menduga iman.

Selepas cuti Tahun Baru Cina banyak program perlu dilaksanakan. Aktiviti 'jalan jalan cari ilmu ' dimulai dengan qiamullail dan borak borak ilmiah. Ini kali kedua qiam, pesertanya makin bertambah. Ibu ibu yang ingin membawa anak anak diizinkan. Sekurang kurangnya mereka tahu aktiviti yang biasa diikuti oleh ibu ibu mereka.

Petang itu , aku sudah siap sediakan rumah sewa, membersihnya dan sediakan ruang yang selesa untuk program 'sembang ilmu'. Tajuk cadangan ialah 'iman, ilmu dan amal'. Tidak lama kemudian seorang demi seorang sahabat datang. Dengan senyum yang melebar, mereka dipersilakan masuk . Masing masing membawa bekal kain sembahyang, peralatan bersuci, persalinan, tuala dan yang seronoknya mereka bawa bekalan makanan.

Memang keputusan mesyuarat , tidak ada makan malam di dalam program kali ini , tetapi ada sahabat yang mengeluh, kalau tidak makan nanti lapar perut, letih dan tidak larat hendak bangun qiam nanti. Aku pun berbisik dengan jiran kami untuk menyediakan sedikit hidangan.

Magrib , kami solat berjemaah . Kemudian membaca zikir al-mathurat. Kebanyakan sahabat tidak berpengalaman , mungkin baru dengan istilah ma'thurat. Aku cuba untuk memberi penerangan dan kaedah serta kelebihan mengamalkan al ma'thurat. Bagi yang senantiasa membacanya, mungkin sudah merasai manis doa doa itu. Berkat amalan dan keyakinan kepada Allah , tubuh badan berasa sehat dan ringan untuk melakukan ibadah.

Apabila azan isya' berkumandang, kami terus solat dan berdoa ringkas. Pernah seorang ustaz berpesan, berdoa selepas solat tidak perlu panjang, sebab kita mempunyai masa yang banyak untuk berdoa dan banyak sebab untuk berdoa kepada Allah. Contohnya bila kita hendak makan, kita boleh berdoa. Bila kita melihat ciptaan Allah , sunat kita berdoa. Jadi bermunajad kepada Allah s.w.t. boleh dilakukan dilain waktu dan mengikut keselesaan peribadi.

Kemudian kami menjamu selera. Teralas juga perut dengan rezki. Menu istimewa, nasi minyak hujan gerimis. Suasana agak gamat dengan gelak ketawa. Usik gurau, yang mungkin jarang kami dapat bila berada dalam majlis mesyuarat atau majlis lain. Seronoklah bersama sama dengan sahabat. Ikatan ukhwah dan kasih sayang memang terasa.

Sembang ilmu kami terisi. Seorang ustaz muda dijemput untuk mengemukakan persoalan iman , islam dan amal atau jihad . Tidak banyak huraiannya mungkin baru mencebur diri dalam bidang dakwah ,tetapi kami diberi ruang untuk bertanya. Soalan yang paling menarik perhatian ialah ' kita (isteri) memang mahu beramal atau berjihad tetapi terhalang oleh kerenah suami (yang tidak faham) dan anak anak' ? Panjang juga jawabannya. Malu bertanya tidak tahu.

Apakah 'iman'? Suatu anugerah dari Allah, perlu dijaga dan digilap supaya senantiasa bersinar. Bagaimana menggilap iman ? Itu juga perlu diketahui oleh semua. Kita amalkan solat yang fardhu dan dituruti dengan sunnahnya. Kita membaca quran dan fahami isinya. Kita memperbanyakkan zikir. Kita berkawan dengan orang yang cintai ilmu dan kebaikan. Kita menziarahi orang-orang berilmu. Banyak juga cara hendak menggilap iman.

Bagaimana kedudukan Ilmu ? Pun diterangkan juga oleh ustaz yang kami undang di majlis itu. Kemudian penjelasan tentang 'amal'. Ilmu banyak tidak berguna kalau tidak disertai dengan amal. Tingkat orang yang beriman di bawah sekali. Tingkat orang berilmu diangkat oleh Allah . Lebih lebih lagi , mereka yang berilmu dan beramal , Allah akan memberi kemuliaan dan pahala yang banyak. mereka boleh mencapai darjat orang soleh, siddik dan syahid.

Selesai sembang ilmu , kami meneruskan membaca 70 kali AlFatihah ke atas air. Banyak nya air. Maklumlah tiap orang bawa 2 atau 3 botol air. Khasiat untuk anak anak yang nakal dan degil. Membacalah kami sungguh sungguh dengan mengharapkan pertolongan dari Allah. Biasa , kami bacakan surah Yasin , tetapi malam ini kita buat kelainan sikit. Kami tekun membaca dan berdoa mudah mudahan anak anak kami diberi bimbingan hidayah oleh Allah. Mudah mudahan anak kami menjadi anak soleh dan harapan dunia akhirat.

Aku tidak sedar bila cikgu lina rebah. Tau tau dia dah berdengkur. Letih, siang tadi mengajar. Anak anak ramai dan kecil kecil lagi. Bila program ini diatur pada malam hari, giliran suaminyalah menjaga anak anak. Yang lain pun macam itu, cuma mereka tidak punyai anak kecil dan ramai anak anak duduk di asrama atau luar negeri. Belas aku melihatnya. Tidak berbantal , tidak berselimut. Aku ambil bantal dan aku surungkan batal di bawah kepalanya. Tuh..itulah sifat aku dari dulu .

Sebenarnya aku tidak dapat tidur, anak idah baring di sebelah aku pun tidak dapat tidur. Kejap ke kiri , kejap ke kanan, kejab dia bangun duduk. Aku paut nya untuk baring dan pujuknya supaya tidur. Aku agak, dia tercari cari ibunya. Ibunya balik sebab anak bongsonya demam. Dia amanahkan aku menjaga nya. Aku jagalah. Lena tidak lena, jam telipon berbunyi. Aku bangkit dari peraduan. Menunggu giliran bilik air pula. Letih badan, Allah saja yang tahu.

Kami selesai bersiap diri untuk mengadap Allah. Mulai dengan sunat tahajjud dan tasbih dan akhiri dengan witir 3 rakaat. Masa masih barbaki sebelum azan subuh diisi dengan istirehat. Huh....bergelimpanganlah kami sesuka hati. Waktu ini tidak ada yang berbual, tidak seperti tengah malam tadi . Mereka letih amat, hingga mulut pun letih.

Matahari mula menampakkan diri, kami menutup subuh dengan zikir ma'thurat dan mesyuarat ringkas.

0 comments:

Post a Comment