Dahaga ilmu.

Lama dulu, aku selalu musafir menyusuri kampung kampung , desa desa dan taman taman. Matlamatnya mengikuti kelas kelas fardhu 'ain dan majlis doa dan bacaan Yasin.

Menimba ilmu di mana sahaja, tidak mengira masa dan tempat. Mengapa ?

Orang memanggil namaku, orang Islam. Memperlengkapkan sifat dan peribadi sesuai dengan nama itulah yang menjadikan aku tercari cari siapakah aku ? Benarkah islam itu agamaku ? Aku menyaksikan pada lidah, Muhammad itu rasul ikutanku. Apakah benar pada perbuatanku ?

Hidup tanpa ilmu , terasa kosong sebagaimana kosongnya 'hampa padi'. Masa berlalu percuma tiada isi tiada erti. Lantaran kosong jiwa dan kosong budi itulah yang mendorong minatku untuk mencari erti hidup dan erti Islam.

Itulah juga mungkin perasaan yang dirasai oleh manusia lain seperti aku. Atau perasaan 'non muslim' yang terkapai kapai mencari erti hidup.

Hendak seribu usaha, tak mahu seribu muslihat. Bila kita menanamkan azam untuk mencari dan memperlengkapkan diri dengan ilmu Allah, hidayah itu memudahkan langkah .

Semua peringkat masyarakat yang waras mengeluh, menyesali dan mencari punca kegagalan memperolehi anak yang baik lagi soleh. Orang yang bertaraf pemimpin, orang bertaraf ketua masyarakat, orang bertaraf guru dan pendidik dan ibubapa sendiri mengeluh panjang bila melihat keruntuhan moral dan kebiadaban akhlaq ini.
Kita cari puncanya;
1. Peluang menuntut ilmu terbatas.
2. Tenaga pendakwah (guru agama) terhad.
3. Minat masyarakat kepada ilmu agama masih rendah.
4. Tiada galakam (seruan) dari ibubapa, suami, ketua masyarakat dan pemerintah.
5. Sistem pendidikan negara mengasingkan ilmu dunia dan akhirat.
6. Sistem penyiaran nasional tidak berfungsi mendidik masyarakat.
7. Pemimpin tidak mengambil tanggungjawab membentuk sahsiah masyarakat secara menyeluruh.

Kejahilan boleh memusnahkan kemanusian dan ketamaddunan sesebuah negara. Tidak terhitung kesalahlakuan yang berlaku. Memusnahkan fasa demi fasa. Bermula dari kecil, remaja, dewasa kemudian tua.

Siapa yang tidak cemas bila harta benda tidak selamat kerana kecurian? Siapa yang aman hidupnya bila membunuh berlaku bila bila masa dan sesukanya ?

Berpangkal kepada aqidah, bila jiwa tidak kenal Tuhan , tidak takut pada tuhan dan tidak pun menghiraukan Tuhan, maka jadilah kehidupanya seperti binatang ternak. Masa makan dia makan, masa lain tidur dan memuaskan nafsu.

Bila tiada usaha untuk merubah tabiat 'binatang ternak ' maka jadilah manusia itu yang mengharap harap pada makhluk, menyembah nyembah makhluk dan mengagungkan kehendak hawa nafsu.

Keadaan ini boleh diubah dan boleh di perbaiki. Kalau kita kata ia memakan masa yang lama, ia memang benar, sebab kita telah membiarkan keadaan kejahilan ini sudah lama. Perlukan tenaga perubah yang ramai dan berkualiti. Tidak cukup kta menyesali sana sini itu dan ini. Yang perlu sekarang kita bertindak bersama sama untuk mengislahkan masyarakat. Semua peringkat umur, di bandar ,di kampung dan di desa.

Sebarkan ilmu islam itu wahai orang yang mempunyai ilmu. Jangan kamu menyembunyikan ilmu islam walau sedikit pun dan jangan kamu meminta upah kerana menyebarkan ilmu Islam.

Sediakanlah kemudahan menuntut ilmu wahai orang yang berharta benda. Jangan kamu menambah payah. Binalah pondok, binalah dewan , binalah sekolah dan lapangkanlah tanah tanahmu yang luas untuk manusia berzikir dan bertaqarrub pada Tuhan.

Berilah kelepasan mereka untuk menyebarkan ilmu dan mencari ilmu wahai yang mempunyai kuasa. Jangan kamu sekat mereka dari jalan Allah. Jangan kamu kurung mereka yang mengajar. Jangan kamu kejar mereka kerana mereka belajar ilmu Allah.

Wahai insan yang masih leka, terpesona dengan pangkat dan darjat. Wahai yang masih lena, diulit harta yang membusut. Wahai yang termenung setinggi gunung. Bertapaklah mencari erti hidup yang tiada lama. Bertatihlah mencari sifu penyelamat diri. Berlarilah mengejar kebahagiaan yang abadi.

0 comments:

Post a Comment