masyarakat sekarang, tidakkah sama keadaanya dengan masyarakat jahiliyah dahulu ? Mencuri, berzina, membunuh, makan riba, minum arak, berjudi dan lain-lainnya. Segala kejahatan yang dilakukan umat terdahulu berlaku pada masa sekarang. Apa sebab? Tidak lain tidak bukan kerana bapa bapa mereka tidak memberi peringatan ,pengajaran, pendidikan sebagaimana yang disuruh buat oleh Allah. Warisan Nabi s.a.w diabaikan. Pemimpin tidak menjalankan amanahnya untuk mempastikan rakyat beriman dan taqwa. Ketua masyarakat tidak mengambil berat tentang keislaman ahli qaryahnya . Ulama' mengabaikan tugas dae'nya dan ibubapa juga mengabaikan pendidikan islam anak anaknya. Maka wujudlah satu masyarakat yang punah ranah dna tidak berperadaban.

Jadi, al quran yang masih berlegar dan segar dalam ingatan patut dikembalikan kepada fungsinya .Gunakanlah ia sebagai ubat untuk memperbaiki akhlaq yang rosak .Berilah peringatan dan sebarluaskan kemujaraban al quran. Ayat 6 tadi mendedahkan kesilapan bapa bapa .Oleh kerana kelalaian merekalah anak anak menjadi jahil agama dan kurang beradab dalam masyarakat.

Setelah selesai tazkirah ringkas, aku mengharap kawan-kawan yang masih dalam proses menambah zuriat memperhatikan persediaan awal untuk memperolehi anak soleh. Nak cari jodoh soleh, kita sudah berjodoh. Nak anak ,kita sudah ramai anak, cuma masih ada peluang lagi untuk berubah. Jadilah ibubapa soleh insyaAllah anak anak akan menurut kemudian. Bermulalah untuk berubah bersama Islam.

0 comments:

Post a Comment