Pertama kali , aku melepak di beranda masjid. Mendengar kuliah haji, tajuk hari itu 'Ihram Umrah dan Haji'. Ramai wanita yang memenuhi ruang masjid. Oleh kerana acara ini bebas, orang boleh mendengar di mana sahaja. Ada yang duduk di bangku rehat. Ada yang duduk di kereta dan tepi masjid.
Berbekalkan buku catatan, aku mendengar dan mencatit dengan teliti. Haji adalah ibadah yang wajib bagi muslim yang mampu. Ia sebagai tanda ketaatan manusia kepada Khaliq. Memang aku sudah lama berniat untuk menunaikan haji, tak silap 6 tahun lalu. Bila terdengar seruan 'labbaikallahumma labbaik' , menitis air mata dan sebak dada. Kawan kawan pergi satu demi satu. Mereka sering bertanya, 'bila nak pergi' , aku masih mencari jawaban. Alasan yang sesuai, duit tidak ada dan belum mendaftar lagi.
Dua tahun lalu, aku dan suami mendaftar untuk menunaikan haji. Tau bila boleh pergi Mekah , tahun 2022. Entah sempat entah tidak.
Seronok mendengar kuliah haji. Banyak ayat yang diulang ulang. Itulah kaedah untuk memudah ingat dan memudahkan faham. Bagi yang cepat dan pintar , seronok, seperti ceramah umum lain yang biasa didengari. Bagi makcik dan nenek, dengar tak dengar je, yang mengantuk pun ramai, yang termangu mangu ada juga sebab mereka tak tahu nak tulis, dengar sedengar dengarnya.
"Bagi wanita menutup aurat itu wajib, ihram wanita serupa seperti berpakaian solat iaitu menutup seluruh tubuh, tidak jarang hingga nampak warna kulit dan tidak ketat hingga nampak bentuk tubuh. Cuma nampak muka dan tapak tangan hingga pergelangan tangan", ujar penceramah muda. Seperti seorang guru motivasi sahaja.
Bagaimana solat dan pakaiannya begitu lah haji. Ihram , bila memakainya ada tuntutan seterusnya seperti solat sunat ihram umrah atau haji atau kedua duanya sekali. Ada pula larangan semasa ihram. Kena berpantanglah.
"Bagaimana sekiranya terbuka aurat" ?
"Kalau terbuka dan membiarkannya terus terdedah, berisiko besar, mungkin batal salah satu rukun haji atau wajib haji . Ibadah haji mungkin tidak sempurna.
Aku membayangkan solat, haji macam solat juga ada rukun, ada wajib haji, ada sunat haji ada makruh dan ada batal haji.
Wanita dinasihatkan untuk membiasakan menutup aurat sepanjang masa. Jangan jadi munafiq, solat dengan tutup aurat dan cukup syarat tetapi diluar solat buka sana buka sini.
Pada awal ibadah , mungkin jemaah menjaga aurat, tetapi bila bertawaf berulangkali, ikatan kain melondeh (bagi lelaki) dan tudung menyorot di kepala sehingga terkeluar rambut. Ini boleh menyebabkan terbatal ibadah tawaf. Adakah perlu mengulanginya semula ?. Biasa orang lalai, membiarkan begitu sahaja dengan alasan dharurat atau tidak sengaja. Ilmu yang yaqin dapat membezakan kesemournaan ibadah.
Pada minggu ini, tajuknya 'Tawaf'. Mudah juga untuk difahami. Kali ini aku duduk mengadap 'skrin', dan ruangan solat masjid dipenuhi dengan jemaah wanita. Kaum lelaki ramai juga. Tua, muda dan yang sebaya dengan aku paling ramai. Ada yang datang sekeluarga. Suatu yang jadi biasa mungkin, kerana hari jumaat cuti dan anak anak akan 'rehat' bersama di masjid.
Tawaf selamat datang, tawaf haji dan umrah dan tawaf selamat tinggal. Ada syaratnya masing masing. Bagi wanita yang haid, tidak boleh tawaf, tetapi masa untuknya masih ada. Dia boleh tawaf bila sudah suci, samada dalam waktu haji atau luar waktu haji.
"Bagaimana kalau waktu tidak mengizinkannya untuk tawaf, dan dia masih berhaid atau nifas atau istihadah "?
Aku membayangkan aku di Mekah ketika itu, aku dalam keadaan haid. Apabila tidak dapat masuk ke masjidil haram untuk tawaf selamat tinggal cukuplah dengan melihat ke kaabah, melambaikan tangan kepada kaabah dan kucup tangan tanda cinta sayang dan rindu hendak berpisah dengan masjidil haram. Ketika itu air mataku menitis sayu. Oh ..rindunya aku untuk kesana segera dan merasai betapa hebatnya cinta 'hamba pada Ilahi'.
Aku memandang ke satu tiang masjid, disisinya seorang nenek tersengguk sengguk. Ngantuk....Terfikir aku, adakah nenek ini akan pergi haji. Bagaimana nanti nak kerjakan haji, sedangkan ilmu ilmu haji tidak difahami dengan betul . Kesihan nenek itu. Aku menoleh pula keluar masjid, seorang lelaki tua khusyu' dengan rokok daunnya. Bagaimana ilmu boleh melekat dan difahami sedangkan ia masih dengan 'candu' yang makruh hukumnya.
Ibadah kita dengan Allah, hendaklah dibuat atas kefahaman dan kesungguhan hati. Bukan boleh ibadah tiru tiru. Hati terpaut pada Allah, taqwa yang menarik diri untuk taat segala suruhanNya dan menjauhi laranganNya. Malah menjadikan manusia itu sentiasa rindu dan ingin terus berdamping rapat dengan Allah s.w.t.
Kuliah berakhir dengan doa....amin.
New entry via smartphone ♥♥♥
11 years ago
0 comments:
Post a Comment